OLEH FATEMA SANI

Pada tahun 2020, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menerbitkan novel-novel nukilan daripada Sasterawan Negara dengan harga mampu milik melalui kempen Edisi Malaysia Membaca. Apabila mengetahui tentang Juara (Edisi Malaysia Membaca) ini, penulis tidak melepaskan peluang untuk membeli dan membaca novel yang sering kali diperkatakan oleh peminat, pengkritik malah penulis yang mempunyai nama yang kukuh di dunia seni penulisan kebangsaan. Novel yang sering kali di rekomendasi oleh pensyarah dan rakan-rakan fakulti penulisan karya kreatif ialah novel Juara karya S. Othman Kelantan. Kekuatan dan impak Juara boleh dilihat apabila diangkat ke pentas yang lebih tinggi oleh salah seorang pengarah terbaik tanah air, U-Wei Haji Shaari.

Juara merupakan sebuah novel terbitan DBP yang dihasilkan pada tahun 1976, novel ini mengangkat latar tempatan dan isu-isu yang menarik dalam penceritaannya. Juara mengisahkan tentang konflik dalam masyarakat Melayu Patani yang berkesudahan dengan tragedi. Pergolakan ini terjadi disebabkan timbulnya perasaan ingin membalas dendam akibat kematian salah seorang teman yang bergelar pahlawan lembu. Pembunuhan demi pembunuhan terus dilakukan oleh kedua-dua belah puak yang akhirnya membawa kepada penyelesaian yang dramatik. Mamat merupakan watak yang mencurahkan segala jiwa dan tenaganya dalam perlawanan lembu. Begitu juga dalam dunia politik!

“Saya sudah sangat tua dalam perjuangan. Sebab itu saya lemah. Kerana lemah tenaga saya tidak diperlukan lagi. Rakyat telah menolak saya. Perjuangan masih perlu. Tapi apa boleh saya buat. Rakyat sendiri yang menentukan kedudukan. Masing-masing haruslah mengucapkan selamat jalan kepada politik apabila rakyat membuktikan bahawa mereka tidak mahu!”

Novel Juara telah difilemkan oleh U-Wei Haji Saari dengan tajuk Jogho yang disiarkan di pawagam pada tahun 1997. Latar cerita ini mengambil latar yang sama seperti dalam novel, iaitu di Selatan Siam dan Kelantan. Filem adaptasi merupakan sebuah karya yang disesuaikan mengikut medium asal seperti novel, cerpen, puisi dan sebagainya. Filem yang diadaptasi daripada bahan bacaan sememangnya berlaku beberapa perubahan kerana kekangan tempoh masa dalam sebuah filem dan turut berlaku keterbatasan daripada segi visual, watak, kos dan masa. Begitu juga halnya yang berlaku pada Jogho. Terdapat beberapa perbandingan yang ingin disentuh apabila membaca Juara, kemudian, menonton pula Jogho. Perbandingan ini terlihat jelas dan sedikit sebanyak memberi penulis dua pengalaman yang berbeza.

Pengalaman yang diperoleh sewaktu membaca Juara ialah emosi setiap watak yang ditonjolkan seolah-olah membawa pembaca untuk memahami rasa kecewanya Mamat atas kematian rakan karibnya, Abang Lazim. Kematian Abang Lazim dan Calet (lembu laga) mengerakkan Mamat untuk menuntut bela atas kematian mereka. Bukan itu sahaja, kehebatan Mamat dalam perlawanan laga lembu di dalam bong, menyedarkan Mamat bahawa apa-apa yang dilakukan kini, tiada beza dengan permainan politik yang ditinggalkannya dulu. Bezanya, permainan laga lembu mengorbankan teman karibnya, sedangkan politik sekadar dibuang jika tidak lagi diperlukan oleh rakyat. Walau bagaimanapun kedua-duanya menuntut sebuah pengorbanan. Dua emosi kekecewaan ini dapat dirasai oleh penulis. Hal ini sekali gus, menunjukkan kejayaan S. Othman Kelantan daripada segi percitraannya.

Walau bagaimanapun, setelah menonton Jogho, hal ini dapat memberi saya satu pengalaman yang baharu dan berbeza. Ketika membaca Juara, karya ini memberikan kebebasan berimaginasi manakala menonton Jogho pula memberi penonton satu visual dan gambaran yang jelas tentang watak, situasi dan peristiwa yang berlaku. Yang menariknya, watak-watak yang diwujudkan melalui novel Juara cukup ramai dan unik. Malah nama watak yang ditonjolkan lebih kurang sama, seperti Mamat – Mat San, Mat San – Sani, Jali – Seli, Minah – Melah dan banyak lagi. Kelebihan menonton filem ini pula, penonton dan pembaca dapat membezakan watak melalui rupa paras dan pelakon-pelakon yang dipilih. Pengalaman ini menyebabkan tiada sebarang kekeliruan watak yang berlaku seperti sewaktu membaca novel Juara.

Selain itu, perbandingan ketara yang dapat dilihat melalui novel dan adaptasi filem ini adalah daripada segi peristiwa yang berlaku. Sebagai contoh, peristiwa sewaktu Aral menggila. Dalam novel, diperlihatkan bahawa Mamat sendiri ke kandang lembu dan menyaksikan Aral menggila, sebelum dia diselamatkan oleh Jali. Namun, filem Jogho menampilkan Jali yang menyedari perubahan Aral sebelum memberitahu Mamat tentang keadaan lembu jantannya yang semakin menggila itu. Bagi penulis, walaupun kedua-dua peristiwa ini tidak mengganggu perjalanan cerita, perspektif penonton atau pembaca akan mula berubah. Hal ini kerana, dalam novel, naratif Mamat tentang sifat Aral, ketangkasan lembunya, bakanya dan hal-hal terperinci lain tentang haiwan itu memperlihatkan kepandaian dan kebolehan Mamat dalam mengenal lembu laga dan itulah kehebatan Mamat yang sebenar. Sebaliknya, apabila naratif itu diubah dalam filem, penonton tidak dapat melihat kekuatan dan kelebihan Mamat dalam mengenal lembu laga menjadikannya agak kurang meyakinkan bagi watak Mamat digelar sebagai seorang jaguh laga lembu.

Seterusnya, peristiwa Mamat ditangkap serdadu Siam kerana kematian Dolah Munduk. Dalam peristiwa itu, Minah mendapat khabar bahawa Mamat ditangkap melalui Jali. Sebaliknya, dalam filem Jogho, Mamat ditangkap oleh serdadu Siam di hadapan anak bininya. Perbezaan peristiwa ini secara tidak langsung berlaku perbandingan latar antara dua medium. U-Wei memilih untuk menggabungkan latar kerana keterbatasan kos dan masa. Hal ini merupakan satu perbandingan yang jelas dalam novel dan filem.

Selain itu dalam novel Juara, S. Othman Kelantan tidak ada menyatakan tentang sakit yang dideritai oleh Selamah. Walhal, dalam filem Jogho, U-Wei memperlihatkan babak Selamah yang menderita penyakit asma dan telah dibawa ke hospital. Walaupun berlakunya penambahan peristiwa atau jalan cerita yang dipaparkan dalam filem, hal ini tidak mengganggu perjalanan asal penceritaan Juara.

Apabila berbicara tentang perbandingan teks sastera dan adaptasi layar, sememangnya akan berlaku banyak perubahan kecil mengikut perspektif seorang pengarah. Kadangkala, perubahan adaptasi layar ini boleh menjadi sebaik teks sastera atau sebaliknya. Misalnya peristiwa ketika Dolah Munduk dibunuh, bagi penulis, peristiwa asal lebih memberikan kesan emosi berbanding dengan yang dipaparkan di layar perak. Hal ini kerana, dalam novel, kematian Dolah Munduk dilakukan oleh anak-anak buah Mamat yang berlaku di sekitar kawasan hutan dan mayat Dolah Munduk akhirnya ditinggalkan begitu sahaja sehingga ada penduduk yang menjumpainya.

Situasi ini lebih kejam dan bersesuaian dengan niat asal mereka yang mahu menuntut bela atas kematian Abang Lazim. Selain itu, naratif Jali setelah meninggalkan mayat Dolah Munduk di hutan menambahkan lagi emosi tentang kematian Dolah Munduk dilakukan demi hutang darah. Sedikit berbeza dengan apa-apa yang dipaparkan dalam filem Jogho. Kematian Dolah Munduk dilakukan di dalam sebuah bilik dengan bantuan Usin. Kekurangannya di sini ialah penonton tidak dapat merasai secara mendalam tentang emosi yang telah disimpan oleh watak-watak yang membunuh Dolah Munduk. Pembaca juga tidak dapat merasai secara mendalam rasa dendam anak-anak Abang Lazim yang sememangnya menunggu masa untuk membunuh salah seorang orang kanan Pak Isa.

Hal yang sama berlaku sewaktu perlawanan lembu di dalam bong. S. Othman Kelantan sangat bijak menggambarkan keriuhan, kebanggaan, harga diri, keterdesakan dan kegembiraan orang-orang Melayu-Patani yang menyertai pertandingan laga lembu ini. Citraan S. Othman Kelantan tentang peristiwa ini, sangat hidup dan realistik. Sehinggakan pembaca dapat merasakan keterujaan Mamat dan juga rasa simpati pada haiwan yang tidak berdosa itu. Peristiwa perlawanan lembu ini sememangnya banyak menghidupkan novel Juara! Walaupun begitu, U-Wei tidak melupakan nadi kepada cerita ini, babak perlawanan lembu turut dipaparkan walaupun tidak seteliti seperti yang dibaca dalam novel Juara. Bagi penulis, yang dilakukan oleh U-Wei bukanlah sesuatu yang kurang kerana kita kembali kepada konsep sebuah teks, iaitu teks ialah naratif dan pemerian.

Seperti yang difahami, pembacaan bermain dengan imaginasi pembaca secara tidak terbatas. Filem pula memberikan satu gambaran yang jelas dan tetap untuk sebuah penceritaan. Perbezaan kedua-dua medium ini secara tidak langsung memberi pembaca dua pengalaman yang berbeza melalui satu cerita yang sama. Bagi penulis, U-wei sangat kreatif untuk mengolah novel Juara menjadi sebuah filem, tanpa meninggalkan peristiwa-peristiwa penting atau mengubah jalan cerita. Kesetiaan beliau pada jalan cerita asal harus dipuji. Hal ini kerana, dengan batas-batas yang ada antara novel dan filem, U-Wei tidak menjadikannya sebagai alasan untuk menukar cerita asal mengikut kemahuannya. U-Wei berjaya memenuhi selera dan kepuasan pembaca asal novel ini. Usaha-usahanya seperti menggabungkan latar dan peristiwa untuk menjimatkan masa, satu usaha yang harus dipuji.

Selain itu, Juara merupakan sebuah novel yang bermain dengan banyak watak. Tidak sekadar empat atau lima watak sahaja. Permainan watak yang banyak ini kadangkala mengalami isu apabila sesebuah karya sastera itu ditukar ke layar. Hal ini kerana, permainan watak yang banyak menjadikan pembikin filem tidak mampu untuk meletakkan kesemua watak dalam sebuah filem yang tempoh masanya hanya dua jam. Yang menariknya, U-Wei berjaya meletakkan hampir kesemua watak yang ada dalam novel tersebut. Kewujudan kesemua watak dalam filem Jogho ini sangat membantu pembaca dan penonton yang mengikuti hasil karya S. Othman Kelantan.

Novel Juara ini juga merupakan sebuah karya sastera masyarakat yang sangat popular dan digemari sebaik sahaja diterbitkan. Hal ini dikatakan demikian kerana, S. Othman Kelantan mengangkat suatu isu yang tidak lapuk dan mungkin akan terus menjadi suatu isu yang dipolemikkan untuk tahun-tahun mendatang. Isu utama yang diangkat dalam novel ini berkaitan dengan politik. Jika dibaca novel ini, pembaca akan mendapat dua plot cerita yang selari dalam buku yang sama, iaitu politik dan laga lembu. Simbolik perlawanan laga lembu yang ditekankan dalam novel ini secara tidak langsung menjadi satu kritikan halus buat aktiviti politik yang berlaku di Tanah Melayu. Juara menyamakan perlawanan laga lembu ini tidak ubah seperti perjuangan politik yang cuba Mamat pertahankan sewaktu dia berada di Kelantan. Hal ini telah ditekankan sendiri oleh Mamat dalam dialognya:

“Gelanggang politik dengan gelanggang lembu itu tidak jauh bezanya dengan praktik. Lembu itu pun sama dengan politik, sama-sama diperjudikan. Kalau lembu itu kalah, orangnya pun kalah. Kalau politik kalah, orangnya pun kalah. Politik itu lembu. Dan lembu itu politik!” 

Falsafah politik yang disamakan dengan melaga lembu ini seolah-olah protes buat Mamat yang kalah dalam perjuangan politik, tetapi di dalam bong dialah seorang Juara. Seperti yang sudah diketahui, novel sastera seperti ini merupakan novel-novel masyarakat yang membawa isu-isu besar seperti politik, ekonomi dan sosial. Walaupun begitu, ingin ditekankan di sini bahawa isu atau falsafah novel Juara dilihat dari sisi yang berbeza oleh penulis. Suatu isu yang mungkin jarang diketengahkan apabila bercakap tentang Juara ialah isu yang berkaitan dengan nilai kemanusiaan.

Bercakap tentang isu kemanusiaan ini, mengingatkan penulis pada satu puisi bertajuk Pada Suatu Musim Panas oleh Baha Zain. Puisi itu, menceritakan tentang nilai-nilai kemanusiaan yang semakin menghilang akibat perlawanan melaga lembu di tanah Madrid. Begitu juga yang berlaku dalam novel Juara ini. Nilai-nilai kemanusiaan dalam diri manusia telah mula hilang, apabila mereka menjadikan perlawanan melaga lembu sebagai sumber mata pencarian mereka. Isu ini lantang dikritik oleh S. Othman Kelantan dalam novelnya. Lebih-lebih lagi, rata-rata yang terlibat dalam perlawanan ini merupakan orang Melayu yang beragama Islam. Hal ini turut disedari oleh Mamat sendiri tentang hukum haram dan dosa perbuatan mereka.

“Tiba-tiba hati Mamat terkedu. Mungkinkah Abang Lazim akan bahagia di dalam kuburnya? Bukankah sepanjang hidupnya Abang Lazim mempertarungkan binatang? Bukankah itu kerja zalim? Ya Tuhan! Mamat berdoa dalam hatinya. Itu pun satu kerja untuk menyambung nyawa anak dan isteri.”

Titik mula konflik novel ini adalah kematian Abang Lazim sewaktu hari perlawanan lembu. Kerana kematian Abang Lazimlah, Mamat dan anak-anak buahnya sanggup mencari Pak Isa hingga ke Kelantan walaupun sudah lama dia meninggalkan negeri itu. Oleh sebab hutang darah itu jugalah mereka sanggup berbalah untuk membayarnya dengan darah. Dendam yang mereka simpan kerana kematian seorang kawan ini juga memperlihatkan latar hidup mereka yang tidak mempunyai undang-undang. Keadaan ini diperkuatkan lagi oleh watak Minah, yang mengatakan Bangnara sebuah negeri tidak berundang-undang. Jika ada yang mati yang dibunuh dan mayatnya tidak dituntut oleh waris, mayat itu akan dilepaskan setelah beberapa hari. Peristiwa ini terjadi dalam petikan:

“Akan tetapi, Jali segera teringat, selalunya orang-orang tahanan kerana disyaki itu tidak lama. Mereka akan segera dilepaskan apabila tidak ada keluarga si mati menuntut dakwa.”

Novel Juara merupakan sebuah novel masyarakat yang berlegar dalam masyarakat Melayu Patani selepas zaman kemerdekaan. Walau bagaimanapun, Mamat serta beberapa orang rakannya lebih memilih untuk menetap di Bangnara, meninggalkan Malaysia kerana beranggapan di sanalah kehidupan mereka. Juara bukanlah sebuah novel yang mengangkat tentang perjuangan pelaga-pelaga lembu sahaja akan tetapi sebuah novel kritikan yang mengkritik tentang politik, ekonomi dan agama yang berlaku dalam masyarakat Melayu Islam Patani. Novel yang diterbitkan pada tahun 1976 ini masih menjadi rujukan sebagai novel kritikan yang baik buat negara Malaysia. Juara juga telah diangkat sebagai novel KOMSAS bagi pelajar tingkatan lima sebagai sebuah novel yang mempunyai nilai budaya, nilai sastera dan nilai keindahan dalam percitraannya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1260327
    Visit Today : 256
    This Month : 16464
    Total Visit : 1260327
    Hits Today : 1165
    Total Hits : 5708461
    Who's Online : 25
  • Kategori