Judul: Jerawat: Punca dan Cara Merawatnya

                                                        Penulis: Wan Ghazali Wan Mohamed

                                                        Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

                                                        Tahun: 2016

                                                        Pengulas: Diviya Devaraj

Jerawat atau acne vulgaris merupakan bisul kecil pada muka. Jerawat biasa berlaku pada remaja yang akil baligh disebabkan oleh perubahan hormon di dalam badan. Perkataan jerawat memang tidak asing pada kita terutamanya remaja. Jerawat boleh menggugat keyakinan seseorang dan boleh menjejaskan interaksi sosial. Semua orang mengidamkan kulit muka yang sempurna, halus dan licin tanpa jerawat tetapi bukan semua orang bernasib baik. Jadi, kita harus menerima hakikat dan cuba merawatnya secepat mungkin. Oleh itu, buku ini wajib dijadikan sebagai bahan rujukan oleh setiap individu yang ingin mendapat gambaran mengenai jerawat.

Buku ini amat sesuai dibaca bagi setiap individu terutama remaja yang ingin mengetahui tentang perawatan masalah jerawat. Buku ini mengandungi 77 muka surat termasuk lampiran mengenai beberapa jenis ubat yang digunakan dalam rawatan jerawat. Secara umumnya, buku ini mempunyai sembilan bab. Dalam bab pertama, penulis memberi sedikit gambaran mengenai jerawat. Penulis berpendapat bahawa jerawat merupakan suatu gangguan pada sistem tubuh akibat perubahan dari segi fisiologi dalam sistem tumbesaran bagi setiap individu. Proses ini dikatakan normal. Sungguhpun jerawat ialah fenomena biasa dalam masyarakat kita, namun begitu cara rawatan dan sebab-sebab timbulnya jerawat masih dianggap penuh misteri dan dibelenggu oleh kepercayaan karut.

Dalam bab kedua pula, penulis menjelaskan mengenai jerawat dengan lebih jelas. Jerawat sebenarnya bukan dikategorikan sebagai penyakit, kerana hakikatnya jerawat membayangkan suatu keadaan di dalam tubuh yang tidak berjalan dengan lancar dan sempurna. Dengan perkataan lain, jerawat merupakan suatu keadaan dalam tubuh yang tidak seimbang. Penulis juga membincangkan bahagian kulit dan organ-organ di bawah kulit yang bertanggungjawab dalam pembentukan jerawat secara ringkas bersama dengan rajah bagi memudahkan pembaca memahaminya. Liang pertama ialah liang folikel rambut atau roma, manakala liang kedua merupakan liang peluh. Liang folikel rambut bertanggungjawab terhadap jangkitan kuman dan pertumbuhan jerawat.

Selain itu, dalam bab ketiga penulis menjelaskan kepada pembaca mengenai faktor-faktor yang menyebabkan pertumbuhan jerawat. Penulis telah menekankan enam faktor penting dalam buku ini. Antaranya ialah faktor genetik, hormon, ubat-ubatan, bahan kimia, pemakanan dan persekitaran. Dalam faktor genetik, jika kita dapati bahawa dalam keluarga yang mempunyai jerawat berpanjangan, umpamanya jika kita mempunyai kakak atau abang yang mengalami masalah jerawat yang serius dan berlarutan, maka kita juga akan menerima nasib yang sama. Dalam faktor hormon pula, penulis menerangkan bahawa hormon androgen boleh menyebabkan timbulnya jerawat.

Dalam bab keempat, penulis telah membincangkan tentang tanda-tanda dan gejala jerawat boleh berlaku. Jika kita perhatikan keadaan jerawat pada kulit muka seseorang, kita dapat mengkategorikannya sebagai teruk, sederhana dan ringan. Jerawat boleh dikategorikan kepada tiga gred, iaitu jerawat gred pertama atau ringan, jerawat gred kedua atau sederhana dan jerawat gred ketiga atau teruk. Jerawat gred pertama dianggap paling ringan dan bintil-bintil halus berkepala putih dan hitam timbul. Bintil-bintil halus ini dinamai komedon. Jerawat gred kedua ini dicirikan dengan komedon berkepala hitam dan putih serta papul bernanah atau tidak bernanah. Jerawat gred ketiga pula dicirikan dengan kedua-dua jenis, iaitu komedon dan papul bernanah dan tidak bernanah tetapi pula dengan bintil bulat dan keras seperti sista.

Seterusnya, penulis telah membincangkan mengenai jenis-jenis jerawat dalam bab kelima. Penulis telah menyatakan 13 jenis jerawat bersama penjelasan yang ringkas. Antaranya ialah jerawat acne vulgaris, jerawat eksorikasi, jerawat keloid, jerawat batu, jerawat tropika, jerawat konglobata, jerawat nekrotika, jerawat agminata, jerawat fulminan, jerawat detergikan, jerawat geseran, jerawat neonatorum dan jerawat dalam kalangan kanak-kanak. Jerawat akne vulgaris merupakan jerawat yang biasa muncul dalam kalangan remaja. Jerawat jenis eksorikasi pula akan timbul sekiranya remaja gemar memicit, mencungkil dan mengusik papul atau apa sahaja letusan jerawat dengan menggunakan kuku, alat pencabut jerawat atau apa sahaja untuk menghilangkan jerawat secara fizikal.

Tambahan pula, pembaca diberi kefahaman mengenai penjagaan kulit yang berjerawat. Parut di muka sukar dirawat dan berkemungkinan kekal, manakala pigmen mengambil masa untuk hilang. Oleh itu, penulis telah menyarankan empat cara untuk menjaga kulit. Cara pertama adalah melalui pencucian. Kulit yang berjerawat mesti dicuci dengan cara biasa, iaitu mencuci dua kali sehari dengan menggunakan air suam dan sabun lembut. Cara kedua pula melalui cecair pelembap. Pelembap jenis tidak berminyak atau krim pelembut boleh digunakan pada tempat-tempat di muka yang dianggap kering khususnya di antara bintil-bintil jerawat. Cara ketiga adalah dengan penggunaan alat solek atau kosmetik untuk menutup bintil-bintil timbul untuk memberi keyakinan diri dan menaikkan semangat. Cara keempat adalah melalui sinaran cahaya matahari. Sinaran matahari sebelum pukul 8.00 pagi dan selepas pukul 3.00 petang didapati mempunyai sinaran ultraungu yang boleh memanfaatkan muka daripada dijangkiti bakteria penyebab jerawat.

Dalam bab ketujuh pula, penulis telah mendedahkan tentang cara-cara rawatan jerawat. Jerawat boleh dirawat sama ada dengan menggunakan ubat atau sebaliknya. Jika ubat digunakan, ia boleh berupa ubat makan atau ubat sapu. Kadangkala pembedahan kecil atau suntikan dengan ubat digunakan. Dalam rawatan yang menggunakan ubat sapu, penulis telah mencadangkan beberapa jenis ubat, iaitu benzoil peroksida, retin A, sulfur, antiseptik dan lain-lain. Dalam rawatan yang menggunakan pil antibiotik pula penulis mengesyorkan kumpulan antibiotik Tetracycline, Deoxycycline, Minocycline, Dementhyl-chlortetracycline dan Chlortetracycline. Penulis juga telah memberi pendedahan mengenai kesan sampingan sekiranya mengambil ubat ini dengan kerap. Oleh itu, ubat yang digunakan harus mendapat perakuan daripada pakar kulit.

Dalam bab kelapan pula, pembaca diterangkan tentang perkembangan dan penyelidikan mengenai jerawat. Kita memerlukan ubat yang mampu merencatkan pengeluaran minyak dan percambahan jerawat di permukaan kulit secara keseluruhan tanpa kesan sampingan yang berbahaya. Ubat sapu anti-androgen dikatakan sesuai untuk memainkan peranan ini, ia masih belum berada dalam pasaran, mungkin kerana keberkesanannya masih tidak terjamin. Kebanyakan pesakit khususnya golongan remaja masih kabur tentang jerawat. Oleh itu, dalam bab terakhir penulis mengemukakan beberapa kemusykilan berserta jawapannya bagi perkara yang sering dipersoalkan oleh pesakit.

Kesimpulannya, jerawat harus diberi rawatan yang sesuai sejak peringkat awal lagi jika tidak, kesan parut akan memberi kesan buruk pada kulit muka. Setiap individu yang ingin memiliki kulit muka yang bersih dan halus tanpa jerawat haruslah mengetahui punca penyebab jerawat dan cara-cara mengatasinya. Oleh itu, buku ini memberikan kefahaman dan maklumat berguna kepada sesiapa sahaja yang mengalami masalah kulit berjerawat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    979701
    Visit Today : 935
    This Month : 27172
    Total Visit : 979701
    Hits Today : 4115
    Total Hits : 3983258
    Who's Online : 11
  • Kategori