Oleh Ahmad Amsyar Ahmad Effendy

PERANTARAAN sesama umat manusia tidak terpisah daripada keperluan bertutur dalam bahasa tertentu. Hal ini dapat dikaitkan dengan matlamat penciptaan insan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan serta bersuku-suku dengan tujuan yang tidak lain dan tidak bukan untuk saling mengenali antara satu sama lain bersandarkan suatu dalil Kitabullah menerusi Surah al-Hujurat, ayat 13. Pembentukan Malaysia berasaskan konsep persekutuan menjadi contoh sebagai sebuah negara yang mampu menghimpunkan masyarakat pelbagai etnik dan agama di bawah langit yang sama seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Indonesia.

Seperti yang kita sedia maklum, kaum-kaum yang membentuk kemajmukan di negara ini terdiri daripada Melayu, Cina, India, Orang Asli, Iban, Kadazan serta anak-anak negeri di Malaysia Timur yang sudah tentu mempunyai pegangan agama, adat tradisi dan bahasa pertuturan yang tersendiri. Menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan tanpa menafikan hak masyarakat yang berbilang kaum untuk belajar, mengajar dan menggunakan bahasa ibunda masing-masing selain daripada maksud rasmi. Malahan, peruntukan perlembagaan di bawah perkara yang sama turut membenarkan kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk memelihara mahupun meneruskan penggunaan serta pengajian bahasa kaum lain di negara ini.

Dalam erti kata yang lain, tiada satu pun bahasa yang boleh dihalang daripada diajar, dipelajari apatah lagi digunakan oleh masyarakat di negara ini dalam kehidupan seharian bagi tujuan selain maksud rasmi, iaitu urusan-urusan rasmi yang melibatkan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam yang dikehendaki menggunakan bahasa kebangsaan. Hal ini sejajar dengan peruntukan bawah Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang diluluskan oleh Parlimen dengan hasrat memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menonjolkan identiti negara ini. Tambahan pula, peruntukan ini tidak menafikan kedudukan bahasa-bahasa etnik lain yang ada di Malaysia untuk terus dituturkan oleh masyarakat di serata tanah air.

Namun begitu, keperluan penguasaan asas bahasa etnik tempatan yang lain masih kurang diberikan penekanan saat ini walaupun peruntukan undang-undang tidak menghalangnya. Penawaran mata pelajaran bahasa seperti Bahasa Cina Komunikasi, Bahasa Tamil Komunikasi, Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Semai dalam sistem pendidikan di negara ini dipercayai dapat melahirkan para pelajar yang mampu bertutur dalam pelbagai bahasa etnik yang ditawarkan di samping mempelajari adat tradisi dan budaya mereka. Matlamat ini juga secara tidak langsung dapat mengukuhkan persefahaman dan perpaduan kaum di negara ini. Walaupun begitu, usaha ini masih belum membuahkan hasil yang memberangsangkan walaupun kita sudah mencapai kemerdekaan sejak lebih daripada enam dekad yang lalu.

Selain itu, kita juga tidak dapat menafikan bahawa penguasaan bahasa juga merupakan sebahagian daripada kemahiran insaniah yang harus dikuasai dalam mengejar peluang pekerjaan. Memetik dapatan suatu kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat, banyak syarikat yang mengutamakan calon pekerja yang mampu bertutur dalam pelbagai bahasa khususnya yang bertumpu pada sektor berasaskan perkhidmatan seperti pertanian, kesihatan, pendidikan dan pentadbiran. Malahan, sektor pelancongan di Malaysia juga diyakini dapat dirancakkan apabila pengusaha-pengusaha industri ini mampu menguasai pelbagai bahasa bagi menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke negara ini apabila wabak COVID-19 beransur reda nanti. Tuntasnya, penguasaan pelbagai bahasa membawa banyak manfaat kepada kita daripada pelbagai segi biarpun secara asas sahaja.

Oleh hal yang demikian, kita haruslah mengambil berat soal ini dan berusaha mencari peluang untuk mempelajari bahasa lain terutamanya bahasa-bahasa etnik tempatan. Pelbagai ruang dan peluang boleh dimanfaatkan seperti mengikuti kelas-kelas dalam talian yang ditawarkan secara terbuka ataupun perisian Duolingo dan Babbel yang boleh ditemui menerusi Internet. Kita juga pasti menemui berbagai-bagai kursus asas bahasa yang dibuka oleh individu ataupun pertubuhan tertentu dalam media sosial yang menampilkan tenaga pengajar yang mahir serta menguasai bahasa yang ditawarkan seperti bahasa Mandarin yang dituturkan oleh masyarakat Cina di negara ini. Semoga usaha ini juga dapat memupuk muhibah dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia apabila memanfaatkan bahasa sebagai kunci untuk mempelajari adat resam dan budaya kaum lain di samping menghayati semangat perpaduan di negara ini.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    979703
    Visit Today : 937
    This Month : 27174
    Total Visit : 979703
    Hits Today : 4162
    Total Hits : 3983305
    Who's Online : 7
  • Kategori