OLEH IBRAHIM MAJDI MOHAMAD KAMIL

Pendahuluan

Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menjadi ejen sosialisasi yang penting dalam struktur sosial masyarakat. Oleh yang demikian, kerajaan menerusi jabatan pendidikan tinggi telah memperkenalkan dan mewajibkan subjek Mata Pelajaran Umum (MPU) kepada semua pelajar IPT sama ada awam atau swasta daripada pelbagai peringkat pengajian. Mata Pelajaran Umum mempunyai beberapa kategori dan salah satunya merupakan kategori wajib dengan kod U1. Salah satu subjek dalam kategori ini ialah subjek Hubungan Etnik (HE).

Subjek HE merupakan subjek wajib diambil oleh pelajar Malaysia pada peringkat sarjana muda. Di dalam buku garis panduan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2016, sipnosis subjek HE seperti yang berikut:

Kursus ini membincangkan konsep asas, latar belakang dan realiti sosial masa kini hubungan etnik di Malaysia daripada perspektif kesepaduan sosial. Tujuan kursus ini ialah memberikan kesedaran dan penghayatan dalam mengurus kepelbagaian ke arah pengukuhan negara bangsa. Pengajaran dan pembelajaran akan dilaksanakan dalam bentuk pembelajaran berasaskan pengalaman melalui aktiviti individu, berpasukan dan semangat kesukarelaan. Pada akhir kursus ini, pelajar diharapkan dapat mengamalkan nilai-nilai murni, mempunyai jati diri kebangsaan, dan menerima kepelbagaian sosiobudaya etnik di Malaysia.” (Jabatan Pengajian Tinggi, 2016).

Kursus HE dilihat bertujuan untuk memupuk nilai cinta pada negara dan nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat. Subjek Hubungan Etnik boleh dijadikan subjek dua kredit atau tiga kredit dan mempunyai hasil pembelajaran kursus yang berlainan.

Subjek HE dengan dua kredit, hasil pembelajaran kursus adalah; (i) membincangkan isu dan cabaran dalam konteks hubungan etnik di Malaysia; (ii) menilai kepentingan jati diri kebangsaan dan kesukarelaan ke arah mewujudkan warganegara yang bertanggungjawab; dan (iii) membina hubungan dan interaksi sosial pelbagai etnik. Manakala untuk subjek HE dengan tiga kredit pula, hasil pembelajarannya adalah; (i) menghuraikan isu dan cabaran dalam konteks hubungan etnik di Malaysia; (ii) menilai kepentingan jati diri kebangsaan dan kesukarelaan dalam pelbagai konteks ke arah mewujudkan warganegara yang bertanggungjawab; dan (iii) membina dan memupuk hubungan dan interaksi sosial pelbagai etnik.

Kajian mengenai subjek HE telah banyak dibincangkan terutamanya di IPT. Penulisan ini memfokuskan mengenai kepentingan subjek HE dalam mewujudkan sebuah kesepaduan sosial dalam kalangan pelajar, seterusnya dapat melahirkan sebuah masyarakat yang berkasih sayang tanpa mengira sempadan etnik dan agama.

Subjek Hubungan Etnik Sebagai Kursus Wajib Universiti

Meskipun subjek HE diwajibkan di kedua-dua IPT, iaitu awam mahupun swasta (IPTA, IPTS) penulis berpendapat bahawa terdapat perbezaan dalam penerimaan dan kesan pembelajaran HE dalam kalangan mahasiswa. Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia (2019), Perkara 153 Perlembagain Persekutuan memperuntukkan mengenai hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Salah satunya dalam bidang pelajaran, iaitu sistem kuota yang diperkenalkan bagi mengalakkan lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dapat meneruskan pengajian di IPTA.

Dalam menjayakan Dasar Ekonomi Baru (DEB), satu usul tambahan telah dimasukkan dalam Perlembagaan Malaysia dan mendapat kelulusan parlimen melalui Usul 8A. Perkara 153(8A) Perlembagaan Persekutuan menyebut;

“Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika di dalam mana-mana Universiti, Kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Malaysian Certificate of Education atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan Universiti, Kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat-tempat itu, maka adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong menurut kuasa Perkara ini memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada pihak berkuasa itu untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada tempat-tempat itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.”

Oleh yang demikian, demografi antara IPTA dan IPTS adalah berbeza disebabkan kebanyakan demografi IPTA melihat masyarakat Melayu dan etnik Bumiputera lebih dominan berbanding dengan etnik yang lain. Berbeza dengan IPTS yang tidak mempunyai kuota sebagaimana IPTA yang dilihat mempunyai demografi pelajar yang lebih rencam dan seimbang dalam kalangan kepelbagaian etnik di Malaysia. Perkara ini menjadi justifikasi kepada penulis dalam memfokuskan penulisan kepada IPTS.

Cabaran Subjek Hubungan Etnik Di Institusi Pengajian Tinggi

Adalah menjadi kebiasaan apabila ramai pelajar di IPTA dan IPTS yang mengambil kursus HE dalam satu semester dan perlu berada dalam kelas yang ditentukan. Hal ini menjadi cabaran terbesar buat pensyarah yang mengajar kursus HE seperti perlu memantau dan mengendalikan pelajar yang ramai dalam satu-satu kelas.

Cabaran berikutnya apabila pensyarah perlu kreatif dan berusaha menerapkan objektif kursus HE sebaik-baiknya kepada setiap pelajar. Selain itu kursus HE dipandang tidak penting berbanding kursus lain dan diambil ringan oleh sebahagian besar pelajar. Hal ini menimbulkan masalah lain seperti pelajar tidak datang atau lewat ke kelas, tidak memberikan perhatian dalam kelas dan sebahagiannya hanya menginginkan lulus untuk kursus HE agar membolehkan mereka bergraduasi.

Selain itu, sebahagian besar pelajar yang mengambil subjek HE adalah dalam kalangan pelajar tahun satu di antara pelbagai tahun pengajian dan mereka masih dalam keadaan ‘honeymoon’ pada awal tempoh pengajian. Cabaran-cabaran tersebut perlu diatasi bagi mencapai matlamat kerajaan agar kursus HE dapat melahirkan pelajar yang mempunyai semangat kekitaan tidak mengira bangsa dan agama.

Oleh yang demikian, penulisan ini membincangkan sebahagian usaha dan cadangan yang boleh dilakukan di IPT di Malaysia agar kesepaduan sosial dapat dicapai melalui kursus HE.

Membentuk Hubungan Etnik dalam Kalangan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi

Dalam membincangkan perkara ini, penulis merujuk salah satu objektif pembelajaran dalam kursus HE, dalam objektif ketiga hasil pembelajaran kursus HE iaitu, (iii) membina dan memupuk hubungan dan interaksi sosial pelbagai etnik. Pelbagai kaedah boleh digunakan dalam menjayakan hasil pembelajaran terutamanya melalui aktiviti berkumpulan.

Dalam setiap aktiviti berkumpulan sama ada di dalam kelas atau aktiviti luar kelas, peranan pensyarah penting dalam memastikan pelajar dapat bergaul dengan rakan-rakan etnik yang lain bagi menimbulkan rasa kerbersamaan tanpa mengira etnik dan juga disebabkan latar belakang pendidikan mereka yang berbeza. Misalnya, sebahagian pelajar datang dari sekolah vernakular dan menyebabkan mereka kurang mempunyai rakan sehingga menimbulkan rasa prasangka terhadap etnik yang lain. Oleh itu, para pensyarah kursus HE bertanggungjawab dan perlu berusaha mengharmonikan keadaan ini dalam kalangan pelajar mereka.

Dalam memenuhi hasil pembelajaran nombor dua iaitu, (ii) menilai kepentingan jati diri kebangsaan dan kesukarelaan dalam pelbagai konteks ke arah mewujudkan warganegara yang bertanggungjawab, pelajar kursus HE perlu didedahkan dengan komuniti. Antara aktiviti yang pernah dijalankan seperti program khidmat sosial bersama masyarakat orang asli di sekitar Lembah Kelang, membuat kajian etnik minoriti masyarakat peranakan di Malaysia seperti Baba Nyonya, Chetti, Bugis, Jawa, Jawi Peranakan dan sebagainya.

Program dan aktiviti sebegini sangat penting kepada pelajar masa kini kerana mereka tidak pernah bertemu malah tidak mengetahui kewujudan etnik minoriti yang terdapat di Malaysia. Para pelajar dapat melakukan aktiviti kesukarelaan dan pada masa yang sama dapat menimbulkan semangat nasionalisme dan cinta pada negara dengan lebih teguh apabila mereka memahami dan menghayati keunikan dan kepelbagaian etnik yang ada di Malaysia.

Hasil pembelajaran pertama dalam kursus ini iaitu, (i) menghuraikan isu dan cabaran dalam konteks hubungan etnik di Malaysia. Pembelajaran dalam kelas sangat penting bagi memenuhi objektif hasil pembelajaran. Pelajar akan didedahkan dengan konsep dan isu-isu semasa berkenaan hubungan etnik seperti konsep budaya, masyarakat, integrasi dan segregasi. Kesemua konsep ini perlu difahami dalam menjelaskan isu-isu dan cabaran hubungan etnik di Malaysia.

Kesimpulan  

Sesungguhnya hubungan etnik di Malaysia mempunyai pasang surutnya. Pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti kegiatan perdagangan, penjajahan dan pencantuman wilayah. Kesemua faktor ini telah mewujudkan masyarakat majmuk di Malaysia. Meskipun kita berbangga dengan kemajmukan masyarakat di Malaysia, kepelbagaian ini perlu diuruskan dengan baik.

Aspek utama yang mendasari masyarakat majmuk di Malaysia adalah melalui kesepaduan sosial bagi membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang bersatu padu, bertoleransi dan hidup harmoni. Institusi Pendidikan memainkan peranan penting dalam menerapkan penghayatan dan praktikal terhadap para pelajar di IPT menerusi pengenalan subjek HE khususnya dalam kalangan pelajar tempatan di Malaysia. Oleh yang demikian, usaha seperti ini perlu diuruskan dengan baik agar dapat memenuhi tuntutan kerajaan dalam mewujudkan sebuah masyarakat majmuk yang harmoni di Malaysia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    801650
    Visit Today : 609
    This Month : 27212
    Total Visit : 801650
    Hits Today : 3463
    Total Hits : 3271748
    Who's Online : 12
  • Kategori