Oleh: Farihan bin Mohamad Taib

Malam tadi, buat ke sekian kalinya penulis berkesempatan menonton rancangan “Sukan Lejen” di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Entah sejak bila program berkenaan mula bersiaran, namun penulis kini mula tertunggu-tunggu siaran berkenaan saban minggu dan kerap juga merakamkan episod-episod tertentu, terutamanya melibatkan sukan bola sepak untuk koleksi peribadi. Program berkenaan menyorot dan menyiarkan rakaman acara-acara sukan bersejarah yang mencatatkan kejayaan gemilang Malaysia di samping temu bual secara langsung dengan tokoh-tokoh yang terlibat. Tidak dapat dinafikan, ia menggamit nostalgia zaman silam dan sering kali mencetuskan rasa syahdu serta pilu di jiwa, terutamanya apabila mengenangkan betapa sudah jauhnya usia kita bergerak seiring peredaran waktu tanpa kita sedari.

Kini, mungkin disebabkan sambutan hangat terhadap program “Sukan Lejen”, RTM telah meluaskan “Lejen” kepada acara hiburan pula, iaitu “Istimewa Lejen”. Konsert-konsert lama dan persembahan klasik melibatkan seniman-seniman veteran yang malar segar disiarkan semula di bawah slot “Lejen” ini. Sesungguhnya, penulis amat memuji dan menyanjung tinggi usaha-usaha RTM dalam memastikan koleksi bersejarah negara dikembangkan, disiarkan dan diketengahkan semula, terutamanya untuk bersaing dan mengisi vakum dunia penyiaran masa kini bagi memenuhi selera santai generasi baharu.

Perjalanan dari kampung menghala ke ibu kota seusai menghabiskan cuti hujung tahun 2020, ditemani dengan hujan yang berselang-seli antara lebat dan renyai. Ia menjadikan perjalanan kali ini amat nyaman dan dingin dengan pemanduan yang lebih tenang di bawah sinar matahari yang persis berada di kawasan tanah tinggi berkabus, namun turut diharungi dengan penuh kewaspadaan dek laluannya yang pastinya licin. Penulis bernasib baik kerana memulakan perjalanan sehari sebelum tragedi banjir yang hampir melumpuhkan laluan Lebuh Raya Pantai Timur pada 3 Januari 2021 dan memutuskan sementara jaringan perhubungan dari Pantai Timur ke ibu kota.

Sepanjang perjalanan, penulis walau bagaimanapun agak terkesan dengan perubahan pada nama kawasan hentian untuk para pemandu merehatkan badan dan melepaskan lelah. Entah sejak bila perubahan berkenaan berlaku, penulis tidak menyedarinya kerana memang sudah lama tidak melakukan perjalanan jauh merentas negeri, terutamanya pada era pandemik ini. Sebelum ini, hentian berkenaan dinamakan sebagai kawasan “Rehat dan Rawat” atau R&R. Namun, kini ia dijenamakan semula sebagai kawasan “Rehat dan Recaj”. Penulis tidak pasti rasional di sebalik penukaran atau penjenamaan semula ini kerana ia tidak pernah diuar-uarkan sebelum ini, sepanjang ingatan penulis.

Penulis cuba membuat carian di laman portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PPRM) bagi kedua-dua perkataan berkenaan, iaitu “Lejen” dan “Recaj”. Namun, malangnya carian bagi maksud kedua-dua perkataan berkenaan tidak dapat menemui hasil yang diharap-harapkan. Lantas, terus timbul persoalan di benak penulis, sama ada pihak yang terlibat ada merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ataupun tidak sebelum kedua-dua perkataan tersebut digunakan dengan meluas. Amat malang jika ia berlaku (tidak merujuk kepada DBP), memandangkan ia dilakukan oleh pihak yang ada kaitan rapat ataupun mempunyai hubungan langsung dengan kerajaan. Penulis percaya banyak lagi perkataan lain yang menerima nasib yang sama, digunakan terlebih dahulu secara meluas tanpa mendapat pandangan dan nasihat yang sewajarnya oleh pihak yang berautoriti.

Dalam hal ini, penulis percaya pihak yang berkaitan tidak mempunyai sebarang niat yang buruk walau sebesar zarah pun terhadap bahasa kebangsaan kita. Mungkin mereka terpengaruh dengan konsep dan kaedah negara jiran kita yang banyak menggunakan perkataan dan istilah daripada bahasa Inggeris yang terus diubah suai mengikut kesesuaian bahasa ibunda mereka. Dari satu segi, kaedah ini memperkayakan kosa kata sesuatu bahasa. Ia juga membantu memudahkan rakyat memahami bahasa Inggeris dengan baik memandangkan perkataan yang digunakan tidak jauh berbeza.

Sememangnya, pihak kerajaan tidak pernah alpa daripada usaha-usaha memperkasakan bahasa Melayu. Hal ini terbukti melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 – Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam berkuat kuasa mulai 15 Januari 2020. Sebelum itu pun, Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) pernah mengeluarkan Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 – Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 – Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam. Penulis juga pernah terlibat dalam program Audit Bahasa Melayu sewaktu bertugas di salah sebuah agensi kerajaan di Putrajaya suatu masa dahulu.

Dalam hal ini, penulis percaya DBP turut berperanan dalam menggalakkan dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di sektor swasta juga. Umum mengetahui, penggunaan Bahasa Inggeris lebih dominan di sektor swasta, baik dari segi surat-menyurat, pengendalian urusan mesyuarat, mahupun pertuturan harian oleh kakitangan masing-masing. Mungkin ramai daripada kita masih ingat beberapa kes klasik yang melibatkan penggunaan istilah atau diksi yang tidak bersesuaian dengan bahasa Melayu, apabila menjadi tular dan ditegur, telah diambil tindakan pembetulan dan penambahbaikan yang bersesuaian oleh pihak yang terlibat.

Oleh yang demikian, besarlah harapan penulis agar DBP terus utuh dan unggul sebagai “polis dan penguatkuasa bahasa” di negara kita. Beri dan tambahlah kuasa yang sewajarnya kepada DBP agar peranannya benar-benar lestari dan sentiasa kekal relevan sepanjang zaman. Dalam zaman “Budak-budak Wechat” yang sangat mencabar ini, percambahan istilah-istilah baharu yang tidak terduga oleh kita sebelum ini, boleh dinilai, dikaji dan dipertimbangkan oleh DBP untuk dimasukkan ke dalam laras bahasa Melayu. Ia juga selaras dengan konsep sesebuah bahasa itu yang sentiasa berkembang pesat dan tidak jumud atau statik pastinya.

Pesanan ikhlas penulis kepada semua pihak yang terlibat, semua warga Malaysia yang sayangkan bahasa kita ini, Jagalah ia, lindungilah ia dan kembangkanlah ia agar kita dapat kembali kepada suatu zaman di mana bahasa Melayu dikatakan telah pun menjadi lingua franca di peringkat antarabangsa, terutamanya pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka yang agung dan gemilang suatu ketika dahulu.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036705
    Visit Today : 187
    This Month : 19304
    Total Visit : 1036705
    Hits Today : 819
    Total Hits : 4253174
    Who's Online : 17
  • Kategori