Oleh ROSANI HIPLEE

Ruangan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS) kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) yang disiarkan dalam akhbar Utusan Sarawak merupakan sebuah ruangan yang sangat istimewa dan bermakna. Ruangan ini banyak membantu dalam melahirkan dan membina ramai penulis baharu yang bermastautin di Sarawak. Diyakini juga bahawa WBS merupakan ruangan bimbingan penulisan sastera pertama yang pernah diusahakan khas untuk penulis muda Sarawak di Malaysia, dan telah bertahan selama 25 tahun (pada tahun 2021 ini).

Pada awalnya, ruangan WBS diwujudkan berasaskan konsep “membimbing” dan “memberitahu” yang menekankan tiga bidang khusus, iaitu bahasa, sastera dan berita penerbitan (buku) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Konsep WBS dikhususkan kepada empat perkara yang berikut:

  • Membimbing dan memaklumkan kepada pengguna bahasa Melayu tentang cara berbahasa yang betul baik daripada segi tatabahasa, ejaan, semantik, sebutan dan seumpamanya di samping menyampaikan maklumat terbaharu tentang perkembangan bahasa Melayu;
  • Membimbing penulis baharu tentang kaedah, pendekatan ataupun cara penulisan kreatif (cerpen, novel), puisi, drama/ teater dan kritikan sastera) yang betul, berkesan dan bermutu;
  • Memaklumkan kepada pembaca, peminat buku serta masyarakat umum tentang buku-buku terbitan DBP dan cara mendapatkan buku berkenaan dengan cepat dan mudah;
  • Membuka satu lagi medan untuk para penggiat bahasa dan sastera.

Oleh itu, jelaslah bahawa konsep WBS adalah untuk membimbing penulis dan pembaca sekali gus, kerana setiap karya yang disiarkan berunsur pendedahan, pendidikan dan pengetahuan. Karya kreatif yang disiarkan merupakan bahan mentah yang tidak disunting. Karya mentah tersebut akan dibimbing dan dicadangkan untuk diperbaiki agar menjadi karya yang bermutu. Maka, kaedah bimbingan tidak terlalu tinggi aras ilmiah atau penyampaiannya, iaitu pembimbing perlu menggunakan laras bahasa yang mudah difahami.

Ruangan WBS merupakan usaha kreatif yang telah dilaksanakan oleh Tuan Haji Khalid Haji Ahmad, iaitu mantan pengarah DBPCS pada tahun 1996 dan editornya, Puan Che Zainab Omar, iaitu mantan Ketua Unit Penerbitan Multimedia. Wadah Bahasa dan Sastera pertama kali disiarkan pada 17 April 1996 dengan memuatkan Bimbingan Bahasa oleh Prof. Abdul Hamid Mahmood, cerpen “Adik” oleh Junaidah Razali dan puisi “Apakah yang Bakal Kita Tinggalkan” oleh Mohd. Taufek Mohd. Saed. Berikutnya, cerpen “Adik” karya Junaidah Razali merupakan cerpen yang pertama diulas dan telah disiarkan pada 24 April 1996.

Pada awal ruangan ini diperkenalkan, sebanyak empat buah buku siri WBS telah diterbitkan pada tahun 1999, iaitu:

  • Kuasai Bahasa Anda oleh Abdul Hamid Mahmood
  • Penulisan Cereka Novel oleh Othman Puteh
  • Penulisan Cereka Cerpen oleh Jais Sahok
  • Penghujung Resah oleh Peserta Bengkel WBS

Namun kini, pengisian ruangan WBS hanya diperuntukkan kepada penulisan cerpen, puisi dan bimbingan bagi setiap genre tersebut. Para penulisnya pula masih kekal, iaitu terdiri daripada anak Sarawak dan mereka yang bermastautin di Sarawak sahaja. Maka, hal ini merupakan suatu keberuntungan kepada golongan penulis muda Sarawak bagi memulakan sejarah penulisannya.

Sejajar dengan anjakan waktu, ruangan WBS pada 3 Julai 2019 telah bertukar kepada saiz A3 atau tabloid. Impaknya, ruangan tersebut telah disiarkan dua kali seminggu, iaitu pada setiap hari Rabu dan Khamis.

Malah, masthead atau nama akhbar WBS turut diubah pada 15 Januari 2020 berserta logo dan slogan “Memugar Tunas Kreatif” yang dicipta oleh Rosani Hiplee.

Selepas lebih dua dekad ruangan ini bertahan, pastinya telah banyak karya yang dihasilkan dan banyak penulis yang dilahirkan. Malah pada tahun 2021, jelas terbukti bahawa ramai penulis WBS yang konsisten menulis sehingga berjaya mencipta nama di podium sastera kebangsaan dengan beroleh gelaran dan anugerah dalam bidang penulisan. Mereka ialah ikon WBS yang wajar dibanggakan. Misalnya, Dahiri Saini, Radzemah Bolhassan, Yusuf Lotot, Abdul Rasid Subet, Rafaiee Ismail, Nur Azshielda Sahran, Jamilah Epin dan ramai lagi. Malah, Ratna Dewi Asmara dan Haji Haziq Ahmad Zaki telah menerbitkan sendiri buku masing-masing.

Sesungguhnya, bilangan jumlah penulis baharu tidak pernah surut di Sarawak, terutamanya dalam kalangan penyajak yang semakin bertambah saban tahun dengan nama-nama baharu yang diyakini bakal mengharumkan nama ibu pertiwi di persada sastera perdana. Tambah menarik lagi, apabila ruangan WBS ini menjangkau usia perak, pihak DBPCS telah menganjurkan Hadiah Sastera Tunas Sarawak (HSTS) 2020/ 2021 untuk julung kalinya. Objektif HSTS ialah;

  • Menggalakkan penulisan sastera kreatif dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera untuk terus berkembang.
  • Menghargai usaha para penulis muda dalam menghasilkan karya kreatif yang bermutu terutamanya dalam genre puisi dan cerpen.
  • Mengetengahkan bakat penulis muda sama sebaris dengan penulis mapan di negeri Sarawak.

Oleh itu, pihak urus setia HSTS 2020/2021 akan mengumpulkan karya penulis Sarawak yang disiarkan dalam ruangan WBS sepanjang tahun 2020 untuk dicalonkan. Kategori karya yang layak dicalonkan ialah cerpen dan puisi. Hanya karya penulis yang berasal dari negeri Sarawak layak dinilai untuk dicalonkan dalam pengiktirafan tersebut, dan cuma tiga orang penerima sahaja yang dipilih bagi setiap kategori tersebut.

Kesimpulannya, apabila mengimbas sejarah ruangan WBS dan memahami konsepnya, maka betapa ruangan WBS ini sangat bernilai dan wajar dihargai oleh golongan penulis Sarawak, terutama mereka yang kini telah bergelar dengan memperoleh pengiktirafan daripada hasil penulisan masing-masing. Sesungguhnya, ruangan ini telah berupaya menyalurkan segala perkongsian dan pencerahan ilmu penulisan, khususnya dalam bahasa kebangsaan yang sangat bermanfaat kepada bakal-bakal penulis muda Sarawak sejak lebih dua dekad. Maka, syabas kepada pihak DBPCS dengan kerjasama pihak akhbar Utusan Sarawak dalam memartabatkan dunia penulisan di Pulau Darul Hana menerusi wadah berharga ini.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042674
    Visit Today : 538
    This Month : 25273
    Total Visit : 1042674
    Hits Today : 1403
    Total Hits : 4280998
    Who's Online : 17
  • Kategori