Oleh: Khairol Anuar Harith Fadzillah

“Kepentingan bidang penulisan kreatif di Malaysia sewajarnya diperkenalkan secara lebih menyeluruh pada semua peringkat dan lapisan masyarakat. Hal ini demikian kerana semua karya penulisan kreatif seperti cerpen mempunyai pelbagai nilai murni ekstrinsik dan intrinsik yang menjadi teladan kepada orang ramai menerusi pembacaan cerpen. Oleh itu, penerapan nilai murni ekstrinsik dan intrinsik dalam proses pembacaan cerpen diharapkan memberi pengajaran kepada orang ramai. Selain itu, penerapan nilai ekstrinsik dan intrinsik menerusi pembacaan cerpen akan membentuk kemahiran insaniah dan sahsiah diri yang tinggi kepada pembaca.” Demikian ucapan yang disampaikan oleh Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi dalam Majlis Penutupan Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 (SAMPENG 2022) yang berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat, Johor pada 18 Jun 2022.

Penghasilan cerpen terbaik dalam Ceritera Kulawangsa Parit Sulong (2022) merupakan hasil inspirasi menerusi bimbingan, pengalaman, pembelajaran, kajian dan imaginasi penulis dalam bengkel.

Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 (SAMPENG 2022) merupakan sebuah program anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat. Penganjuran Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 (SAMPENG 2022) buat julung kalinya ini diharapkan dapat menggilap bakat penulis cilik untuk menghasilkan karya kreatif, selain menggalakkan peserta menzahirkan pemikiran kreatif dan kritis dalam bentuk penulisan berimpak positif. Selain itu, penganjuran Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 bertujuan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan lembayung ilmu dalam menghasilkan penulisan kreatif yang bersifat puitis. Malah, keunggulan bahasa Melayu sememangnya terkenal sebagai bahasa puitis yang merdu dan unik. Tegasnya, keunggulan bahasa Melayu sejak sekian lama terbukti telah berjaya menyatupadukan pelbagai kaum di Malaysia.

Kebanyakan peserta penulisan kreatif menurut YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad lahir dalam era milenium sebagai generasi Y yang menjalani kehidupan dalam gelombang modenisasi.

Kebanyakan peserta penulisan kreatif menurut YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad lahir dalam era milenium sebagai generasi Y yang menjalani kehidupan dalam gelombang modenisasi. Namun begitu, kemegahan menggunakan bahasa Melayu untuk menyampaikan sesuatu idea masih dikekalkan. Penganjuran Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertepatan dengan aspirasi penubuhan UKM sebagai universiti watan yang meletakkan jati diri kebangsaan ke arah menjulang semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad membaca Buku Ceritera Kulawangsa Parit Sulong.

Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 (SAMPENG 2022) terbuka kepada pelajar di kawasan Parlimen Parit Sulong telah menyaksikan penyertaan 32 buah sekolah kebangsaan dan lima sekolah menengah di Kawasan Parit Sulong. Selain itu, 16 karya cerpen terbaik yang dihasilkan oleh peserta sayembara telah dihimpunkan dalam sebuah buku bertajuk Ceritera Kulawangsa Parit Sulong. Secara keseluruhannya, Majlis Pelancaran Buku Ceritera Kulawangsa Parit Sulong telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Salah seorang ibu pemenang Kategori Sekolah Menengah membaca hasil karya cerpen dalam Buku Ceritera Kulawangsa Parit Sulong.

Penulisan kreatif merupakan kemahiran penting dalam proses pendidikan dan penulisan dalam kehidupan kanak-kanak dan remaja. Selain itu, penulisan kreatif telah membuka minda kanak-kanak dan remaja untuk meneroka dunia dan idea kreatif tanpa batasan. Malah, proses berfikir secara kreatif merupakan elemen penting dalam Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Bahasa Melayu dan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Kesusasteraan Melayu untuk kanak-kanak dan remaja mencurahkan idea dalam penceritaan yang berstruktur. Penerbitan buku bertajuk Ceritera Kulawangsa Parit Sulong (2022) merupakan himpunan 16 buah cerpen yang dipilih dalam Program Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 (SAMPENG 2022). Hasilnya, Ceritera Kulawangsa Parit Sulong (2022) menampilkan karya cerpen terbaik yang dihasilkan oleh murid-murid sekolah rendah dan sekolah menengah di sekitar daerah Batu Pahat, Johor.

Wajah ceria pemenang Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 bagi kategori rendah.

Penghasilan cerpen terbaik yang dikumpulkan dalam Ceritera Kulawangsa Parit Sulong (2022) merupakan hasil inspirasi menerusi bimbingan, pengalaman, pembelajaran, kajian, pemikiran dan imaginasi penulis dalam bengkel penulisan cerpen anjuran Program Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 (SAMPENG 2022). Oleh itu, semua penyertaan dalam Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 (SAMPENG 2022) telah diadili dan dinilai oleh para juri profesional dan pakar dalam bidang penulisan kreatif, cerpen dan kesusasteraan Melayu moden. Selain itu, Ceritera Kulawangsa Parit Sulong (2022) merupakan hasil suntingan Prof Madya Dr. Suzeren Md. Jamil, Pensyarah Bidang Polimer UKM bersama Prof Datin Dr. Ruzy Suliza Hashim, Pensyarah Kesusasteraan Bandingan UKM dan Prof Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar, UKM. Seterusnya, Ceritera Kulawangsa Parit Sulong (2022), hasil terbitan Penerbit UKM (UKM Press) dijual dengan harga RM 25.00 di semua kedai buku di seluruh Malaysia. Secara keseluruhannya, Ceritera Kulawangsa Parit Sulong (2022) menampilkan gaya penceritaan bertemakan “Keluarga Malaysia Masyarakat Prihatin” yang menyerlahkan keindahan bahasa Melayu dan menonjolkan kekuatan cerpen tersendiri yang dihasilkan oleh kanak-kanak dan remaja.

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyampaikan hadiah kepada para pemenang Sayembara Cerpen Parit Sulong bagi Kategori Sekolah Rendah dan Kategori Sekolah Menengah.

Lebih membanggakan, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang Sayembara Cerpen Parit Sulong yang terbahagi kepada dua kategori di dalam Majlis Penutupan Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022. Pemenang tempat pertama Kategori Sekolah Rendah menerima hadiah berupa sijil dan wang berjumlah RM750.00, tempat kedua berjumlah RM500.00 dan tempat ketiga berjumlah RM350.00. Manakala, pemenang pertama Kategori Sekolah Menengah pula menerima hadiah berupa sijil dan wang berjumlah RM1000.00, tempat kedua berjumlah RM750.00 dan tempat ketiga RM500.00.

YB Datuk Seri Dr. Noraini Mohamad bersama Profesor Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneliti isi kandungan Buku Ceritera Kulawangsa

Secara keseluruhannya, Majlis Penutupan Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 (SAMPENG 2022) menampilkan persembahan deklamasi puisi khas yang dipersembahkan oleh Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Barisan tetamu kehormat yang hadir dalam Majlis Penutupan Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 (SAMPENG 2022) ialah Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahman, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Persembahan deklamasi puisi khas oleh Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

 

Sumber Foto: Facebook Datuk’ Dr. Noraini Ahmad.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046247
    Visit Today : 1143
    This Month : 28846
    Total Visit : 1046247
    Hits Today : 3762
    Total Hits : 4294327
    Who's Online : 13
  • Kategori