Judul buku    : Pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan Borneo

                                                Penulis          : Mohd Radzi Abd Hamid

                                                Penerbit         : Dewan Bahasa dan Pustaka

                                                Tahun terbit  : 2009

                                                Harga             : RM29.00

                                               Pengulas       : Zulfiqar bin Mohd Yusof

Memilih kedudukan masa di Tokyo sebagai Garisan Tarikh Antarabangsa, Perang Dunia Kedua di Asia Pasifik yang turut dikenali sebagai Perang Pasifik bermula dengan pendaratan tentera Jepun di Kota Bahru, Kelantan pada 8 Disember 1941. Pada tarikh tersebut pukul 2.15 pagi, Jepun mendarat di Pantai Kuala Pak Amat yang terletak di antara Pantai Sabak – Badang, Kota Bahru. Pendaratan berlaku satu jam 10 minit sebelum Jepun menyerang Pearl Harbour, Hawaii yang merupakan pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS). Hal ini bermakna negeri Kelantan di Tanah Melayu merupakan medan pertempuran pertama dalam Perang Pasifik.

Dalam masa 70 hari bermula 8 Disember 1941 hingga 15 Februari 1942, tentera Jepun berjaya mengalahkan pasukan tentera British di Tanah Melayu dan Singapura. Tentera Jepun juga mara dengan mudah di Sarawak dan Sabah. Apakah faktor-faktor kejayaan tentera Jepun di Tanah Melayu, Singapura dan Borneo? Mengapakah British tidak mampu mempertahankan tanah jajahannya? Jawapan bagi persoalan ini dapat ditemui di dalam buku ini. Buku ini mempunyai 10 bab, penulis menghuraikan secara terperinci tentang strategi ketenteraan British dan Jepun dalam setiap pertempuran.

Bab pertama menceritakan tentang serangan tentera Jepun di utara Tanah Melayu yang bermula dengan pendaratan Divisyen ke-25 tentera Jepun di Singgora pada pukul 4 pagi serta Divisyen ke-5 dan Divisyen ke-18 di Singgora dan Pattani pada pukul 12 tengah hari. Kemaraan tentera Jepun telah menyaksikan pelbagai pertempuran yang berlaku yang melibatkan tentera British antaranya pertempuran di Changlun, Jitra dan Gurun. Kekalahan demi kekalahan telah memaksa British meninggalkan Pulau Pinang pada 12 Disember 1941 dan berundur ke Perak. Strategi serangan Jepun dan pertahanan British dalam pertempuran Kampar dan Slim River dihuraikan secara terperinci dalam dua bab yang seterusnya.

Penulis kembali membincangkan serangan tentera Jepun di negeri Kelantan dalam bab keempat. Kesungguhan tentera British yang ditempatkan di Kelantan dalam menentang kemaraan tentera Jepun terserlah apabila pihak British melakukan serangan balas untuk menduduki semula pantai Sabak, Badang dan Kuala Pak Amat yang ditawan Jepun. Sebelum ditawan, ketiga-tiga lokasi tersebut telah menjadi kawasan pendaratan tentera Jepun. Kapal-kapal Jepun turut diserang oleh Tentera Udara British sehingga mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan. Walau bagaimanapun, serangan balas Jepun telah menyebabkan Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, bandar Kota Bahru, Kubang Kerian dan Kuala Krai ditawan. Pertempuran di Kelantan berakhir selepas penawanan Kuala Krai pada 20 Disember 1941.

Perbincangan dalam bab seterusnya berkaitan dengan kemaraan tentera Jepun di Terengganu dan Pahang. Di Terengganu, tentera Jepun  mendarat di Besut sebelum mara ke Kuala Terengganu, Jertih, Kuala Berang, Dungun, Paka, Kijal dan Kemaman. Terengganu ditawan sepenuhnya pada 20 Disember 1941 tanpa sebarang tentangan British. Kemudian Jepun mara ke Kuantan sebelum berpecah kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama menuju ke Pekan dan kumpulan kedua mara ke Mentakab. Jepun juga berjaya menewaskan British dalam pertempuran di Gambang. Seluruh Pahang berjaya ditakluk Jepun pada 15 Januari 1942.

Kemaraan tentera Jepun di Negeri Sembilan dan Melaka pula dibincangkan dalam bab keenam. Tiada bab khusus untuk negeri Selangor dan Kuala Lumpur. Sebaliknya, penulis menjelaskan secara ringkas kemaraan Jepun di Selangor dan Kuala Lumpur pada awal bab keenam. Hal ini memandangkan Jepun begitu mudah menakluk Selangor dan Kuala Lumpur tanpa tentangan hebat daripada British. Pada 14 Januari 1942, Jepun mula menawan beberapa buah negeri bermula di Negeri Sembilan, Melaka dan seterusnya Johor melalui dua arah. Arah pertama melibatkan Kuala Lumpur – Seremban – Tampin – Gemas – Segamat – Kluang. Manakala arah kedua membabitkan Kuala Selangor – Port Swettenham – Port Dickson – Melaka – Muar.

Pertempuran yang berlaku di Negeri Sembilan, British telah melancarkan serangan hendap di Gemencheh yang telah mengakibatkan 8 kereta kebal musnah dan lebih 700 anggota tentera Jepun terbunuh dan ini telah mengakibatkan jepun terpaksa menarik diri di dalam pertempuran itu. Walau bagaimanapun, kemaraan Jepun di Melaka tidak ditentang langsung oleh British. Hal ini amat memudahkan serangan Jepun terhadap British di Johor. British telah mempersiapkan diri di Johor untuk melengahkan serangan Jepun terhadap Singapura. Pertempuran di Muar antara yang mendapat fokus penulis dalam bab 7 kerana strategi Jepun dan British telah dihuraikan secara terperinci.

Selepas Johor berjaya ditawan oleh Jepun, British mula memperkukuhkan benteng pertahanan Singapura. Kekuatan tentera British di Singapura dianggarkan berjumlah 85 000 anggota yang telah dibahagikan kepada sektor utara, barat, selatan dan tengah untuk dipertahankan. Menyedari kubu pertahanan di singapura sukar dikalahkan. Jepun mula mengatur strategi dan membuat persediaan yang rapi. Jepun mula menggempur Singapura pada 8 Februari 1942. Pengorbanan askar-askar Melayu terserlah ketika mempertahankan Singapura daripada jatuh ke tangan Jepun. Namun, Jepun tetap berjaya mengalahkan British. Pada 15 Februari 1942, British menyerah kalah.

Selain pertempuran di Tanah Melayu dan Singapura, penulis turut mengkhususkan satu bab tentang serangan Jepun terhadap Borneo yang membabitkan negeri Sarawak dan Sabah. Tidak banyak yang dapat dihuraikan oleh penulis dalam bab ini. Hal ini kerana Jepun berjaya menawan Sarawak tanpa tentangan hebat daripada British. Begitu juga di Sabah, Jepun dapat menawan dengan mudah.

Kunci kejayaan Jepun dalam setiap serangan mahupun pertempuran bergantung pada maklumat atau aktiviti perisikan yang amat penting untuk merangka strategi ketenteraan. Manakala kelemahan strategi ketenteraan pihak lawan pula, tentera British yang kurang terlatih dan kekurangan kelengkapan tentera menyebabkan British mudah ditewaskan. Oleh itu, dalam bab terakhir penulis menyenaraikan pengajaran berdasarkan prinsip-prinsip peperangan seperti pemilihan dan pengekalan tujuan; mengekalkan kelajuan dan kejutan; tindakan ofensif; penumpuan kekuatan; keselamatan yang merangkumi maklumat perisikan, sistem pertahanan dan kedudukan aset; kerjasama; kekenyalan dan faktor ekonomi tenaga.

Tuntasnya, buku ini wajib dibaca dan dimiliki oleh peminat tegar sejarah ketenteraan Malaysia. Bagi mereka yang berminat untuk mendalami atau sekadar menambah ilmu sejarah ketenteraan, buku ini adalah permulaan yang baik.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044925
    Visit Today : 1346
    This Month : 27524
    Total Visit : 1044925
    Hits Today : 5086
    Total Hits : 4290059
    Who's Online : 11
  • Kategori