Oleh: Nur Dayana binti Sabran

Pada usia antara 20 tahun hingga 25 tahun, anak-anak muda sibuk mengintai ruang dan peluang ke alam pekerjaan. Sebahagiannya masih mencari-cari jalan hidup masing-masing setelah berjaya mendapat segulung ijazah. Namun, cabaran hidup terus menerjah mereka. Keadaan ekonomi yang tidak menentu juga menyebabkan cabaran hidup anak muda semakin getir. Anak muda perlu meneroka alam pekerjaan dengan penuh tekad dan kecekalan. Kehidupan yang diimpikan boleh diibaratkan seperti peribahasa Melayu, iaitu “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”.

 

Apabila sudah matang dalam membuat keputusan untuk menceburi bidang tersebut, seseorang itu perlu belajar daripada orang lain (kebiasaannya yang sudah mahir atau lama dalam pekerjaan tersebut). Minggu pertama adalah masa untuk mengajar anak muda untuk mengenal rakan sekerja dan bidang tugas yang akan dilakukan setiap hari. Pada ketika ini, anak muda perlu beramah mesra dan menyesuaikan diri dengan persekitaran di dalam bahagian atau pejabat yang dimasuki. Seterusnya, walaupun sukar melaksanakan tugas yang baharu, anak muda perlu rajin bertanya dengan kakitangan yang boleh membantu. Jika dimarahi atau diperlekehkan, seseorang perlu tetap bersabar untuk kemaslahatan masa hadapan. Hal ini kerana pengalaman yang diraih pada situasi ini amat berharga namun tidak mudah untuk ditempuhi.

 

Apabila sudah beberapa bulan berada di dalam syarikat tersebut, terdapat beberapa kemahiran yang perlu dicapai dan banyak ilmu yang perlu dipelajari tanpa lelah dan jemu. Seperti kata-kata mutiara daripada Imam As-Syafie, iaitu “jika kamu tidak sanggup menahan lelahnya belajar maka kamu harus sanggup menahan perihnya kebodohan”. Perjalanan kerjaya seseorang, adalah berbeza antara satu sama lain kerana semuanya bergantung pada rezeki yang diberikan oleh Allah SWT. Sebagai seorang manusia, kita perlulah berusaha untuk melakukan yang terbaik seiring dengan ketentuan Tuhan. Namun, dalam sesetengah situasi, jika seseorang itu tidak mampu untuk bekerja dalam situasi yang mencabar seperti gangguan emosi dan mental, maka individu tersebut perlu mencari jalan keluar untuk menyelamatkan kesihatan diri dan mentalnya terlebih dahulu.

 

Statistik menunjukkan bahawa 70 peratus pekerja dalam bidang profesional berasa tertekan dengan tekanan di tempat kerja mereka khususnya atas dasar ketidakseimbangan beban kerja dan masalah peribadi. Jika diselami, mereka bekerja adalah untuk menyara ekonomi keluarga dengan tanggungan yang banyak. Keadaan ini sudah tentu menyebabkan mereka memilih untuk bekerja meskipun emosi dan kesihatan diri mereka terjejas kerana tekanan di tempat kerja.

 

Tidak dinafikan bahawa pekerjaan perlu dilakukan dengan efisien tetapi sekiranya tekanan daripada pekerjaan tersebut berterusan, maka tidaklah berguna untuk memaksa tubuh badan kita untuk melakukan kerja-kerja secara berlebihan di luar kemampuan diri. Terdapat situasi, iaitu pekerjaan yang sepatutnya diselesaikan dalam tempoh yang panjang tetapi terpaksa diselesaikan dalam tempoh yang disingkatkan. Perkara seperti ini akan menyebabkan seseorang pekerja akan mengalami tidak cukup waktu untuk menyelesaikan tugasan lantas memaksa diri mereka untuk melakukan pekerjaan tersebut pada waktu malam secara berterusan.

 

Kesimpulannya, meskipun pengalaman kerja akan memberikan impak positif terhadap prestasi diri namun kesihatan diri perlu diambil peduli kerana hidup hanya sekali dan tidak mustahil terdapat pekerjaan yang lebih baik jika kita percaya pada rezeki serta usaha yang berterusan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042094
    Visit Today : 1409
    This Month : 24693
    Total Visit : 1042094
    Hits Today : 8837
    Total Hits : 4279380
    Who's Online : 13
  • Kategori