OLEH KHAIROL ANUAR HARITH FADZILLAH

Sejarah kewujudan adat dalam kehidupan manusia bermula menerusi kewujudan adat dalam hubungan di antara manusia dengan manusia. Secara umumnya, konsep adat menurut Sidi Gazalba dalam Masyarakat Islam: Pengantar Sosiologi dan Sosiografi (1986) merupakan adat istiadat dan upacara sakral yang melambangkan keyakinan kolektif dan muafakat dalam kehidupan masyarakat. Selain itu, konsep adat dan istiadat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) merupakan peraturan yang lazim dilakukan sejak dahulu kala. Kewujudan adat istiadat dalam agama Hindu yang diamalkan oleh masyarakat di Utara India dan Selatan India telah membentuk kebudayaan masyarakat di India sejak turun-temurun.

Kepentingan sejarah adat istiadat dalam agama Hindu di India melambangkan warisan budaya turun-temurun dalam tamadun India dan sebelum abad ke-19 telah mewarnai corak kehidupan dan sosiobudaya masyarakat beragama Hindu. Sehinggalah akhirnya menjadi amalan mereka sehingga kini.

Hukum Adat Wanita dalam Masyarakat Vedik

Hukum adat wanita dalam masyarakat Vedik telah mengangkat kedudukan wanita di tempat yang dihormati. Hal ini demikian kerana masyarakat Vedik telah mengangkat kedudukan wanita sebagai Rishi, iaitu pertapa yang mencipta mazmur dan menjalankan upacara pengorbanan seperti lelaki. Jelaslah bahawa Visvara juga mencipta mazmur, melaksanakan upacara pengorbanan dan merayu kepada Dewa Agni untuk terus menjalankan kewajipan sebagai isteri kepada suami.

Adat Kemuliaan Wanita dalam Agama Hindu

Adat kemuliaan wanita dalam agama Hindu menurut Ahmad Shalabi dalam Perbandingan Agama-agama yang Terbesar di India (Hindu-Jaina-Buddha, 1970) menunjukkan syurga seorang isteri bergantung kepada keredaan suaminya. Contohnya, bapa pengantin perempuan yang mengahwinkan anak perempuan mereka tidak berhak menerima harta pengantin lelaki. Jika bapa pengantin perempuan menerima harta pengantin lelaki jelas menunjukkan bahawa bapa pengantin perempuan telah menjual anak perempuannya.

Adat Khojah

Adat Khojah di Bombay telah menetapkan bahawa anak-anak perempuan dikecualikan daripada mewarisi harta bapa mereka yang telah meninggal dunia. Selain itu, harta tersebut akan diberikan kepada isteri sebagai balu. Malah, adat Khojah di Bombay menurut Othman Ishak dalam Hubungan antara Undang-undang Islam dengan Undang-undang Adat (1997) yang diamalkan dalam adat Marumakhthayam oleh masyarakat Moplah di Malabar, Selatan India, adat Marumakhthayam melambangkan wanita sebagai pengganti lelaki.

Adat Menyapu Madu di Bibir Bayi

Adat menyapu madu di bibir bayi di India menurut Abdullah Zakaria Ghazali, et al. dalam Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963 (2004) diamalkan oleh golongan Brahmin di India. Selain itu, amalan tersebut dalam artikel yang bertajuk “Pantang Larang Orang India” (2015) dilakukan pada bayi yang baru dilahirkan dengan menyapukan campuran madu, air gula dan minyak sapi ke lidah bayi. Malah, penggunaan madu dapat melembutkan lidah dan memudahkan pertuturan bayi. Secara keseluruhannya, penggunaan minyak savvennai, iaitu campuran minyak bijan, minyak lenga dan mambu bersama madu yang disapukan ke lidah bayi dapat melindungi bayi agar tidak diserang dengan sebarang penyakit.

Adat Wanita Hamil di Selatan India

Adat wanita hamil di Selatan India telah diamalkan oleh masyarakat Tamil di Selatan India secara turun-temurun sejak dilahirkan hingga ke hari kematian. Oleh itu, semua wanita hamil di Selatan India perlu mematuhi semua adat seperti tidak boleh mengumpat, dengki dan bergaduh agar bayi dalam kandungan mereka tidak dipengaruhi oleh kuasa jahat. Jelaslah bahawa semua wanita hamil di Selatan India perlu mengamalkan perbuatan baik dan terpuji supaya anak yang dilahirkan menjadi insan yang berguna kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Adat Sati

Sejarah adat Sati menurut Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan dalam Sejarah Dunia (1500-1955) Penggal 1 Edisi Kemas Kini (2013) merupakan adat lama yang diamalkan oleh masyarakat beragama Hindu di India. Pada asasnya, adat Sati merupakan bentuk pengorbanan diri yang dilakukan oleh semua balu beragama Hindu yang dibakar bersama mayat suami ketika upacara pengebumian suami bagi melambangkan kesetiaan seorang isteri kepada suami. Selain itu, sejarah adat Sati turut diceritakan dalam kitab Vayu Purana, Skanda Purana, Kurma Purana, Padma Purana, Linga Purana dan Matsya Purana. Pelaksanaan adat Sati menurut R. C Majumdar dalam An Advanced History of India (1978) menunjukkan terdapat balu yang dipaksa melakukan adat Sati. Namun begitu, semua balu malang yang melarikan diri telah ditangkap semula untuk dipaksa meneruskan adat Sati. Semua badan balu tersebut ditutup menggunakan kayu, daun, jerami dan dua batang buluh sebelum api dibakar ketika memulakan adat Sati.

Gambaran adat Sati oleh James Atkinson pada tahun 1831

Sejarah adat Sati bermula menerusi sejarah perkataan Sati dan sejarah kehidupan Dewi Sati yang membakar dirinya agar dilahirkan ke dalam badan yang lain kerana kecewa dengan sikap ayahnya, Maharaja Daksha yang tidak menghormati Dewa Shiva, iaitu suami Dewi Sati. Oleh itu, Dewi Sati melakukan yoga sehingga muncul api besar yang membakar tubuhnya, selain berdoa agar dilahirkan kembali sebagai isteri Dewa Shiva. Kelahiran semula Dewi Sati sebagai isteri Dewa Shiva telah digelar sebagai Dewi Parvati. Kekuatan adat Sati melambangkan ketaatan seorang isteri kepada suami hingga ke akhir hayat.

Penentangan terhadap adat Sati di India bermula dari abad ke-15 hingga ke-18 Masihi. Selain itu, penentangan terhadap adat Sati pada tahun 1582 pernah dilakukan oleh Maharaja Akbar ketika pemerintahan empayar Mughal di India. Malah, Maharaja Aurangzeb turut menentang adat Sati pada tahun 1663. Penentangan terhadap adat Sati pada tahun 1918 oleh 800 orang balu juga menurut R.C. Majumdar dalam An Advanced History of India (1978) mendapat sokongan daripada Ram Mohan Roy dan Putera Nwarka Nath seperti dalam petikan yang berikut:

Sati. After carefully studgying the situation he decided to abolish it immediately. His zeal for reform was not shared by many. Even Raja Ram Mohan advised caution, believing that immediate abolition might cause great discontent and excitement. Bentick’s ardent desires for reform, however, brooked no delay. On 4th December 1829, was passed the famous Regulation XVII which declared Sati illegal and punishableby courts. Not only the persons who used inducedment or compulsion of any kind, but even those who were associated in any way with the voluntary act a Sati were by regarded as criminals. (R.C. Majumdar, 1978: 825)

Penghapusan Adat Sati dalam Akta 1829 dilaksanakan oleh Lord William Bentick setelah Lord Minto gagal menghapuskan adat Sati pada tahun 1828. Selain itu, Sir Charles Napier telah mengeluarkan perintah hukuman gantung sampai mati pada tahun 1950 terhadap para pendeta Hindu yang melakukan adat Sati. Malah, penghapusan adat Sati telah mencetuskan Dahagi India 1857 kerana ketidakpuasan hati penduduk di India ketika zaman penjajahan British. Secara keseluruhannya, kerajaan India telah mengeluarkan The Commission of Sati 1987 atau Suruhanjaya Undang-undang Pencegahan Adat Sati seperti yang berikut:

An Act to Provide for the more effective prevention of the commission of Sati and it glorification and for matters connected therewith or incidental thereto. Whereas sati or the burning or burying alive of widows or women is revolting to the feelings of human nature and nowhere enjoined by any of the religions of India as an imperative duty. And whereas is necessary to take more effective measure to prevent the commission of Sati and its glorification. (The Commission of Sati 1987)

Foto catatan yang menceritakan tiga orang ahli kumpulan Thug mencekik seorang pengembara Inggeris pada tahun 1837

Adat Thuggee

Sejarah adat Thuggee berasal daripada perkataan “Thug” dalam bahasa Urdu dan bahasa Sanskrit yang bermaksud penipu dan licik. Selain itu, kumpulan Thug merupakan kumpulan perompak di Utara India sejak zaman pemerintahan empayar Mughal. Kumpulan ini menurut Thug Encylopedia Com (1902) merupakan kumpulan perompak yang menggunakan rantai Garrotte untuk mencekik leher saudagar dan pengembara Barat sehingga mati. Secara keseluruhannya, kumpulan Thug sebagai kumpulan agama bersenjata di wilayah Timur Laut India telah melakukan rompakan di jalan raya selain mencekik saudagar dan pengembara Barat seperti dalam petikan yang berikut:

Not suit the circumstances of the current dark age of the Kali Yuga. As Kali, she is ferocious, destructive aspect of the divine. She has a terrible frightening.  appearance. She is jet black and naked, with long disheveled hair. (Sushil Mittal and Gene Thursby, 2006: 33)

Kekejaman adat Thugee yang mengorbankan nyawa ramai pengembara telah mendorong Lord William Bentick menghapuskan kumpulan Thug di India sehingga menimbulkan kemarahan kumpulan Thug yang menyokong adat Thugee. Sebanyak 3000 buah kumpulan Thug menurut Sushil Mittal dan Gene Thursby dalam Religions of South Asia: An Introduction (2006) berjaya ditangkap pada tahun 1831 hingga 1837. Penghapusan adat Thuggee oleh British juga telah mencetuskan Dahagi India 1857.

Adat Tidak Membenarkan Perkahwinan Semula Balu

Adat tidak membenarkan perkahwinan semula balu beragama Hindu menunjukkan bahawa mereka tidak boleh berkahwin semula selepas kematian suami mereka. Selain itu, balu perlu memakai sari berwarna putih dan tidak dibenarkan pulang ke rumah keluarga sendiri. Malah, Akta Perkahwinan Semula Balu dilaksanakan pada tahun 1856 setelah disuarakan oleh Pandit Iswar Chandra Vidyasagar sebagai Pengetua Kolej Bahasa Sanskrit. Secara keseluruhannya, pelaksanaan Akta Perkahwinan Semula Balu, iaitu Widow Remarriage Act oleh Lord Dhalhousie pada tahun 1853 telah mencetuskan Dahagi India 1857.

Kajian tentang Akta Perkahwinan Semula Balu yang ditulis oleh Pandit Iswar Chandra Vidyasagar

Secara keseluruhannya, sistem adat istiadat dalam agama Hindu telah dilaksanakan sejak zaman permulaan tamadun India hingga ke abad ke-21. Selain itu, sejarah dan perkembangan zaman penjajahan British di India telah membawa perubahan besar terhadap sejarah adat istiadat dalam agama Hindu sehingga mencetuskan Dahagi India 1857. Malah, kepentingan sejarah adat istiadat dalam agama Hindu di India turut melambangkan warisan tamadun India secara turun-temurun dan mana-mana adat yang tidak sesuai akan dihapuskan bagi mengelakkan perkara yang tidak baik berlaku secara berterusan. Jelaslah bahawa kepentingan sejarah adat istiadat yang baik dalam agama Hindu terus diamalkan oleh semua masyarakat beragama Hindu di India sehingga kini.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036583
    Visit Today : 65
    This Month : 19182
    Total Visit : 1036583
    Hits Today : 134
    Total Hits : 4252489
    Who's Online : 17
  • Kategori