Judul: Apa yang Anda Perlu Ketahui Tentang Toksoplasmosis

Penulis: Suharni Mohamad, Zeehaida Mohamed, Nik Hazlina Nik                                                             Hussain dan Wan Suriana Wan Ab Rahman

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun: 2020

Harga: RM 30.00

Pengulas: Atiqah Abd Rahim

 

Pernahkah anda terfikir tentang kucing kesayangan anda berpotensi sebagai pembawa parasit Toxoplasma gondii (T. gondii), atau sering kali disebut sebagai penyakit “tokso”? Haiwan kesayangan mudah dijangkiti sekiranya bergaul dengan kucing yang telah dijangkiti oleh parasit tersebut. Malahan, anda sendiri tidak terlepas daripada jangkitan ini dan berisiko berhadapan dengan masalah kesihatan. Buku ini menghuraikan dengan lebih mendalam tentang agen penyebab jangkitan toksoplasmosis, risiko jangkitan, cara penularan, rawatan dan langkah pencegahan yang perlu diambil.

Penyakit “tokso”  atau toksoplasmosis merupakan sejenis penyakit zoonotik, iaitu penyakit yang dapat ditularkan daripada haiwan kepada manusia. Jangkitan toksoplasmosis ini boleh bersifat tunggal atau kombinasi dengan jangkitan lain daripada golongan TORCH [Toxoplasmosis, Other (Syphilis), Rubella, Cytomegalovirus (CMV), Herpes Simplex virus (HSV)]. TORCH ialah singkatan yang digunakan untuk menggambarkan gabungan lima jenis jangkitan tersebut. Semua jenis jangkitan ini dianggap berbahaya kepada janin atau bayi di dalam kandungan jika menjangkiti wanita hamil dan mereka yang mempunyai daya tahan tubuh yang rendah.

Parasit yang paling banyak ditemui pada manusia ini menempel dan mengambil nutrien daripada makhluk hidup yang lain. Walau bagaimanapun, parasit ini tidak boleh disebarkan secara terus, seperti bakteria atau virus kerana memerlukan perumah untuk ditumpanginya. Toksoplasmosis boleh menjangkiti sesiapa sahaja jika seseorang terdedah pada kucing yang dijangkiti dan berada dalam persekitaran yang tercemar. Walau bagaimanapun, seseorang yang memiliki daya tahan tubuh yang dianggap normal (imunokompeten) hanya menunjukkan gejala ringan seperti deman dan selesema biasa yang akan berakhir selepas beberapa hari atau minggu kemudiannya.

Keadaan dorman parasit akan menjadi reaktif (pengaktifan semula) dan berupaya menyebabkan kompilasi yang serius sekiranya sistem imun tubuh menjadi lemah atau terganggu. Contohnya, pesakit sindrom kurang daya tahan (HIV/AIDS), mereka yang menjalani rawatan kanser (kemoterapi), dan yang mengambil ubat steroid atau ubat perencat imun yang lain secara jangka panjang. Wanita hamil juga berisiko untuk menjangkiti penyakit ini yang akan membahayakan fasa kehamilan dan kesihatan janin di dalam kandungan.

Penulis turut menyenaraikan cara penularan parasit T. gondii daripada haiwan kepada manusia. Antaranya ialah memakan daging mentah, daging yang diawet atau daging yang tidak dimasak dengan sempurna, terutamanya daging haiwan yang telah dijangkiti parasit itu seperti daging lembu, kambing atau arnab. Memakan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak dibersihkan dengan baik boleh meningkatkan risiko mendapat jangkitan toksoplasmosis. Meminum air yang telah tercemar oleh T. gondii pernah dilaporkan berlaku di Victoria, British Columbia pada tahun 1995 kerana bekalan air dicemari oleh najis kucing.

Melakukan aktiviti berkebun juga berisiko mendedahkan seseorang kepada serangan parasit ini. Hal ini demikian kerana kucing gemar membuang najisnya di kawasan kebun yang bertanah kering atau berpasir. Apabila najis kucing menjadi kering, oosista T. gondii berupaya menjadi ampaian cecair atau butiran pepejal yang terapung di udara. Penularan parasit ini boleh berlaku melalui inhalasi atau sedutan nafas daripada najis kucing di kawasan berkenaan. Kanak-kanak lebih berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan toksoplasmosis, terutamanya apabila mereka suka bermain di pasir yang ada najis kucing.

Selain itu, parasit daripada golongan famili Sarcosistaidae ini boleh hidup di dalam saluran pencernaan kucing dan anjing. Kucing dan kucing besar ialah anggota suku Felidae, bangsa Carnivora dan anggotanya yang paling terkenal ialah kucing peliharaan. Namun demikian, kucing bukanlah satu-satunya haiwan penyebar parasit ini. Toksoplasmosis juga boleh ditularkan oleh haiwan yang berdarah panas seperti anjing, lembu, kambing, babi, tikus, ayam dan burung.

Sama seperti manusia, toksoplasmosis pada kucing biasanya terjadi jika sistem imun kucing mengalami gangguan sehingga tidak mampu mencegah penyebaran takizoit. Hal ini terjadi semasa kucing masih bayi akibat terkena jangkitan virus leukemia felin atau imunodifisiensi felin. Menurut penulis, ubat antibiotik Klindamisin dan kombinasi Pirimetamin-Sulfonamid boleh diberikan pada kucing berkenaan untuk mengurangkan jumlah oosista yang dikeluarkan oleh kucing yang dijangkiti toksoplasmosis. Vaksinasi perlu diberikan pada kucing peliharaan bagi mencegah pembentukan parasit ini dalam sel tisu kucing.

Namun demikian, sehingga kini belum ada vaksin yang dibuat daripada T. gondii yang dimatikan untuk mencegah jangkitan toksoplasmosis kongenital kepada manusia. Oleh itu, masyarakat perlulah cakna dan mengambil langkah pencegahan terhadap penyakit toksoplamosis. Antara langkah pencegahan yang dicadangkan oleh penulis ialah promosi kesihatan dan perlindungan khusus seperti menggunakan sarung tangan ketika berkebun. Rawatan yang cepat dan tepat terhadap jangkitan ini sangat penting untuk membataskan kecacatan pada badan dan seterusnya proses pemulihan kesihatan dapat dilakukan. Pendidikan kesihatan dan pengetahuan tentang pencegahan toksoplasmosis perlu diberikan kepada masyarakat, terutamanya kepada golongan yang berisiko tinggi.

Masyarakat juga perlulah diberikan kesedaran tentang kepentingan mencuci tangan dengan bersih, memakan buah-buahan dan sayur-sayuran hanya selepas dibersihkan dengan baik, dan meminum air yang dimasak terlebih dahulu. Kajian turut menunjukkan bahawa tiada hubungan antara pemilikan atau pemeliharaan kucing dengan jangkitan penyakit ini. Wanita hamil dan golongan yang mempunyai sistem imun tubuh yang rendah masih boleh memelihara kucing sekiranya pembuangan najis kucing diuruskan dengan sempurna. Walau bagaimanapun, mereka yang berisiko tinggi seharusnya menghindarkan diri daripada menguruskan kucing dan kotak najisnya.

Secara kesimpulannya, buku ini menghuraikan penyakit toksoplasmosis dengan mendalam dan penuh berilmiah. Buku ini diharapkan dapat memberikan pengetahuan berguna kepada masyarakat umum, khasnya pemelihara kucing. Bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang penyakit toksoplasmosis, pembaca boleh mendapatkan buku ini di pasaran.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013288
    Visit Today : 551
    This Month : 32633
    Total Visit : 1013288
    Hits Today : 1787
    Total Hits : 4133892
    Who's Online : 19
  • Kategori