Judul buku: Panduan Penulisan Ilmiah: Laporan Penyelidikan,

Kajian Tindakan dan Tugasan Akademik

Penulis: Tan Siew Poh, Abdullah Yusoff dan Yusmiza Hanim Yusuf

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun terbit: 2019

Harga: RM15.00

Pengulas: Mohd Haniff Mohammad Yusoff 

 

Penghasilan sebuah penulisan ilmiah haruslah berstruktur dan terdapat beberapa perkara utama yang harus diberikan perhatian. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan penulisan ilmiah berbeza dengan penulisan biasa. Sasaran utama bagi golongan pembaca buku ini ialah pelajar universiti serta penyelidik. Buku ini sesuai untuk dijadikan panduan dalam menyelesaikan penulisan ilmiah terutama kepada pelajar baharu yang masih belum memahami teknik sebenar penulisan ilmiah. Sebagai pemudahcara, buku ini tampil dengan 10 bab yang merangkumi aspek-aspek yang dapat memberikan pencerahan dan pemahaman terhadap penulisan ilmiah.

Dalam bab 1, buku ini mendekati pembaca dengan pengenalan terhadap konsep-konsep umum berkaitan penulsian ilmiah. Permulaannya, penulis mengemukakan definisi-definisi berkaitan penulisan ilmiah secara jelas agar pembaca mendapat gambaran awal tentang penulisan ilmiah. Menurut penulis, penulisan ilmiah bolehlah disimpulkan sebagai sebuah bentuk penulisan yang mempunyai kaitan dengan tugasan, laporan penyelidikan dan kajian tindakan pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, pengajian peringkat siswazah dan juga pasca siswazah. Sebuah penulisan ilmiah dapat dibahagikan kepada tiga. Bahagian pertama merupakan pengenalan yang berperanan memberikan gambaran secara keselurahan tentang penulisan ilmiah yang dihasilkan. Bahagian kedua ialah menyampaikan wacana tentang isi, isu dan ilmu berkaitan bidang yang diketengahkan, manakala bahagian yang ketiga ialah kesimpulan yang merupakan rumusan terhadap keseluruhan penulisan ilmiah yang telah dihasilkan.

Menerusi bab 2, pembaca didedahkan dengan cara untuk mencari dan mendapatkan bahan. Penulis mendedahkan dua kaedah utama, iaitu secara fizikal dan juga cara mencari bahan melalui dalam talian berdasarkan carian pada pengkalan data yang telah diwujudkan seperti Google Scholar, MyJurnal dan sebagainya. Penulis turut memuatkan subtopik ‘Menilai Sumber Internet’ dalam bab ini sebagai panduan dalam menyaring sumber-sumber yang diperoleh melalui Internet.

Menyentuh bab 3 pula, buku ini menyentuh tentang teknik penulisan ilmiah yang perlu diketahui dan difahami oleh pembaca sebelum menghasilkan penulisan ilmiah. Terdapat beberapa perkara atau kaedah yang perlu dikuasai agar penulisan ilmiah yang dihasilkan berstruktur dan mengelakkan berlakunya plagiat dalam penulisan ilmiah. Plagiat merupakan jenayah yang begitu serius dalam penulisan ilmiah dan perkara ini perlu ditangani. Oleh itu, sumber rujukan yang dipetik atau yang diambil perlu ditulis dengan kaedah yang betul. Dalam bab ini, penulis tidak ketinggalan menyentuh tentang prafrasa, proses membuat ringkasan, penggunaan petikan, teknik mengarang dan pemilihan perbendaharaan kata. Menyelak halaman seterusnya, pembaca akan ditemukan dengan bab 4. Bab ini memberi pendedahan kepada pembaca akan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh penulis dalam penulisan ilmiah sama ada sedar ataupun tidak termasuklah kesalahan yang melibatkan tatabahasa.

Penulisan ilmiah merupakan sebuah penulisan yang berbentuk serius dan seharusnya terkawal dari segi struktur, pemerenggan, pemilihan perkataan, penghasilan ayat serta tautan antara ayat. Penulis  dalam buku ini menekankan beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian seperti penulisan ayat gramatis, penggunaan pelbagai jenis ayat, penggunaan kosa kata yang sesuai, tepat, pelbagai, ejaan yang betul, penguasaan kandungan, penyusunan dan perkembangan idea secara jelas dan teratur, membuat nukilan mengikut gaya yang ditetapkan dan permasalahan yang lainnya.

Bab 5 pula memfokuskan penulisan ilmiah untuk tugasan ilmiah yang dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu prapenulisan, penulisan draf pertama dan pascapenulisan. Pada bab 6 pula, pembaca diberi pendedahan terhadap penulisan ilmiah untuk laporan penyelidikan. Laporan penyelidikan biasanya sebahagian daripada tuntutan pada peringkat pengajian tinggi sebelum penghabisan pengajian sama ada pengajian pada peringkat Sarjana Muda, Sarjana atau Doktor Falsafah. Selanjutnya, pembaca akan diperkenalkan dengan kajian tindakan pada bab 7. Secara tidak langsung, apabila pembaca membaca bab 5, 6 dan 7, pembaca dapat mengenal pasti kriteria atau perbezaan antara tugasan ilmiah, laporan penyelidikan dan kajian tindakan.

Seterusnya penulis menumpukan kepada format laporan kajian tindakan dalam bab 8. Penulis menampilkan saranan dalam membentuk komponen-komponen yang terlibat dalam menulis laporan kajian tindakan seperti merangka tajuk, abstrak, latar belakang kajian, penyataan masalah, objektif kajian, persoalan kajian, tinjauan kepustakaan, kumpulan sasaran, metodologi, analisis data, perbincangan dapatan dan rujukan. Pada bab 9 pula, pembaca akan didedahkan dengan kaedah penulisan rujukan. Penulisan rujukan begitu penting bagi memastikan jenayah menciplak hasil penulisan orang lain dapat dielakkan dan dapat menghasilkan penulisan yang lebih bersistematik.

Setelah mengetengahkan pelbagai kaedah, saranan serta panduan dalam penulisan ilmiah, penulis mengakhiri buku ini dengan bab 10 yang menyentuh tentang penulisan ilmiah yang berkesan. Melalui bab ini, penulis secara terbuka memberi saranan yang bermanfaat kepada pembaca agar lebih teliti dalam menilai semula penulisan ilmiah yang telah dihasilkan. Penulis juga tidak ketinggalan dalam mengutarakan cadangan jika mengalami masalah dalam menghasilkan penulisan ilmiah seperti pengurusan masa dan cadangan ketika ketandusan idea.

Kesimpulannya, buku ini harus dijadikan sebagai panduan serta rujukan dalam menghasilkan sebuah penulisan ilmiah. Buku ini secara ringkasnya memberikan gambaran secara keseluruhan tentang penulisan ilmiah bermula daripada konsep penulisan ilmiah itu sendiri, seterusnya kepada proses mencari bahan, kaedah penulisan dan akhirnya proses menyemak semula hasil penulisan ilmiah yang dihasilkan. Ternyata buku ini wajar dimiliki oleh para pelajar mahupun penyelidik yang terlibat dalam penghasilan penulisan ilmiah sama ada laporan penyelidikan, kajian tindakan ataupun tugasan akademik.

 

 

 

 

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046087
    Visit Today : 983
    This Month : 28686
    Total Visit : 1046087
    Hits Today : 3210
    Total Hits : 4293775
    Who's Online : 7
  • Kategori