OLEH SHAFA’ATUSSARA SILAHUDIN

Perkataan nazam berasal daripada Arab bermaksud gubahan atau karangan. Nazam terdiri daripada karangan puisi tentang sifat dua puluh, rukum Islam, rukun Iman dan keperibadian Nabi Muhammad SAW. Sejarah aktiviti nyanyian nazam berendoi di Pahang tidak dapat dipastikan dengan jelas. Namun, masyarakat tempatan berpendapat bahawa nazam berendoi dapat dikaitkan dengan sambutan tradisi menyambut kelahiran bayi pada abad kesembilan belas. Kumpulan nyanyian kaum lelaki dari institusi keagamaan (sekolah pondok) melagukan beberapa karangan nazam yang kemudiannya dipelajari oleh kaum wanita di rumah. Pada waktu itu, belum ada lagi institusi pengajian agama yang dikhaskan untuk kaum wanita.

Pada tahun 2016, sewaktu mengadakan kajian lapangan sebagai keperluan pengajian kedoktoran, saya telah mengikuti satu persembahan nazam berendoi oleh sekumpulan wanita di Kuantan, Pahang. Kumpulan ini diketuai oleh Makcik Ani berumur sekitar 50-an. Saya dimaklumkan, selain persembahan nazam berendoi untuk menyambut kelahiran bayi, kumpulan ini turut terlibat dalam kegiatan persembahan sempena sambutan Aidilfitri, mencukur rambut bayi, bersunat dan majlis Maulid Nabi. Kegiatan mereka adalah secara sukarela; digerakkan oleh rasa dan tanggungjawab kemasyarakatan dalam kalangan masyarakat setempat.

Berzanji semakin tenggelam dek zaman kerana keterlibatan golongan muda dalam kumpulan ini sangat sedikit.

Nyanyian nazam berendoi dipersembahkan antara hari ketujuh hingga empat belas selepas bayi dilahirkan. Persembahan dimulai dengan menyanyikan lagu Asma’ul Husna, iaitu 99 nama Allah, diikuti dengan membaca surah al-Fatihah. Bacaan teks daripada kitab Berzanji kemudian dilangsungkan disusuli bacaan atau nyanyian selawat. Pada waktu ini, ibu mengendong bayinya melangkah menuju setiap wanita yang berselawat dalam bulatan bagi meneruskan upacara memotong rambut. Setiap daripada mereka berselawat sambil memotong rambut bayi. Setelah upacara selesai, bayi kemudian diletakkan ke dalam buaian dan nyanyian selawat berakhir.

Setelah berehat beberapa minit, nyanyian nazam berendoi dimulakan. Dalam konteks ini, sebanyak sebelas rangkap nazam dinyanyikan. Setiap rangkap mempunyai empat baris. Setiap rangkap dibacakan dengan ucapan Lailahaillallah Muhammad Rasulullah. Nyanyian mereka tanpa diiringi sebarang alat muzik. Di bawah disertakan kesemua rangkap nazam yang dipersembahkan:

(1) Nazam dimulakan dengan Bismillah,  

disudahi pula Alhamdulillah,                         

janganlah anak berhati gundah,                      

dikau diayun nazam ditambah,                     

Lailahaillah Muhammad Rasulullah.

 

(2) Kuat semangat putera/puterimu tuan,

jangan terkejut dalam buaian,

dijemput kami hadir sekelian,

ibu bapamu minta endoikan,

Lailahaillah Muhammad Rasulullah.

 

(3) Selamat datang tuan dan puan,

Ibu bapa, adik, kakak sekalian,

sama-sama kita semua meraikan,

majlis buaian serta dodoikan,

Lailahaillah Muhammad Rasulullah.

 

(4) Dikandung ibu sembilan bulan,

air dan nasi tiada tertelan,

melahirkan dikau betapa kesakitan,

serasa bercerai nyawa di badan,

Lailahaillah Muhammad Rasulullah.

 

(5) Sebelum dikau jatuh ke lantai,

dengan segera bidan mencapai,

sudah dimandikan baju dipakai,

tingggallah ibu lemah dan longlai,

Lailahaillah Muhammad Rasulullah.

 

(6) Sesudah itu lalu di qamat,

minta doa supaya selamat,

ingatlah pesan Nabi Muhammad,

atas mengerja amal syariat,

Lailahaillah Muhammad Rasulullah.

 

(7) Bilalah anak meningkat dewasa,

ajarlah ilmu agama kita,

jikalau kita tiada masa,

serahkan pada alim ulama,

Lailahaillah Muhammad Rasulullah.

 

 (8) Jikalau anak sudahlah baligh,

lima perkara sudahlah wajib,

dirikan sembahyang mengangkat takbir,

sehari semalam jangan dimungkir,

Lailahaillah Muhammad Rasulullah.

 

(9) Ya Allah Malikul Izzati,

anak ini berilah rezeki,

Minta dikurniakan pangkat yang tinggi

dunia akhirat biar terpuji,

Lailahaillah Muhammad Rasulullah.

 

(10) Ya Allah Malikul Manan,

doalah kami minta perkenan,

siang dan malam sepanjang zaman,

bala dan fitnah minta dijauhkan,

Lailahaillah Muhammad Rasulullah.

 

(11) Tamatlah sudah anak diayunkan,

beramai-ramai kawan dendangkan,

salah dan silap harap dimaafkan,

makan dan minum minta halalkan,

Lailahaillah Muhammad Rasulullah.

Menerusi nazam berendoi, wanita-wanita ini mendoakan kesejahteraan bayi yang baru dilahirkan. Persembahan nazam berendoi secara tidak langsung telah menyuntik hati tetamu yang hadir dengan segala pesan sebagai pedoman dalam mendidik anak-anak seperti yang disyariatkan oleh agama. Nazam berendoi masih diamalkan dalam sebilangan masyarakat di Pahang meskipun ada petanda aktiviti ini semakin kurang mendapat tempat disebabkan beberapa faktor. Hal ini perlulah dikaji secara lanjut.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1260287
    Visit Today : 216
    This Month : 16424
    Total Visit : 1260287
    Hits Today : 836
    Total Hits : 5708131
    Who's Online : 17
  • Kategori