Judul buku    : Sejarah Perisikan di Malaysia

                                              Penulis          : Azaharudin Mohamed Dali

                                              Penerbit         : Dewan Bahasa dan Pustaka

                                              Tahun terbit  : 2014

                                              Harga             : RM35.00

                                              Pengulas       : Zulfiqar bin Mohd Yusof

 

Buku Sejarah Perisikan di Malaysia ini mempunyai 16 bab secara keseluruhan termasuk pendahuluan dan kesimpulan yang membincangkan tentang kegiatan perisikan di negara ini ketika era Perang Dunia Pertama (PD1), Perang Dunia Kedua (PD2), pemberontakan (Insurgensi) Parti Komunis Malaya (PKM) dan Konfrontasi Indonesia – Malaysia. Kegiatan perisikan telah wujud sejak zaman tamadun awal manusia lagi. Seni Peperangan yang merupakan karya Sun Tzu amat mempengaruhi dunia perisikan Tamadun China dan Jepun. Manakala Arthasastra, hasil tulisan Kautilya menjadi rujukan penting dalam Tamadun India.

Dunia perisikan juga tidak asing dalam Tamadun Islam. Talhah bin Ubaidillah dan Said bin Thabit merupakan antara perisik Islam yang terawal. Tanpa perisikan, Genghis Khan dan para penggantinya tidak berupaya membina empayar Monggol yang terbentang luas dari Timur hingga Barat. Walaupun Tamadun Melayu tidak menghasilkan karya ketenteraan seperti Tamadun China dan India, namun tidak bermakna aspek perisikan tidak wujud sama sekali. Kewujudan perkataan risik, perisik dan merisik dalam kosa kata bahasa Melayu sudah cukup membuktikan bahawa Tamadun Melayu turut menitikberatkan kegiatan perisikan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, risik atau risikan bermaksud usaha secara diam-diam untuk mengetahui sesuatu atau penyiasatan yang dilakukan dengan sembunyi-sembunyi. Risik turut bermaksud keterangan atau bukti yang diperoleh secara rahsia. Kegiatan perisikan dijalankan bagi memperoleh maklumat yang bertujuan untuk menangani ancaman musuh sama ada berbentuk fizikal atau psikologi.

Kajian mengenai perisikan agak terbatas disebabkan terdapat maklumat atau dokumen berkaitan kegiatan perisikan sesebuah negara yang masih rahsia. Kajian hanya dapat dilakukan berdasarkan sumber maklumat atau dokumen yang tidak lagi diklasifikasikan sebagai rahsia. Oleh sebab itu, bahan bacaan tentang perisikan amat terhad terutamanya dalam perisikan kontemporari. Dalam bab ketiga, penulis berhujah bahawa bidang perisikan kurang diberikan perhatian oleh pengkaji dan sejarawan. Bidang politik dan sosial lebih mendominasi terhadap kajian sejarah di Malaysia.

Bab keempat pula, penulis membincangkan tentang perisikan dan keselamatan British di Tanah Melayu ketika era PD1. Terdapat empat peristiwa yang menjadi ancaman terhadap keselamatan British di Tanah Melayu yang memerlukan perhatian serius pihak perisikan British, iaitu gerakan Pan-Islamisme dan peristiwa yang membabitkan Turki sepanjang PD1; gerakan nasionalis India yang bersubahat bersama pihak Jerman dan kebangkitan Tok Janggut di Kelantan.

Bab kelima hingga kesepuluh memfokuskan tentang kegiatan perisikan Jepun dan British ketika era PD2. Kegiatan perisikan Jepun di Tanah Melayu, Singapura dan Sumatera menjadi tanggungjawab Fujiwara Kikan. Perisikan Jepun telah bermula sebelum PD2 meletus lagi. Hal ini terbukti dengan kegiatan aktif perisik-perisik Jepun sejak 1930-an. Manakala warga Jepun telah berada di Tanah Melayu dan Singapura sebelum PD1. Mereka bekerja sebagai pelacur dan peniaga pelbagai jenis perkhidmatan seperti kedai gambar, gunting rambut dan klinik. Selain perisikan, Fujiwara Kikan bertanggungjawab menjalinkan hubungan dengan pelbagai pihak yang anti-British terutama dalam kalangan orang Melayu, Cina dan India.

Bagi meraih sokongan orang Melayu yang anti-British, Fujiwara Kikan menjalinkan hubungan dengan Kesatuan Melayu Muda. Penulis membincangkan jalinan kerjasama tersebut dalam bab keenam. Perisikan Jepun turut merekrut warga British untuk mendapatkan maklumat rahsia berkaitan ketenteraan. Bab ketujuh pula penulis menceritakan tentang Patrick Heenan dan C.J. Windsor yang dikatakan menjadi ejen sulit pihak Jepun. Jepun juga menjalinkan kerjasama dengan Liga Kemerdekaan India (LKI) untuk meraih sokongan kaum India di Asia Pasifik. Sokongan kaum India penting bagi Jepun yang mahu menakluk India daripada British. Kerjasama LKI dengan Fujiwara Kikan telah menghasilkan Tentera Kebangsaan India (TKI). Penubuhan TKI yang mendapat sokongan Jepun bertujuan untuk membebaskan India daripada penjajahan British. Penulis menghuraikan dengan lebih lanjut hubungan TKI dengan agensi perisikan Jepun dalam bab kesepuluh.

Aspek yang diberi perhatian dalam bab seterusnya ialah usaha Cawangan Khas memecahkan jaringan rahsia komunikasi PKM. Lee Meng yang merupakan ketua pembawa maklumat di Ipoh dibahas penulis untuk memahami hal ehwal komunikasi PKM. Bab ketiga belas meneliti peranan Lai Teck dalam dunia perisikan. Beliau merupakan ejen rahsia British dan Jepun walaupun memegang jawatan Setiausaha Agung PKM. Ketika PD2, Lai Teck telah mengkhianati PKM dan Force 136. Kisah kehilangan dan kematian beliau juga terdapat pelbagai versi selaras dengan hujahan yang dikemukakan oleh para sejarawan.

Kisah Haji Abdul Majid Zainuddin menjadi fokus utama dalam bab keempat belas. Beliau yang berkhidmat di dalam Cawangan Khas, Jabatan Polis Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Selat serta Biro Cerdik Politik telah ditugaskan untuk memantau dan meneliti jemaah haji Tanah Melayu bagi mengekang pengaruh Pan-Islamisme. Tema utama bab seterusnya ialah kegiatan perisikan Indonesia sewaktu era Konfrontasi Indonesia – Malaysia. Brigadier Jeneral Djatikusumo merupakan tokoh penting perisikan Indonesia yang turut bertanggungjawab dalam usaha memecah belahkan Persekutuan Malaysia.

Kesimpulannya, buku ini harus dijadikan koleksi para pembaca yang berminat tentang kisah perisikan, agensi dan kegiatan perisikan mereka sejak era PD1 hingga Konfrontasi Indonesia – Malaysia. Selain itu, buku ini juga sesuai dijadikan rujukan utama kepada para pelajar mahupun individu yang kerjayanya membabitkan bidang sejarah, hubungan antarabangsa, strategik, keselamatan dan pertahanan.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043892
    Visit Today : 313
    This Month : 26491
    Total Visit : 1043892
    Hits Today : 844
    Total Hits : 4285817
    Who's Online : 16
  • Kategori