Oleh: Dr. Noor Dzuhaidah Osman

Pada penghujung tahun lepas, penulis dan seorang rakan sefakulti diberi peluang mengajar di sebuah universiti tempatan di daerah Isparta, Turki. Kampus yang dikelilingi dengan banjaran gunung yang tandus kelihatan cantik sekali dan Kawasan ini terkenal dengan produk berasaskan bunga ros dan lavender yang harum mewangi. Mungkin Isparta bukanlah suatu destinasi terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia yang suka melancong ke Eropah dengan kadar mata wang yang dahulunya sama dengan Malaysia kini dilihat murah dan mampu pergi, jika dibandingkan dengan negara Eropah yang lain.

Negara Turki ialah sebuah negara maju yang luas, bersempadan dengan pelbagai negara gabungan Eropah dan Asia. Sebahagian besar Turki terletak di Semenanjung Anatolia di Asia dan sebahagian kecil wilayahnya terletak di Wilayah Balkan barat laut benua Eropah. Turki bersempadan dengan lapan buah negara, iaitu Bulgaria di barat laut, Greek di barat, Georgia, Armenia dan Azerbaijan  di timur laut, Iran di timur, dan Iraq serta Syria di tenggara.

Selain itu,Turki juga bersempadan dengan Laut Hitam di utara, Laut Aegea di barat, dan Laut Mediterranean di selatan. Di Turki juga terdapat Laut Marmara yang digunakan oleh ahli geografi untuk menandakan sempadan di antara Eropah dengan Asia. Oleh itu, Turki merupakan sebuah negara yang merentasi benua. Bentuk muka buminya yang pelbagai, sangat menawan hati. Tidak hairanlah negara Turki kini menjadi antara destinasi pilihan rakyat Malaysia untuk pergi bercuti ke luar negara.

Jika dahulu Turki dikatakan orang sakit Eropah, setelah kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniyah, kini Turki mengalami pelbagai transisi politik dari segi kebangkitan semangat nasionalisme, kemudian kebangkitan semula Islam setelah kebangkitan semula parti berteraskan Islam. Namun penulis tidaklah begitu berminat untuk mengulas panjang isu politik di Turki yang mungkin akan mengundang polemik yang tidak bertepi apatah lagi setiap pemimpin yang dikagumi sudah lama berakar umbi dan mempunyai ribuan malah jutaan pengikut dan sisi sendiri.

Dalam menyampaikan ilmu berkaitan dengan bidang tujahan penulis dan rakan, penulis diminta untuk menyampaikan syarahan berkenaan struktur undang-undang di Malaysia yang dikira unik kerana mengamalkan undang-undang bersusur galur dengan ‘common law’ juga perundangan Islam bagi umat Islam yang berkaitan dengan keluarga, penceraian, kesalahan jenayah, sivil, dan sebagainya. Berdasarkan pengamatan penulis, ramai ahli akademik di Turki terutamanya dalam bidang undang-undang melanjutkan pengajian ke tahap yang lebih tinggi di Eropah terutamanya di Switzerland dan Jerman. Golongan cendekiawan inilah yang pulang semula ke tanah air mereka lalu mengamalkan undang-udang sivil seumpama negara-negara tersebut di Turki.

Orang Turki juga bersikap patriotik, cintakan tanah air mereka, mungkin kerana lelahnya mereka berjuang sekian lama dan dengan bangkitnya semangat nasionalisme pada diri mereka yang sangat tinggi menyebabkan mereka mampu untuk bangkit bersatu padu membangunkan negara mereka yang tercinta.

Apabila ahli politik yang menerajui pemerintahan Turki kini dilihat cenderung ke arah yang lebih Islamik kerana majoriti rakyatnya pun beragama Islam,  dilihat golongan cendekiawan yang mempunyai haluan yang sama telah menjalankan kajian bagaimana pelaksanaan undang-undang yang berteraskan Islam di luar negara mereka. Antara negara-negara yang menarik minat mereka ialah Pakistan, Arab Saudi dan juga Malaysia. Maka apabila syarahan disampaikan tentang keunikan Malaysia yang mengamalkan demokrasi secara raja berperlembagaan dan pemakaian undang-undang Syariah dalam kalangan umat Islam, maka penulis diasak dengan pelbagai persoalan tentang bagaimanakah undang-undang sivil boleh berjalan serentak dengan undang-undang Syariah di Malaysia dengan latar belakang demografik Malaysia yang berbilang kaum yang juga menjadikan Islam sebagai rasmi, tidak menghalang pengamalan agama lain secara bebas.

Hal ini adalah dukungan yang kuat terhadap Perlembagaan Persekutuan Malaysia dalam kebebasan beragama yang sering dikritik bagi pengikut tegar kebebasan beragama secara mutlak yang berkiblatkan kepada negara-negara barat. Penulis berpendapat bahawa, setakat berhujah dan membaca di dada akhbar timur dan barat, rasailah sendiri kehidupan ‘kebebasan beragama’ hidup di negara barat. Adakah ia seindah di perlembagaan sama ada bertulis atau tidak, atau setakat momokan konsep kebebasan yang sekadar indah khabar daripada rupa. Bagi mereka yang berkeluarga yang berpegang kuat kepada prinsip agama, contohnya pernah hidup berkeluarga di Eropah akan merasai bahawa terasa kebenaran tentang nikmat kebebasan beragama itu. Sebagai contoh ketika perayaan utama di negara itu, maka anak-anak yang berlainan agama sama ada suka atau tidak terpaksa meraikan perayaan tersebut di rumah ibadat dan agama, juga sama ada secara paksa atau rela. Ada yang membantah kerana terkait agama dan budaya, namun seperti suara bantahan tersebut seperti tidak diendahkan, malah terpalit dengan denda jika tidak menghantar anak ke acara tersebut kerana dianggap sebagai tidak hadir ke sekolah. Nah, inikah yang dinamakan sebagai hak kebebasan beragama yang digembar-gemburkan bagus di barat? Jika di negara ini, kita mengamalkan konsep yang serupa, maka tidakkah nanti akan tercetusnya pelbagai konflik yang tidak terduga?

Berbalik kepada kisah minatnya Turki kepada syarahan dan pembentangan tentang perjalanan undang-undang sivil dan Islam yang selari di negara kita, perkembangan ini adalah satu perkara yang seharusnya dibanggakan terutamanya apabila ia diiktiraf oleh rakyat negara asing walaupun negara mereka tidak serumpun tetapi fahamannya masih sama dengan negara kita. Adalah menjadi suatu perkara yang menyedihkan apabila suatu keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi pihak terkait keluarga dan agama, dijadikan motif dan senjata politik atau agama. Isu sebegini pada zaman millennium, seharusnya tidak timbul lagi apabila rakyat berbilang kaum dan agama seharusnya hidup secara rukun. Kajian perbandingan antara negara contohnya dari segi pelaksanaan perlu dijalankan jika pihak-pihak terlibat berminat dan berniat untuk memantapkan lagi pelaksanaan undang-undang terlibat. Hal ini terutamanya yang berkait tentang bidang kuasa mahkamah sivil dan Syariah, yang asalnya mungkin berkait dengan keluarga tetapi apabila isu bidang kuasa dibangkitkan, seharusnya sudah ada forum yang harmoni bagi penyelesaiannya. Jika tidak, isu sebegini pasti akan dipolemikkan sama ada oleh kes atau generasi akan datang. Seharusnya kita sudah mengambil pengajaran atas tragedi sebelum ini sama ada di dalam negara atau di negara tetangga bahawa sesetengah kaum dan bangsa amat sensitif dalam soal sebegini. Kita juga tidak mahu isu sebegini menjadi isu yang membarah dalam masyarakat dan negara. Apabila Turki jauh nun di Eropah pun menaruh minat dengan pelaksanaan undang-undang Syariah di Malaysia, maka Malaysia seharusnya jika tidak mampu menjadi jaguh, seharusnya memperkasakan undang-undang sedia ada agar menjadi mampan.

Tidak mustahil suatu hari nanti Turki akan berminat pula untuk mempelajari bahasa kita bagi mendalami perundangan Syariah negara kerana keakraban antara dua buah negara ini telah terjalin seawal zaman kekhalifahan Uthmani dahulu terutamanya dengan kerajaan negeri di hujung peta negara kita.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    979701
    Visit Today : 935
    This Month : 27172
    Total Visit : 979701
    Hits Today : 4120
    Total Hits : 3983263
    Who's Online : 10
  • Kategori