OLEH FATEMA SANI

KUALA LUMPUR, ANJUNG DBP : Pada 28 Januari lalu, tiga orang pemenang bagi Sea Write Award telah diumumkan oleh kerajaan Thailand melalui surat daripada sekretariat tetap Thailand. Tiga orang pemenang ini diumumkan secara serentak bagi Sea Write Award untuk tahun 2019, 2020 dan 2021 kerana wabak covid-19 yang melanda dunia. Walau bagaimanapun, Majlis Sea Write Award ini dijadualkan berlangsung pada April 2022.

Sea Write Award merupakan anugerah berprestij yang diwujudkan oleh kerajaan Thailand sejak tahun 1979. Anugerah ini diwujudkan sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada penulis-penulis dari Asia Tenggara yang telah menghasilkan banyak karya sastera merangkumi genre novel, cerpen, puisi dan drama. Seramai 40 orang pemenang telah diumumkan sejak tahun 1979 hingga tahun 2018.
Pemenang-pemenang Sea Write Award bagi tiga tahun kebelakangan ini merupakan penulis-penulis yang banyak menyumbang dalam sastera tanah air tempatan. Mereka yang berjaya tersenarai sebagai penerima anugerah ini ialah Dr. Shamsudin Othman (2019), Aminah Mokhtar (2020) dan Mohd Rosli Nik Mat atau lebih dikenali sebagai Rosli K. Matari (2021).

Dr. Shamsudin Othman penerima S.E.A. Write Award untuk tahun 2019.

Pemenang bagi Anugerah Penulisan Asia Tenggara akan memperoleh wang tunai berjumlah 50,000 baht (RM6273), tiket penerbangan dan penginapan percuma di Bangkok. Pemilihan pemenang dibuat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa pemilihan dan panel penilai juga telah mempertimbangkan beberapa perkara untuk melihat kekuatan karya dan sumbangan karya kepada masyarakat.

Menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, sebelum tahun 2016 pemenang bagi Anugerah Penulisan Asia Tenggara dipilih mengikut genre penulisan secara bergilir-gilir. Walau bagaimanapun, bermula tahun 2016 dan ke hadapan, pemenang bagi Anugerah Penulisan Asia Tenggara tidak lagi dipilih berdasarkan genre penulisan sebaliknya dinilai melalui merit atau kepengarangan yang terbaik pada tahun itu.

Aminah Mokhtar penerima S.E.A. Write Award untuk tahun 2020.

Bagi penerima anugerah tahun 2019, Dr. Shamsudin Othman turut berkongsi keterujaan beliau menerima anugerah yang sangat berprestij ini. Kejayaan menempatkan diri dalam kalangan penulis di rantau Asia ini menjadikannya sedar akan tanggungjawab yang bakal digalas untuk menghasilkan penulisan yang bermakna untuk mendidik generasi mendatang. Aminah Mokhtar turut menzahirkan rasa terima kasih beliau kepada dunia kejururawatan yang telah banyak mengajar tentang kemanusiaan. Sekali gus mendorong beliau untuk terus menulis kisah-kisah manusia yang berliku, beragam dan berancam.

 

Rosli K. Matari penerima S.E.A. Write Award untuk tahun 2021.

Bagi penerima anugerah untuk tahun 2021, Rosli K. Matari, 61 tahun, beliau amat berterima kasih dan sangat menghargai keputusan juri yang telah memilihnya sebagai pemenang bagi Anugerah Penulisan Asia Tenggara tahun 2021. Pesara guru Bahasa Melayu ini, telah banyak menghasilkan skrip drama pentas, puisi dan esei-esei sastera sepanjang penglibatan beliau dalam bidang penulisan Melayu. Yang menariknya, kemunculan kumpulan puisi persendirian pertama beliau yang bertajuk Nun Bulan terbitan Persatuan Penulis Kelantan telah empat kali diulang cetak dan memperlihatkan kekuatan beliau dalam penulisan puisi tempatan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014746
    Visit Today : 775
    This Month : 34091
    Total Visit : 1014746
    Hits Today : 2986
    Total Hits : 4139788
    Who's Online : 12
  • Kategori