Judul Buku: Begawan
Pengarang: Arena Wati
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM10.00
Tahun Terbit: 2019
Pengulas: Jaymani Sevanathan
Pengulas menganggap pembacaan novel ini unik dan istimewa. Pertamanya, Begawan dikarang oleh Sasterawan Negara kelima, Arena Wati dan pengulas tidak pernah memiliki malah membaca apa-apa karya beliau sebelum ini. Kedua, gaya penceritaannya sedikit berat dan kompleks tetapi masih dapat difahami dengan baik. Ketiga, sewaktu pengulas menemui 100 buah novel Melayu yang mesti dibaca di laman Goodreads, Begawan turut disisipkan dalam kelompok tersebut.
Pada awalnya, pengulas tidak dapat menangkap tajuk novel – Begawan dan kaitannya dengan penceritaan pengarang. Begawan menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bererti gelaran bagi pendeta atau pertapa (yang berbahagia, yang mulia). Jadi pengulas menganggap bahawa konteks Begawan akan terungkap pada pengakhiran novel.
Begawan mempunyai tiga bab, iaitu Menguak Takdir, Memburu ke Puncak dan Diburu Sukma. Ketiga-tiga bab memiliki jalan cerita yang tersendiri namun di penghujung kisah, kita dapat mengenal pasti mesej yang disampaikan.
Mengapa pengulas mengatakan pada awal ulasan bahawa gaya penceritaan agak kompleks? Hal ini kerana pada permulaan cerita memaparkan Salabu membela monyet untuk ladang kelapa sehinggalah menjual dagingnya dengan mendapat keuntungan yang berlimpah. Seterusnya, pelbagai lagi peniagaan Salabu yang untungnya berbilion ringgit seperti ladang kuda sehingga menjual kencing kuda untuk meningkatkan kesuburan pada manusia.
Selain itu, kisah peniagaan Salabu yang diambil alih oleh anaknya, Selamat (yang turut menamakan dirinya Salabu). Nama pada setiap watak sahaja kadang kala mampu mengelirukan pembaca kerana hampir serupa.
Perniagaan Salabu yang mengaut keuntungan melampau sehingga mereka dapat mengusahakan Holothuria Tridacna Farm and Marina Resort pula di Pulau Salabu. Mereka menternak gamat dan kima dan berjaya memasarkannya ke luar negara sehingga perniagaan mereka dikenali dan dikagumi di seantero dunia. Anak Melayu yang berasal dari kampung mampu membawa nama bangsa ke persada ekonomi dunia. Namun, di sebalik kejayaan lama-kelamaan mereka mula memiliki musuh.
Bab 2 mengisahkan Salabu bersama adik-beradik dan anak-anaknya yang hampir kesemuanya berkerjaya profesional dan sering berjaya menyelesaikan konflik yang dihadapi. Beberapa insiden yang berlatarbelakangkan Amerika Syarikat turut dipaparkan.
Bab 3 pula melihat bagaimana Salabu sedar bahawa dirinya masih dibelenggu kekurangan walaupun dikurniakan kemasyhuran dan kejayaan. Salabu ingin bertaubat akibat perbuatan terkutuknya sewaktu muda. Jadi, plot ini sukar untuk pengulas hayati sekali-sekala ditambah dengan pemerihalan sains dan alam sekitar yang terlalu banyak.
Salabu dan keluarganya boleh dikatakan sebagai sebuah keluarga yang sangat berjaya dan sebahagiannya menguasai ekonomi semasa dan kebanyakan pembaca akan menganggap mereka wajar dicontohi oleh masyarakat Melayu khususnya. Bak kata anak sulung Salabu, “Dan kita di sini sekarang, Melayu baru yang telah mulai menembus tembok pagarnya gelanggang dunia sejagat dengan cakar kami sendiri. Kami bangkit menguak takdir.” (halaman 74)
Namun bagi pengulas, keluarga Salabu merupakan simbol kepada golongan kapitalis. Antara hujah pengulas terhadap penyataan tersebut ialah Salabu dan keluarganya pada awalnya telah membawa kepada kebinasaan di sekitar mereka termasuklah manusia akibat diserang monyet dan harimau secara kerap. Tetapi, mereka tetap meluaskan perniagaan tanpa mempedulikan individu yang terkesan. Pada masa yang sama, mereka terlepas daripada hukuman berat akibat perbuatan tidak bertanggungjawab mereka.
Bagi Salabu, peluang tidak wajar dilepaskan. Selagi boleh menggunakan segala ruang yang ada, dia akan menggunakannya. Mudah kata, oportunis. Hal ini juga dapat dilihat apabila Salabu berpegang pada kata-kata hikmat dalam siaran bahasa Inggeris, “Orang yang hanya leka berhati-hati tidak akan sampai ke mana. Rebut peluang! Pegang pimpinan! Kendalikan!” (halaman 13)
Hujah kedua pula, kita sedia maklum bahawa sistem kapitalisme menggunakan segala sumber alam sekitar dengan sewenang-wenangnya sehingga menyebabkan kemerosotan pada alam sekitar termasuklah yang berlaku di Pulau Salabu. Hidupan laut mati dan dijangkiti racun akibat Red tide. Hidupan lautan yang dijangkiti racun pula boleh membunuh manusia yang memakannya.
Begawan sememangnya memaparkan realiti yang sedang berlaku kini apabila sistem kapitalisme menakluki dunia. Syarikat besar dan multinasional menawarkan pelbagai kerjaya dan dikatakan sebagai langkah untuk menghapuskan pengangguran. Namun, mereka sebenarnya menambah tenaga buruh untuk meningkatkan produktiviti demi pasaran semasa. Demi mendapatkan tenaga buruh yang ramai, populasi dunia juga perlu bertambah. Oleh itu, ubat atau rawatan yang meningkatkan kesuburan juga turut dicipta dan dijual. Hal demikianlah yang dilakukan oleh Salabu dan keluarganya dalam novel ini.
Tambahan pula, sesetengah masyarakat sekarang lebih mementingkan keuntungan dan kemasyhuran semata-mata sehingga memandang enteng terhadap nilai kehidupan yang sebenar. Mereka mula membelakangkan agama dan gagal mengamalkannya setelah melihat kebendaan (harta kekayaan). Paling teruk apabila mereka melupakan kesilapan yang pernah dilakukan malah tidak terdetik hati untuk bertaubat. Tetapi akhirnya harta bukanlah apa-apa dan di hadapan mereka terhampar ketenangan abadi.
Kesimpulannya, Begawan wajar dibaca oleh semua lapisan masyarakat; sekurang-kurangnya untuk memahami kepentingan nilai kesederhanaan dalam mencari harta benda. Novel ini sememangnya tidak bersifat realistik sepenuhnya kerana pembaca akan menemui batas logik dalam keseluruhan penceritaannya. Begawan ialah karya fiksyen semata-mata. Seperti yang ditulis oleh pengarang sebelum memulakan penceritaan:
sekadar sebuah
menungan
untuk tersenyum
setelah lama meringkih.