Judul Buku                :Diplomasi Multilateral dalam Forum Serantau ASEAN

                                Penulis                       :Bakri Mat

                                Penerbit                     :Dewan Bahasa dan Pustaka

                                Tahun Terbit               :2009

                                Harga                         :RM12.00

                                Pengulas                    :Zulfiqar bin Mohd Yusof

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, diplomasi bermaksud seni atau amalan mengurus hubungan antarabangsa. Manakala multilateral melibatkan penyertaan banyak pihak atau negara seperti dalam pertubuhan dunia, perjanjian atau pakatan. Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua pula, diplomasi bermaksud kecekapan mengurus perhubungan rasmi antara satu negara dengan negara lain. Oleh hal yang demikian, diplomasi multilateral bermaksud mana-mana negara atau pihak yang terlibat secara bersemuka untuk menyelesaikan sebarang masalah sama ada secara dialog atau perbincangan melalui pertubuhan dunia dan serantau, perjanjian atau pakatan.

Diplomasi multilateral telah wujud sejak Perjanjian Westphalia 1648 lagi. Kini terdapat pelbagai pertubuhan antarabangsa yang telah mempraktikan diplomasi multilateral sebagai pendekatan untuk menguruskan hubungan antara negara-negara anggota. Antara pertubuhan antarabangsa tersebut ialah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Komanwel dan ASEAN. Perbincangan utama dalam buku ini adalah peranan dan keberkesanan diplomasi multilateral yang diamalkan oleh Forum Serantau ASEAN (ARF). ARF yang ditubuhkan pada tahun 1994 telah berperanan dalam membincangkan isu-isu politik dan keselamatan membabitkan seluruh negara di rantau Asia – Pasifik.

Asas dan matlamat Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama ASEAN (TAC) telah dijadikan tatakelakuan dalam ARF. ARF beroperasi dalam dua bentuk, iaitu pertama ia melibatkan badan atau pertubuhan formal seperti dalam kalangan Menteri Luar ARF, pegawai-pegawai kanan dan kumpulan pekerja sokongan. Kedua, membabitkan institusi informal seperti penganjuran seminar, kursus atau pembentukan kumpulan kerja bagi membincangkan atau menangani isu-isu berkaitan politik dan keselamatan. Kewujudan kumpulan pemikir dan pusat kajian strategik banyak membantu menjayakan diplomasi bentuk kedua.

Dalam bab pertama, penulis menyenaraikan tiga objektif utama perbincangan buku ini. Objektif pertama ialah memahami konsep diplomasi multilateral dan bagaimana pelaksanaannya dibuat dalam konteks antarabangsa. Setelah memahami konsep dan pelaksanaan, keberkesanan sesebuah pertubuhan yang menggunakan pendekatan diplomasi multilateral dalam penyelesaian dan pengurusan konflik akan dinilai. Objektif terakhir pula ialah melihat cabaran dan kelebihan yang wujud kesan daripada amalan diplomasi multilateral dalam pengurusan konflik dan proses interaksi antara negara-negara dalam sesebuah pertubuhan antarabangsa.

Bab kedua pula, penulis menerangkan terlebih dahulu tentang latar belakang tersebut yang dari segi definisi, konsep dan sejarah diplomasi multilateral. Diplomasi terbahagi kepada dua, iaitu lama dan baharu. Diplomasi lama turut dikenali sebagai diplomasi bilateral atau dua hala yang mencapai kemuncaknya pada abad ke-19. Manakala diplomasi bentuk baharu merupakan diplomasi multilateral yang berkembang pesat sejak abad ke-20 sehingga kini.

Diplomasi multilateral berkembang atas faktor pandangan masyarakat dunia bahawa diplomasi tersebut mampu menyediakan peluang terbaik untuk kejayaan sesuatu rundingan; keanggotaan dalam mana-mana pertubuhan utama antarabangsa akan meningkatkan prestij sesebuah negara di mata dunia; persidangan secara multilateral memberi peluang kepada perwakilan atau peserta yang terlibat membincangkan isu-isu di luar agenda formal; diplomasi multilateral boleh digunakan oleh mediator yang berpengaruh untuk memulakan siri rundingan secara bilateral bagi menyelesaikan isu-isu penting membabitkan dua negara dan menjamin prospek sesuatu perjanjian yang telah ditandatangani akan dipatuhi. Diplomasi multilateral juga mempunyai prosedur pelaksanaan seperti pemilihan tempat, keanggotaan dan penyertaan, penentuan agenda, kaedah prosiding, mekanisme dan strategi membuat keputusan, penubuhan dan pengurusan sekretariat.

Bab ketiga pula, penulis membicarakan tentang amalan diplomasi multilateral dalam ARF. Perbincangan bermula dengan ciri-ciri ARF untuk membezakannya dengan organisasi multilateral yang lain. Ciri-ciri tersebut ialah ARF tidak mempunyai struktur organisasi; tidak memiliki sekretariat, bertindak sebagai forum dialog untuk membahaskan isu-isu berkaitan Asia-Pasifik dan berfungsi sebagai mekanisme yang menggerak dan mengembangkan usaha kerjasama ke arah kestabilan dan keamanan rantau Asia-Pasifik. Diplomasi multilateral ARF terbahagi kepada dua bentuk, iaitu formal (Track I) dan informal (Track II).

Diplomasi Track I melibatkan hubungan kerajaan dengan kerajaan. Diplomasi ini dapat dilihat pada peringkat Menteri Luar ARF, pegawai-pegawai kanan ARF dan kumpulan kerja. Diplomasi Track II dilaksanakan melalui badan-badan seperti Institut Kajian Strategik, Majlis Keselamatan dan Kerjasama Asia – Pasifik (CSCAP) dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa ASEAN (ASEAN – ISIS) yang menyentuh isu-isu yang melibatkan kepentingan atau keperluan semasa ARF. Sinergi yang terbentuk antara kedua-dua diplomasi itu mampu menyumbang kepada Tindakan Pembinaan Keyakinan (CBM).

Bab keempat, penulis telah mengemukakan antara kelebihan dan kelemahan diplomasi multilateral dalam ARF. Bagi aspek kelebihan, diplomasi multilateral membolehkan setiap negara memenuhi keperluan nasional masing-masing melalui saluran yang betul dan pendekatan diplomatik tanpa menidakkan kepentingan negara lain. Ia juga meningkatkan penyertaan negara-negara anggota, membolehkan pelbagai isu dan konflik yang wujud dapat diselesaikan dengan efektif melalui kerjasama peringkat global, meningkatkan prestij negara-negara berstatus kecil melalui penyertaan dalam pertubuhan antarabangsa, melahirkan kecenderungan untuk bekerjasama, terutamanya dalam kalangan negara kuasa besar selain mengelak pendekatan secara konfrontasi atau konflik ketika berdepan dengan pelbagai isu.

Buku Diplomasi Multilateral dalam Forum Serantau ASEAN yang merangkumi lima bab termasuk pendahuluan dan penutup, amat sesuai dirujuk oleh para pelajar dan pengkaji dalam bidang sejarah dan hubungan antarabangsa. Buku yang diterbitkan lebih sepuluh tahun yang lalu ini masih relevan dijadikan rujukan terutama untuk memahami sejarah dan peranan ARF ketika berdepan dengan pelbagai isu politik dan keselamatan di rantau Asia Pasifik. Terdapat isu yang masih belum selesai sehingga kini antaranya tuntutan bertindih di Laut China Selatan, ketegangan di Semenanjung Korea dan percambahan senjata nuklear. Oleh itu, buku ini boleh dibaca untuk mengetahui apakah peranan ARF ketika berdepan dengan isu-isu tersebut dan mengapakah ia masih gagal diselesaikan.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048320
    Visit Today : 638
    This Month : 30919
    Total Visit : 1048320
    Hits Today : 1588
    Total Hits : 4300634
    Who's Online : 14
  • Kategori