Judul: Ekstralinguistik: Ilmu dan Amalan dalam Menguasai Bahasa Asing

                                    Penulis: Rohaidah Kamaruddin

                                    Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

                                    Tahun: 2018

                                    Pengulas: Diviya Devaraj

 

Ekstralinguistik membawa maksud pengetahuan bersama yang diperlukan untuk memahami sesuatu percakapan atau sebutan. Buku ini membincangkan pemerolehan dan penguasaan bahasa kedua dalam kalangan pelajar Melayu dari sudut psikolinguistik. Sasaran utama buku ini telah dikhususkan kepada para pelajar, ahli akademik, masyarakat umum dan peminat terhadap ilmu ekstralinguistik. Penulis telah menerapkan faktor ekstralinguistik dalam perbincangannya dan sekali gus telah memberi manfaat kepada pembaca kerana dapat menjelaskan serta memberi contoh yang sahih mengenai kepentingan dan manfaat dalam usaha menguasai bahasa selain bahasa ibunda.

Buku ini mengandungi 135 muka surat termaksud bibliografi dan indeks. Secara umumnya, buku ini memiliki hanya lima bab yang menjurus kepada ilmu dan kefahaman terhadap ekstralinguistik. Dalam bab pertama, penulis telah memberi tumpuan terhadap pengetahuan umum tentang ekstralinguistik, iaitu situasi kebahasaan di luar lingkungan linguistik. Ilmu ekstralinguistik ini merupakan sebahagian daripada psikolingistik pendidikan. Dalam pembelajaran bahasa, unsur ekstralinguistik tetap diambil kira kerana dapat memberi maklumat tentang motivasi, emosi, sikap dan personaliti yang terbukti membantu seseorang pelajar menguasai bahasa tertentu. Penulis juga menjelaskan mengenai kemahiran menguasai bahasa, selain bahasa ibunda yang menjadi kemahiran sepanjang hayat untuk semua individu.

Bab kedua membincangkan mengenai ekstralinguistik dalam pendidikan bahasa. Menurut penulis, ilmu ekstralinguistik bukan perkara asing dan tidak boleh dipisahkan dalam pendidikan, khususnya pendidikan bahasa. Elemen ini, menjadi keutamaan kepada para pelajar di sekolah menengah atau sekolah berasrama penuh yang digalakkan menguasai lebih daripada satu bahasa. Penulis juga memfokuskan bahasa yang diamalkan dan dikuasai oleh individu yang hendak mempelajari bahasa selain bahasa ibundanya. Proses memahami ekstralinguistik ini dapat membantu seseorang menguasai bahasa kerana mempunyai faktor yang terdiri daripada motivasi, emosi, sikap dan personaliti. Pelajar Melayu yang cekap pelbagai bahasa bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, bahkan mempunyai personaliti yang cemerlang mengikut bahasa yang diambil. Penulis juga mengemukakan pandangan Krashen (2007), iaitu pemerolehan bahasa tidak memerlukan penggunaan meluas tentang peraturan tatabahasa mengikut kematangan usia. Setiap akal manusia mempunyai Language Aquisition Device (LAD) yang boleh membantu penerimaan bahasa pada bila-bila masa tanpa landasan umur.

Seterusnya dalam bab ketiga, penulis mengulas lanjut tentang perspektif teori dalam ekstralinguistik. Dalam bab ini, penulis menjelaskan bahawa ekstralinguistik memerlukan penguasaan teori dan hasil kajian terdahulu untuk membantu praktis ilmu ini pada masa sekarang dan masa depan. Untuk memahami ekstralinguistik, penulis bahan ilmiah yang berkait rapat dengan medan ilmu ini, yang dapat membantu proses menguasai bahasa-bahasa di dunia ini. Teori yang terlibat dalam perbincangan termasuk teori Monitor, teori Motivasi dan teori Pembelajaran. Penulis telah menggunakan dapatan kajian teori Monitor oleh Noor Aina Dani pada tahun1996, teori Motivasi oleh Robert C. Gardener (2005) dan kajian emosi daripada teori Pembelajaran oleh Rita Dunn (2004) supaya mampu memberikan perspektif yang meluas tentang ekstralinguistik. Dalam bab ini juga, beliau telah mengemukakan teori warna.

Selain itu, dalam bab keempat telah membincangkan mengenai penerapan ekstralinguistik. Penguasaan lebih daripada satu bahasa melibatkan ekstralinguistik yang memerlukan prosesnya diketahui oleh masyarakat. Menurut penulis, ilmu yang mempunyai teori hendaklah dijelaskan secara praktikal bagi membuktikan hakikat ilmu yang didukung dalam elemen ekstralinguistik. Dalam bab ini, perbincangan dijelaskan melalui teori dan praktik serta memberi contoh yang sahih tentang kepentingan dan manfaat menguasai bahasa selain bahasa ibunda. Penulis menggunakan profil pencapaian bahasa Melayu untuk membuat kajiannya. Beliau telah mengambil markah peperiksaan setengah tahun secara rawak untuk melihat hasil pelajar menguasai dalam bahasa Melayu. Kajian menunjukkan tahap pencapaian bahasa Melayu dalam kalangan pelajar agak sederhana kerana pelajar masih belum menguasai subjek bahasa Melayu dengan baik. Menurut pendapat penulis, Walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa pengantar di sekolah, namun bahasa Inggeris masih digunakan dengan meluas terutama dalam kalangan masyarakat Cina dan India. Oleh sebab faktor-faktor tertentu, percambahan penguasaan bahasa di sekolah perlu untuk mengikut rentak globalisasi.

Dalam bab terakhir, adalah mengenai ekstralinguistik teras penjanaan ilmu. Bab ini membincangkan mengenai usaha untuk mendalami bidang, ekstralinguistik ini melibatkan faktor motivasi, emosi, sikap dan personaliti. Elemen ini dianggap menjadi pelengkap dalam menguasai apa-apa bahasa di negara ini. Penulis telah menjelaskan bahawa penguasaan bahasa yang berkesan dan betul penting kerana pencapaiannya berbeza mengikut diri seseorang yang mempunyai pelbagai kebolehan. Bab ini juga memberi maklumat berguna tentang pendidikan dan masyarakat yang mementingkan penguasaan bahasa. Penulis membuktikan bahawa sesuatu bahasa itu hidup dan berkembang dengan jumlah penuturnya yang semakin ramai dan bijak menggunakan bahasa. Penulis juga mencadangkan bahawa supaya lebih banyak alat pandang dengar disediakan di sekolah untuk mengkaji keberkesanan teknik-teknik pengajaran bahasa kedua. Hal ini dikatakan demikian kerana pendekatan sedemikian merupakan salah satu kaedah yang kreatif dan menarik.

Kesimpulannya, tuntutan menguasai lebih daripada satu bahasa menjadi suatu kemahiran yang dapat digunakan sepanjang hayat dan menunjukkan masyarakat berilmu serta menjadi penentu kepada kemajuan negara. Oleh itu, buku ini amat berguna dan memberi manfaat untuk para pengguna bahasa Melayu, para pentadbir, pendidik dan golongan-golongan yang lain. Buku ini juga boleh dijadikan panduan agar dapat mengatasi sebarang kemusykilan dan menambah ilmu pengetahuan tentang kepentingan menguasai bahasa kedua dalam kehidupan seharian.

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1046174
    Visit Today : 1070
    This Month : 28773
    Total Visit : 1046174
    Hits Today : 3479
    Total Hits : 4294044
    Who's Online : 10
  • Kategori