OLEH KHAIROL ANUAR HARITH FADZILLAH

Webinar Terjemahan Antarabangsa: Penterjemahan Struktur Bahasa Asing ke dalam Bahasa Melayu telah bersiaran secara langsung menerusi platform Webex pada 26 Mac 2021. Sebanyak 10 pembentangan kertas kerja telah dijalankan bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Secara keseluruhannya, Webinar Terjemahan Antarabangsa: Penterjemahan Struktur Bahasa Asing ke dalam Bahasa Melayu telah dianjurkan oleh Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi (UniTI), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Penganjuran webinar tersebut menampilkan 10 orang pensyarah sebagai pembentang kertas kerja seperti Profesor Dr. Azman Che Mat (Universiti Teknologi Mara-UiTM), Profesor Madya Dr. Hiroki Nomoto (Tokyo University of Foreign Studies-TUFS), Profesor Madya Dr. Haslina Haroon (USM), Dr. Siti Ifwah Fauzani Awang Haji Chuchu (Universiti Brunei Darussalam-UBD), Dr. Siti Badriyah Mohamad Yusof (UBD), Dr. Nasimah Abdullah (Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor-KUIAM), Dr. Chow Yean Fun (USM), Dr. Normalis Amzah (Universiti Kebangsaan Malaysia-UKM), Alexandra Chernykh (Moscow State University-MSU) dan Dr. Wong Hoong Cheong (UiTM).

Pembentangan kertas kerja pertama bertajuk “Keperluan Memahami Aspek Sintaksis dalam Bahasa Arab” telah dibentangkan oleh Prof Dr. Azman Che Mat, pensyarah Linguistik Arab dari Bahagian Bahasa Eropah dan Asia, Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM Shah Alam, Selangor. Kepentingan kajian aspek sintaksis dalam bahasa Arab amat berguna dalam penterjemahan bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu. Selain itu, persamaan struktur ayat dalam bahasa Arab dengan bahasa Melayu membantu penterjemah melakukan penterjemahan struktur ayat bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu. Malah, kepentingan sintaksis dalam bahasa Arab turut memberi maklumat berguna kepada penterjemah untuk melakukan terjemahan yang berkualiti. Penterjemahan struktur ayat bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu telah memperkenalkan komponen kata kerja dalam bahasa Arab yang dikenali sebagai “muta’addi,”, iaitu kata kerja transitif, kata kerja tidak transitif (kata kerja lazim) dan kata kerja tidak bersifat transitif.

Kajian bertajuk “Kaedah Sintaksis dalam Bahasa Arab” telah disampaikan oleh Dr. Nasimah Abdullah, pensyarah KUIAS, Kajang, Selangor. Pada asasnya, pengenalan istilah “al-maful al-mutlak” merupakan salah satu kaedah sintaksis dalam bahasa Arab. Selain itu, objek mutlak dalam bahasa Melayu dikenali sebagai absolute accusive dalam bahasa Inggeris. Malah, kedudukan bahasa Arab dan bahasa Melayu berasal daripada rumpun bahasa yang sama. Tambahan pula, kajian bahasa Arab berdasarkan pelbagai kajian yang dilakukan oleh para sarjana linguistik Barat berasal daripada bahasa Samiyyah (Semitic) dalam rumpun bahasa Semitik. Secara keseluruhannya, bahasa Melayu pula diklasifikasikan sebagai cabang Nusantara dalam keluarga Austronesia.

Kajian bertajuk “Leksikal Memberi” telah dibentangkan oleh Dr. Normalis Amzah, Guru Bahasa dari UKM, Bangi, Selangor. Secara umumnya, definisi “leksikal” menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) ialah bukan perkataan atau perbendaharaan kata sesuatu bahasa. Oleh itu, kajian leksikal yang dibincangkan oleh Dr. Normalis Amzah memperkenalkan konsep “Leksikal Memberi” dalam padanan terjemahan bahasa Melayu dan bahasa Jepun berdasarkan foto contoh komik empat orang penutur, iaitu Watashi sebagai penutur yang memberikan hadiah kepada Cikgu Hashimoto, Cik Tanako dan adik lelakinya. Jelas bahawa terjemahan “Leksikal Memberi” dalam bahasa Melayu dan bahasa Jepun adalah berdasarkan tiga ciri padanan terjemahan seperti yang berikut:

            Terjemahan Leksikal Memberi dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Jepun

            Bahasa Melayu                                     Bahasa Jepun

            Pemberi < Penerima.                             Sashiageru.

            Pemberi > Penerima.                             Ageru.

            Pemberi > Penerima.                             Yaru.

Sumber: Normalis Amzah, 2021. “Leksikal Memberi”. Webinar Terjemahan Antarabangsa: Penterjemahan Struktur Bahasa Asing ke dalam Bahasa Melayu.

Kesalahan penterjemahan bahasa Jepun ke dalam bahasa Melayu berlaku kerana kesalahan struktur maklumat mahupun struktur ayat. Contohnya, struktur ayat dalam terjemahan bahasa Melayu seperti “Terdapat Aichi di Top Toyota Kereta Motors” dan “Di Aichi, ada ibu pejabat Toyota Motors”. Dua ayat tersebut menunjukkan perkara yang terdapat di Aichi berdasarkan tempat, iaitu wa dan entiti, iaitu garu. Secara keseluruhannya, padanan struktur maklumat dalam bahasa Jepun dan bahasa Melayu menunjukkan ibu pejabat Toyota Motors terletak di Aichi dan di tempat lain seperti yang berikut:

          Bahasa Jepun:  Tempat – wa  Entiti – wa ARU.

                                      Entiti – wa Tempat –wa ARU.

           Bahasa Melayu: Tempat Entiti ADA.

                                      Entiti ADA Tempat.

Sumber: Normalis Amzah, 2021. “Leksikal Memberi”. Webinar Terjemahan Antarabangsa: Penterjemahan Struktur Bahasa Asing ke dalam Bahasa Melayu.

Kajian tentang partisipel Rusia dalam bahasa Rusia telah dibentangkan oleh Alexandra Chernykh, Guru Bahasa Melayu dari Universiti Kebangsaan Moscow (MSU), Moscow, Rusia. Pada dasarnya, kajian tentang partisipel Rusia, iaitu kajian ayat aktif dan ayat pasif dalam bahasa Rusia dibincangkan daripada segi morfologi dan sintaksis serta berdasarkan cara penterjemahan partisipel Rusia dalam bahasa Melayu. Penterjemahan partisipel Rusia dalam bahasa Melayu telah memartabatkan keunggulan bahasa Melayu di Rusia dan memartabatkan terjemahan bahasa Rusia.

Penemuan kajian terkini alternasi diatesis dalam kata kerja telah dibentangkan oleh Dr. Siti Badriyah Haji Mohamad Yusof, pensyarah Linguistik dari UBD. Pada asasnya, kajian tersebut telah diperkenalkan oleh Levine dan Adelman dalam sebuah buku yang bertajuk Beyond Language: Cross. Cultural Communication (1993). Oleh itu, konsep alternasi diatesis merupakan proses sintagmatik yang memudahkan penukaran kata kerja. Selain itu, alternasi diatesis digunakan dalam bidang semantik leksikal yang mengkategorikan kata kerja sebagai unsur utama dalam struktur bahasa.

Malah, perkembangan alternasi diatesis dalam bidang sintaksis menjelaskan pertukaran makna antara dua struktur yang mempunyai perbezaan kata. Kepentingan alternasi diatesis bertujuan untuk meluaskan makna tanpa menggugat makna teras yang ingin disampaikan.

Kajian alternasi diatesis dalam majalah News Brunei Daily (NBD) telah ditunjukkan dalam data siaran akhbar rasmi COVID-19 di negara Brunei Darussalam. Selain itu, Mesin Penterjemahan Google, Google Translate dan Mesin Penterjemahan Microsoft Net turut digunakan dalam kajian tersebut. Jelaslah bahawa kajian alternasi diatesis terdapat dalam kata nama dan kata kerja.

Kemunculan kajian bertajuk “Tatabahasa dan Gender” telah dibentangkan oleh Dr. Chow Yean Fun, Pensyarah dari Bahagian Terjemahan dan Interpretasi (BATI), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), USM Pulau Pinang. Pada asasnya, kajian penterjemahan tatabahasa dan gender berdasarkan perbezaan bahasa sumber dengan bahasa sasaran. Selain itu, terdapat kelemahan aspek tatabahasa dalam bahasa sumber menurut Mona Baker dalam In Other Words: A Coursebook on Translation (2018).

Namun, kedudukan tatabahasa dalam bahasa sasaran adalah berdasarkan sistem tatabahasa dalam bahasa sumber. Malah, perincian yang diabaikan dalam teks sumber dinyatakan secara spesifik dalam bahasa sasaran. Secara keseluruhannya, penterjemah dalam kajian tatabahasa dan gender tidak dapat mentafsir maklumat yang tepat dalam bahasa sasaran mahupun bahasa sumber.

Kajian terakhir dalam webinar ini adalah bertajuk “Gejala Nahu dalam Bahasa Jepun” dibentangkan oleh Wong Hong Cheong, pensyarah Bahasa Cina dari APB, UiTM Dungun, Dungun, Terengganu. Tegasnya, kajian gejala nahu dalam bahasa Jepun memperkenalkan ayat kewujudan dalam gejala nahu bahasa Melayu seperti yang berikut:

            Ayat Kewujudan dalam Gejala Nahu Bahasa Melayu

    1. 1. Buku itu ada di atas meja.
    2. 2. Di atas meja ada buku.

(Wong Hong Cheong, 2021 “Gejala Nahu dalam Bahasa Jepun”)

Kajian tersebut menunjukkan contoh gejala nahu dalam bahasa Jepun di Restoran Otoya pada bulan Mac 2021 dengan menunjukkan terjemahan ayat kewujudan dalam bahasa Melayu seperti “Jom kita elakkan pembaziran makanan”.

Penterjemahan struktur bahasa asing ke dalam bahasa Melayu merupakan kajian terkini dalam kajian penterjemahan bahasa asing, kajian penterjemahan bahasa Melayu, kajian bahasa Melayu dan kajian linguistik antarabangsa. Oleh itu, kepelbagaian kajian penterjemahan struktur bahasa asing dalam bahasa Melayu telah berjaya dibentangkan dalam webinar meskipun menempuh cabaran pandemik COVID-19 sepanjang tahun 2021.

Kejayaan penganjuran Webinar Terjemahan Antarabangsa: Penterjemahan Struktur Bahasa Asing ke dalam Bahasa Melayu menghasilkan pelbagai kajian penterjemahan bahasa asing, bahasa Melayu dan terjemahan terkini dari Malaysia, Brunei, Jepun dan Rusia. Hasilnya, terdapat pelbagai input baharu telah dibentangkan dalam semua kajian seperti terjemahan sintaksis bahasa Arab, terjemahan leksikal bahasa Jepun dan bahasa Melayu, penterjemahan partisipel Rusia, alternasi diatesis dalam semantik leksikal, tatabahasa dan gender, termasuklah gejala nahu dalam bahasa Jepun.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    979137
    Visit Today : 371
    This Month : 26608
    Total Visit : 979137
    Hits Today : 1151
    Total Hits : 3980294
    Who's Online : 15
  • Kategori