Judul: Anak yang Berani

Penulis: Murad Arsad

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun: 2019

Pengulas: Atiqah Abd Rahim

Novel kanak-kanak yang berjudul Anak yang Berani yang setebal 109 halaman ini ditulis oleh penulis Murad Arsad. Istimewanya novel ini berkisarkan tentang keberanian tiga orang kanak-kanak yang kurang sempurna dari segi fizikal. Murad Arsad mengetengahkan watak seperti Lukman yang mengalami masalah penglihatan, Yusri mengalami masalah pendengaran dan Emylia yang mengalami masalah pertuturan.

Novel ini menceritakan kehidupan Lukman dan Yusri seperti mana kanak-kanak yang lain, gemar bermain-main pada waktu petang. Mereka pergi ke setiap rumah rakan sekelas untuk mengajak seorang lagi rakan untuk bermain bersama-sama. Namun begitu, disebabkan kekurangan fizikal diri, mereka sukar untuk mendapatkan kawan sepermainan.

Pada mulanya, Lukman dan Yusri pergi ke rumah Fendy. Rumah ibu bapa Fendy antara rumah yang terbesar dan tercantik di kampung mereka. Rumah batu dua tingkat itu berbeza daripada kebanyakan rumah yang lain, iaitu terdiri daripada rumah papan. Keindahan dan kemewahan rumah keluarga Fendy membuat mereka berasa teragak-agak untuk mengajak Fendy bermain bersama-sama. Namun, Lukman dan Yusri bertekad memanggil kawannya itu dari luar pagar rumah.

Lukman menekan loceng di pintu pagar sambil memberi salam. Walau bagaimanapun, kehadiran mereka tidak disenangi oleh bapa Fendy yang bernama Badrol. Badrol tidak suka anaknya bermain dengan anak orang miskin di kampung yang hanya tahu meminta wang daripadanya. Lukman menjelaskan mereka hanya mahu mengajak Fendy bermain bersama-sama, dan bukannya mahu meminta duit.

Tanpa menghiraukan kata-kata Lukman, Badrol menyuruh anaknya yang sedang bermain permainan komputer untuk menolak ajakan Yusri dan Lukman. Badrol sanggup berhabisan wang ringgit untuk membeli pelbagai permainan komputer untuk anaknya, asalkan anaknya tidak keluar bermain dengan budak-budak miskin di kampung itu. Lukman dan Yusri berlalu dari rumah Badrol dengan perasaan hampa. Mereka berhasrat untuk mengajak Emylia bermain bersama-sama dan berharap bapa Emylia tidak garang dan sombong seperti bapa Fendy.

Lukman dan Yusri menuju ke rumah keluarga Emylia pula. Mereka jarang mengajak Emylia bermain kerana mereka lebih suka permainan yang mencabar dan lasak di hutan atau di kebun kelapa sawit yang berdekatan dengan kampung mereka. Emylia pula lebih suka bermain batu seremban atau congkak. Oleh sebab mereka tiada pilihan lain, mereka mengajak Emylia untuk bermain sorok-sorok atau melastik burung di hutan.

Rumah keluarga Emylia biasa sahaja, iaitu rumah papan beratapkan zink. Emylia berada dalam tahun 4 dan sekelas dengan Lukman, Yusri dan Fendy. Prestasi pelajaran Emylia tidak begitu cemerlang. Oleh itu, ibu dan bapa Emylia amat tegas dalam soal pelajaran anaknya. Kedua ibu bapa Emylia menyediakan jadual waktu mengulang kaji pelajaran di rumah dan Emylia perlu mematuhinya dengan penuh berdisiplin.

Emylia perlu mengambil masa yang agak lama untuk menghabiskan bacaannya kerana dia menghidap sejenis penyakit berkaitan lidah sejak lahir. Lidahnya sukar untuk menyebut sesuatu perkataan seperti kanak-kanak normal yang lain. Disebabkan keadaannya itu, dia perlu berusaha dua kali ganda daripada rakan sekelasnya. Kadangkala, Emylia cuba mencuri tulang dengan menonton rancangan kegemarannya di televisyen tetapi pasti ditegur oleh ibu dan bapanya.

Semasa Emylia sedang menyapu sampah di halaman rumah, ayahnya memanggilnya naik ke rumah. Dia berdebar-debar melihat ayahnya membelek-belek buku laporan kemajuan murid. Ayahnya menegur Emylia kerana keputusan peperiksaannya yang masih kurang memuaskan. Emylia berasa sedih kerana perlu mengulang kaji di biliknya lebih lama lagi. Kerja tambahan yang diberikan oleh guru sekolahnya sudah memenatkannya, apatah lagi dia perlu menambah masa ulang kajinya.

Ketika itu, Lukman dan Yusri sudah sampai di halaman rumahnya. Lukman mendengar suara marah ayah Emylia dengan jelas, tetapi Yusri perlu mengamati suara tersebut dengan lebih dekat. Mereka menghampiri rumah Emylia untuk mendengar butir-butir percakapan ayah Emylia. Lukman terus memberi salam tetapi tidak dihiraukan oleh bapa Emylia. Lukman sekali lagi memberi salam, namun diherdik oleh bapa Emylia. Lukman dan Yusri saling berpandangan sebelum melangkah pergi. Mereka kecewa kerana sudah dua kali tidak mendapat kawan untuk diajak bermain pada waktu itu.

Ayah Emylia pula terpaksa menandatangani kad laporan anaknya itu. Setelah itu, ayah Emylia ke kebun dan berpesan kepada Emylia supaya mengulang kaji pelajaran. Sebaik sahaja motosikal ayahnya beredar dari perkarangan rumah, Emylia terus berlari ke tangga dan meninjau di sekitar halaman rumahnya sekiranya Lukman dan Yusri masih ada. Dia kecewa kerana kawannya sudah pergi. Dia juga berasa sedih kerana tidak dapat memenuhi harapan kedua ibu bapanya dalam pelajaran.

Setelah meminta izin untuk keluar daripada ibunya, Emylia berjalan keluar bersendirian. Yusri tersenyum melihat kelibat Emylia dan menunjukkan arah Emylia yang semakin menghampiri mereka kepada Lukman yang tidak jelas penglihatannya. Mereka bertiga kemudian bersepakat untuk bermain sorok-sorok di kebun kelapa sawit yang berdekatan. Semasa leka bermain, Lukman, Yusri dan Emylia tersesat di kebun tersebut sehingga lewat malam. Pencarian jalan keluar menemukan mereka dengan sekumpulan penjenayah yang diketuai oleh ayah Fendy, Badrol.

Apakah jenayah yang dilakukan oleh kumpulan Badrol? Bagaimanakah mereka dapat membantu pihak polis dalam menyelesaikan kes jenayah itu? Berjayakah mereka bertiga terlepas daripada kepungan kumpulan Badrol? Ketahui kesudahan ceritanya dalam novel Anak yang Berani.

Secara keseluruhannya, novel kanak-kanak ini mempunyai nilai dan pengajaran yang boleh diteladani. Kekurangan fizikal yang ada pada Lukman, Yusri dan Emylia tidak mematahkan semangat mereka untuk menghadapi cabaran dan bahaya yang menimpa. Walaupun serba kekurangan, mereka saling membantu antara satu sama lain.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013642
    Visit Today : 905
    This Month : 32987
    Total Visit : 1013642
    Hits Today : 3023
    Total Hits : 4135128
    Who's Online : 9
  • Kategori