Judul: Al-Imam Al-Ghazali dan Metodologi Kajiannya

Penulis: Adil Za’bub (Osman Haji Khalid, pent.)

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun: 1993

Pengulas: Muhammad Nuaim Bahron

Buku ini membincangkan tentang Imam al-Ghazali secara khusus dan metodologi yang boleh diguna pakai apabila mengkaji setiap karya beliau. Buku ini mengandungi 106 muka surat yang memuatkan lima bab kesemuanya. Buku ini juga merupakan terjemahan daripada buku Minhaj al-Bath ‘ind al-Ghazali edisi pertama oleh Adil Za’bub yang diterbitkan pada tahun 1980 oleh Ma’assasah al-Risah di Beirut dan kemudiannya telah diterjemahkan oleh Osman Haji Khalid ke dalam bahasa Melayu pada tahun 1993. Buku ini sesuai dijadikan panduan buat para pengkaji dalam kalangan pelajar, ilmuan, dan juga orang awam yang berminat mengkaji dan memahami setiap karya Imam al-Ghazali.

Bab pertama buku ini dimulakan dengan kisah hidup Imam al-Ghazali, iaitu penulis membawa pembaca menelusuri kisah hidup beliau sejak lahir dan tahap pendidikan yang telah dilaluinya. Penulis juga menceritakan tentang kehidupan Imam al-Ghazali sebagai seorang pelajar di sekolah Nizamiah yang banyak memberi kesan langsung dalam perkembangan pemikirannya sehinggalah beliau menjadi salah seorang tenaga pengajar. Penulis juga telah memuatkan satu kisah penting berkenaan dengan permusafiran ilmu Imam al-Ghazali dan perjalanan ilmiahnya sehingga berjaya menulis 300 buah buku. Selain itu, turut diceritakan suasana di Damsyik yang menjadi tempat Imam al-Ghazali berkelana seketika dan pada akhir bab ini, penulis menceritakan perihal kematian Imam al-Ghazali.

Bab kedua pula membincangkan mengenai aspek kebudayaan pada zaman Imam al-Ghazali. Menurut penulis, setiap pengkaji perlu mengetahui latar belakang zaman atau masa tokoh yang hendak dikaji kerana latar belakang tersebut memainkan peranan penting dalam memahami sesebuah karya tokoh yang dikaji. Aspek pengetahuan latar belakang menjadi panduan dan memberi gambaran yang jelas tentang asas-asas yang terbentuk dalam pandangan pemikir yang dikaji. Penulis turut memuatkan kategori ahli-ahli falsafah menurut Imam al-Ghazali dan maklumat berkaitan aliran ilmu dan falsafah yang wujud pada zaman beliau kerana para pengkaji perlu mengetahui aliran ilmu dan falsafah yang dibawa apatah lagi dalam mengkaji ketokohan dan latar belakang Imam al-Ghazali.

Bab ketiga pula membincangkan mengenai karya penulisan Imam al-Ghazali. Beberapa orang ilmuwan kontemporari menggelar Imam al-Ghazali sebagai ‘Raja Penulis’ disebabkan beliau merupakan seorang penulis yang prolifik. Penulis turut membincangkan tentang gaya bahasa dan metodologi penulisan Imam al-Ghazali yang disifatkannya sebagai seorang penulis yang kritis kerana setiap penulisan yang dihasilkan adalah jelas dan tersusun. Penulis turut menyenaraikan sebahagian karya yang ditulis oleh Imam al-Ghazali berserta metodologi yang tersendiri dan kandungan yang disusun secara kritis seperti Tahafut  al-Falasifah, Maqasid al-Falasifah, Mi’yar al-‘Ilm di Fan al-Mantiq, Ihya’ Ulum al-Din, Mishkah al-Anwar fi Lataifal-Akhbar, dan Al-Munqiz min al Dalal wa al-Mufsih’an an al-Ahwal. Kesemua karya tersebut turut diterangkan satu persatu oleh penulis bagi membantu pembaca untuk memahami isi dan kandungan karya sekali gus dapat membantu para pengkaji yang mengkajinya.

Dalam bab ini juga, penulis memuatkan subbab penting, iaitu ciri dan peringkat keraguan Imam al-Ghazali. Para pembaca perlu berhati-hati apabila membaca subbab ini kerana keraguan yang dimaksudkan adalah unjuran bagi menuntut ilmu bagi menghilangkan kejahilan dan keraguan. Penulis turut menekankan bahawa keraguan Imam al-Ghazali tidak meliputi semua kebenaran khususnya keyakinan Imam al-Ghazali yang tidak goyah berkaitan dengan kewujudan Allah, kerasulan Nabi Muhammad dan kepercayaan pada hari akhirat.

Bab ini turut memuatkan maklumat yang penting bagi para pengkaji Imam al-Ghazali berkenaan dengan peringkat-peringkat keraguan yang telah dilalui oleh Imam al-Ghazali dan bagaimana keyakinan dirinya terbentuk. Penulis turut memuatkan perjalanan diri Imam al-Ghazali dalam bidang tasawuf, pandangan ilmuwan lain berkenaan dengan tasawuf dan faktor-faktor yang mendorong Imam al-Ghazali kepada kehidupan bertasawuf. Menurut penulis, penting bagi sesuatu perkara diterangkan secara terperinci agar kefahaman dalam perkara yang dibincangkan dapat dijelaskan dan mengelak kekeliruan. Penulis turut menegur beberapa orang ilmuwan yang tidak bersikap kritis dan mengkaji Imam al-Ghazali secara semborono sehingga menimbulkan pandangan yang tidak benar berkaitan dengan Imam al-Ghazali.

Berikutnya, bab keempat pula membincangkan mengenai falsafah agama yang dipelopori oleh Imam al-Ghazali berdasarkan keyakinan beliau yang tinggi dalam agama. Penulis turut membincangkan mengenai sumber falsafah Imam al-Ghazali serta beberapa faktor yang mendorong beliau dalam membentuk falsafahnya yang tersendiri. Faktor pertama ialah suasana pada zamannya yang mempunyai banyak perselisihan dan permasalahan dalam agama. Manakala, faktor kedua ialah keinginan Imam al-Ghazali yang kuat dalam menerangkan “Hakikat Kebenaran” dan matlamat beliau adalah jelas kerana ingin mencari kebenaran yang hakiki.

Penulis turut membincangkan bagaimana para pengkaji dapat menemui dengan jelas falsafah Imam al-Ghazali. Menurut penulis, para pengkaji perlu merujuk kepada jawapan Imam al-Ghazali terhadap golongan mutakalimin, batiniah dan juga ahli-ahli falsafah pada zamannya. Kritikan Imam al-Ghazali melalui buku yang dihasilkan juga menjadi bukti pada kewujudan falsafah Imam al-Ghazali. Terdapat juga beberapa persoalan pokok yang dibincangkan oleh Imam al-Ghazali bagi menyangkal dakwaan ahli-ahli falsafah dan puak-puak yang telah sesat pada zamannya dalam membangkitkan persoalan ini. Antaranya ialah pendapat mengenai bahawa dunia ini ialah qadim, Allah tidak mengetahui yang terperinci, dan menafikan jasad yang dibangkitkan. Penulis turut menjelaskan bagaimana Imam al-Ghazali membantah dan membalas hujah dalam membetulkan persoalan yang telah dikemukakan dan berupaya menyangkal setiap dakwaan tersebut dengan tersusun berserta dengan pembuktian yang kukuh.

Bab kelima pula membincangkan metodologi yang menjadi panduan Imam al-Ghazali dalam mencapai hakikat kebenaran. Menurut penulis, bab ini sangat penting apabila para pengkaji Imam al-Ghazali dapat menemui metodologi Imam al-Ghazali dengan memahami kebenaran serta pembentukan karya tulisannya dalam memurnikan setiap ajaran yang telah jauh menyimpang dari kebenaran pada zamannya. Imam al-Ghazali tidaklah bersikap ekstrem dalam mengkritik atau menolak ilmu yang dibawa oleh para ilmuwan sebelumnya. Beliau turut mengadunkan ilmu dari tamadun lain dengan ilmu Islam sehingga wujud ilmu-ilmu baharu yang membolehkan lahirnya para ilmuwan yang berwibawa dalam menegakkan kebenaran.

Menurut penulis, prinsip yang kukuh dalam diri Imam al-Ghazali turut membantu memahami sesuatu kejadian yang berturutan antara satu dengan yang lain, iaitu pertama ‘sebab’ dan yang keduanya ialah ‘munasabah’. Penjelasan yang diberikan cukup membuktikan bahawa metodologi yang digunakan oleh Imam al-Ghazali dalam mencapai kebenaran adalah tersusun dan kritis. Jelasnya, Imam al-Ghazali turut menyatakan bahawa ilmu pengetahuan adalah anugerah daripada Allah SWT. Akhirnya, penulis menekankan bahawa Imam al-Ghazali sangat menekankan ilmu logik dalam membincangkan sesuatu masalah dan berupaya menyelesaikannya secara murni.

Kesimpulannya, para pengkaji yang ingin mengkaji Imam al-Ghazali perlu memahami segenap aspek yang telah dibicarakan. Kesilapan utama yang berlaku apabila para pengkaji tidak berlaku adil dan gagal meletakkan faktor yang penting semasa mengkaji seseorang tokoh. Justeru itu, buku ini dapat membantu bukan sahaja dalam memahami ketokohan dan kelimuan Imam al-Ghazali malah dapat dijadikan panduan dalam mengkaji tokoh-tokoh yang lain.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013901
    Visit Today : 1164
    This Month : 33246
    Total Visit : 1013901
    Hits Today : 4253
    Total Hits : 4136358
    Who's Online : 5
  • Kategori