Judul             :    Pedang Aurora

Pengarang   :    Ahmad Patria Abdullah

Penerbit        :   Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga             :   RM15.00

Tahun Terbit  :   2018

Pengulas      :    Ismail Hashim

 

Novel fiksyen sains dan fantasi ini menceritakan tentang peperangan antara kerajaan Aurora menentang kerajaan Morrok. Artakus merupakan pahlawan yang mewakili puak Armorikus dan harapan kepada kerajaan Aurora.Terdapat empat orang ketua puak dalam kerajaan Aurora, iaitu Jeenusix (puak Inkatus), Darumir (puak Jegadai), Lotan (puak Argida) dan Atinius (puak Armorikus).

Peperangan tersebut berlaku di Akturius – sebuah lembah kecil yang terletak di selatan Banjaran Sidrius dan di timur Numerius. Lokasi peperangan itu bersempadan dengan negara Kirkos.

Dalam peperangan tersebut, panglima Morrok yang diketuai oleh Oskrakhun dan empat panglima lain seperti Takaranda, Jundak, Krakon Timur dan Erkhun mahu mengalahkan Artakus dengan mengadakan beberapa strategi peperangan yang dianggap berkesan. Merkia telah ditugaskan menjadi pengintip (peninjau) dalam strategi peperangan tersebut.

Strategi pertama, angkatan perang Morrok dengan menyerang dari bahagian belakang Banjaran Makarios. Kedua, angkatan tentera Morrok akan merentasi gurun panas di selatan untuk menjadikan tentera Aurora dalam keadaan terkepung.

Kesannya, kedua-dua strategi tersebut menjadikan tentera Aurora tersepit di antara dua ketumbukan tentera Morrok. Terdapat satu lagi ketumbukan tentera Morrok di bahagian selatan Aurora. Strategi  Morrok ini pernah digunakan oleh Artakus ketika menakluki Kolossus.

Ketika berhadapan dengan peperangan menentang Morrok, berlaku pergaduhan dalam puak yang serumpun dalam kerajaan Aurora dengan melibatkan Naktai dan Olafhul. Naktai menjadi tali barut kepada kerajaan Morrok. Perkara ini telah dikhabarkan oleh Belakios daripada puak Morrok kepada Artakus.

Bagi membuktikan kenyataan ini benar, Belakios sanggup menunjukkan kepada Artakus dengan syarat Artakus memberikan Belakios dua uncang emas sebagai pendahuluan dan baki dua uncang emas lagi setelah mereka sampai ke tempat Naktai berada.

Pergeseran puak yang bertelagah dalam kerajaan Aurora dalam musim perang menghilangkan tumpuan Artakus ke atas perang menentang Morrok.

Tentera Aurora yang menantikan serangan Morrok itu mulai berasa bosan menunggu serangan tersebut sehingga mendorong sebahagian mereka berpatah balik. Tetapi Atinius menasihatkan Artakus agar menggunakan jalan pulang ke Takaryan yang terletak di bahagian selatan, namun telah ditutup oleh tentera Morrok.

Novel ini ditamatkan dengan penantian Artakus yang menganggap dirinya sebagai pedang Aurora yang akan menentang kedatangan tentera Morrok ke kubu pertahanannya.

Pembaca dapat merasakan konflik yang berlaku dalam novel ‘Pedang Aurora’ agak rencam dalam menjalin jalan ceritanya dengan baik. Setiap konflik yang berlaku untuk menjadikan jalan ceritanya berbentuk ‘klise’. Namun, ternyata pengarang telah mengambil pendekatan yang berkesan untuk menjadikan jalan cerita sesebuah novel itu menarik dan menjadikan plotnya tidak mendatar.

Ahmad Patria Abdullah merupakan seorang pengarang fiksyen sains dan fantasi merupakan anak sulung kepada Sasterawan Negara Datuk Haji Abdullah Hussain dan Datin Siti Saroja Basri. Beliau dianggap sebagai pengasas genre fantasi di Malaysia menerusi novel pertamanya “Permata Aurorius” pada tahun 1987.

Novel tersebut  telah terpilih sebagai Buku Terbaik 1987 dalam kategori Penulis Harapan oleh Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan Malaysia. Novel ini turut disifatkan sebagai novel fantasi terbaik yang pernah ditulis dalam bahasa Melayu (Johan Jaaffar, Berita Harian 2012).

Selain menghasilkan ‘Pedang Aurora’, pengarang Ahmad Patria Abdullah turut menghasilkan novel remaja yang bertajuk “Kembar Artakus”.  Artakus sebagai watak utama dan menjadi pahlawan kerajaan Aurora dalam menentang tentera Morrok.

“Kembar Artakus” memaparkan kisah tentera kota Arialun yang dipimpin oleh Garilon mahu membantu kerajaan Aurora untuk menentang kerajaan Morrok. Atinius dan orang-orangnya daripada puak Armorikus gembira dengan cadangan Garilon tersebut. Akhirnya, Garilon dan Atinius telah memeteraikan perjanjian mereka di rumah Uralia.

Artakus melihat kerajaan Morrok masih lagi berkuasa di utara dan barat Aurora. Bahkan turut menguasai di bahagian timur Lapangan Dundinium, pantai Teluk Burrukus dan Pelabuhan  Hormisusum.

Pengarang banyak memperkenalkan istilah asing matahari sebagai Arasis dan Osria panggilan untuk bulan. Seperkara lagi, upacara ‘pematahan pedang’ merupakan upacara tradisi Aurora untuk menamatkan sengketa antara puak mereka.

Naktai yang mewakili puak Argida merupakan duri dalam daging dan mempunyai cita-cita besar mahu menjadi raja. Naktai dan Olafhul menyukai gadis yang sama bernama Aylanin. Naktai bertindak lebih jauh dengan menolak gabungan puak Argida dan puak Armorikus. Naktai juga bermusuh dengan Atinius dan Garilon.

Sewaktu pergelutan dengan tentera Dartak, Artakus dan Esis telah dipukul sehingga tidak sedarkan diri. Mereka berdua telah ditangkap dan di hantar ke penjara Dartak yang terletak di sebuah pekan kecil bernama Santirran. Tentera Dartak bercadang menyerahkan Artakus dan Esis kepada Panglima Akhun ketua Morrok di Kota Illan.

Semasa dalam penjara, Esis berjaya merasuah pengawal penjara, Belakios dengan uncang yang berisi wang emas. Kebanyakan pengawal penjara Dartak suka berjudi dengan buah dadu sehingga mereka lalai dengan tanggungjawab mereka. Sehinggakan Artakus dan Esis berjaya melarikan diri meninggalkan Santirran dan menuju ke timur.

Artakus bertemu kembar Artakus Jagadai di Olai Tannon. Artakus Jagadai adalah sekadar cahaya yang sukar diusir oleh bayang-bayang. Artakus Jagadai yang berasal daripada makhluk Herakos merupakan Artakus yang palsu.

Tujuan bayang-bayang tersebut adalah untuk menghapuskan Artakus dan menggantikan tempatnya itu. Bayang-bayang tersebut mempunyai sosok yang gagah seperti Artakus bagi memudahkan rakyat Aurora mudah dipengaruhi sihir yang ada pada dirinya.

Berlaku pergaduhan antara Artakus dengan Artakus Jagadai bagi membuktikan ketulenan diri Artakus yang sebenar. Artakus berjaya mengalahkan ‘kembar’ tersebut dengan pedangnya.

Sebagai asas perbandingan dalam kedua-dua buah novel ini, pengarang mengembangkan watak yang sama bagi membina struktur jalan ceritanya. Watak-watak utama berhadapan dengan berbagai-bagai konflik bagi mendorongkan watak lebih mantap lagi. Kita dapat melihat bagaimana puak yang bertelagah telah merosakkan perpaduan rumpun sendiri, terutamanya ketika kerajaan Aurora berdepan dengan peperangan Morrok.

Banyak teladan yang diperoleh setelah membaca novel-novel tersebut antaranya sikap negatif seperti iri hati, tali barut, rasuah yang perlu dielakkan oleh semua pihak. Novel-novel lain dalam siri yang sama seperti Permata Aurorius, Kota Arialun, Petua Azkram dan Puteri Alindalia. Pembacaan dirasakan tidak lengkap tanpa membaca novel-novel  tersebut.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014710
    Visit Today : 739
    This Month : 34055
    Total Visit : 1014710
    Hits Today : 2850
    Total Hits : 4139652
    Who's Online : 15
  • Kategori