Judul: Ditelan Hutan Nulu

                                                        Penulis: Zainab Haji Nawab Khan

                                                        Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

                                                        Tahun: 2018

                                                       Harga: RM10

                                                       Pengulas: Atiqah Abd Rahim

            Novel kanak-kanak hasil tulisan Zainab Haji Nawab Khan ini mengisahkan konflik yang berlaku semasa Sofia dan rakan-rakannya mengikuti acara perkhemahan antarabangsa Persatuan Pandu Puteri Tunas dan Remaja di kaki Gunung Kinabalu, Sabah. Berbekalkan ilmu kemahiran yang dipelajari daripada aktiviti pasukan beruniform itu, Sofia dan ahli pasukannya berjaya menyelesaikan malapetaka yang dihadapi oleh mereka. Novel ini juga memperkenalkan Persatuan Pandu Puteri Malaysia yang merupakan antara unit beruniform yang ditawarkan di sekolah sebagai aktiviti kokurikulum pelajar.

            Sofia bersama-sama Nana, Tiana, Viona dan Lee San terpilih untuk mengikuti acara perkhemahan antarabangsa Persatuan Pandu Puteri setelah lulus dalam ujian tapisan kesihatan fizikal. Ibu bapa Sofia berasa bangga atas kejayaan anak mereka yang pertama kali menyertai acara antarabangsa. Banyak persiapan yang dilakukan sebelum perkhemahan bemula, termasuklah latihan mendirikan khemah, simpulan dan ikatan, membuat kraf tangan untuk cenderamata, kad nama dan persembahan gerakan kreatif. Walaupun pasukan Sofia menghadapi beberapa cabaran semasa menghadiri sesi latihan praperkhemahan di bangunan ibu pejabat, mereka tetap cekal dan sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku semasa hari perkhemahan yang melibatkan pelbagai negara itu.

            Penulis telah berjaya menaikkan emosi debar kepada pembaca seawal bab pertama lagi dengan petanda awal yang buruk terhadap pasukan Sofia, iaitu tayar belakang van yang mereka naiki pancit. Penulis turut memperlihatkan watak Sofia yang sering berasa tidak senang hati dan pening kepala sepanjang perjalanan sehinggalah aktiviti perkhemahan bermula. Walau bagaimanapun, kebimbangan Sofia itu segera dimatikan apabila pasukannya tiba di Taman Puncak Nulu yang tenang dan menghijau dan kedengaran kicauan burung yang saling bersahutan.

            Sofia teringat akan aktiviti memerhati burung yang akan dijalankan dalam perkhemahan ini. Khabarnya di kawasan itu sahaja terdapat lebih daripada 300 spesies burung seperti helang, punai, merpati dan tekukur. Udara yang sejuk menjadikan suasana tapak perkhemahan bertambah menarik. Beberapa buah khemah kepunyaan peserta yang berwarna-warni menghiasi padang rumput yang luas itu. Sofia merenungi keindahan kawasan tapak perkhemahan mereka yang dikelilingi oleh gunung-ganang yang memuncak ke langit biru dan hutan tebal yang berwarna ungu kehijauan. Kelibat Gunung Kinabalu juga kelihatan di sebalik awan yang tebal.

            Guru pengiring pasukan Sofia, Puan Fauziah telah memberikan pesanan terakhir supaya mereka menyesuaikan diri dan menjaga nama baik Malaysia, terutamanya perkhemahan kali ini melibatkan ahli renjer, Pandu Puteri Remaja dan Tunas dari dalam dan luar negara. Selepas menikmati hidangan makan tengah hari yang amat menyelerakan, kerisauan yang Sofia sendiri tidak ketahui puncanya mula menguasai dirinya. Seorang mak cik yang bekerja di dewan makan membisikkan sesuatu kepada Sofia supaya berhati-hati. Sofia memandang wajah mak cik itu dengan penuh kehairanan. Lidahnya kelu untuk bertanya perkara yang dimaksudkan oleh mak cik itu. Dia hanya mampu berdoa agar Tuhan melindunginya sepanjang perkhemahan itu.

            Sofia tidak melepaskan peluang untuk berkenalan dengan para peserta Pandu Puteri yang datang dari pelbagai negara. Salah satunya ialah peserta dari Jepun yang bernama Eri. Eri memakai kemeja-T dan tertera di bahagian belakang bajunya, “Girl Scouts Shizuoka Japan”. Pertanyaan singkat Eri mengenai Gunung Kinabalu yang aktif menimbulkan persoalan dalam fikiran Sofia sekiranya soalan Eri itu ada kaitan dengan peringatan mak cik yang dijumpainya di dewan makan. Setahu Sofia Gunung Kinabalu bukanlah jenis gunung berapi dan selamat untuk dilawati oleh pengunjung.

            Tanpa banyak soal, Sofia dan rakan-rakannya meneruskan aktiviti perkhemahan Pandu Puteri. Sofia memaksa dirinya supaya bertenang dan berfikiran positif. Dia juga teringat akan pesan ibunya untuk tidak meninggalkan solat sepanjang perkhemahan untuk menjauhkan dirinya daripada berlaku perkara yang tidak baik. Misi utamanya ialah untuk melibatkan diri dalam setiap aktiviti perkhemahan dengan bersungguh-sungguh.

            Pada hari yang seterusnya, peserta Pandu Puteri mempunyai beberapa aktiviti berasingan yang membawa peserta keluar dari tapak perkhemahan. Peserta Pandu Puteri Renjer akan ke Kampung Nulu untuk aktiviti komuniti dan peserta Pandu Puteri Remaja pula ke Poring untuk aktiviti kembara. Sewaktu bas mula bergerak untuk ke destinasi yang dituju, Sofia melihat kelibat mak cik yang telah memberi amaran kepadanya. Mak cik itu memandang mereka dengan wajah yang serius. Sofia kembali berasa gusar.

            Apakah musibah yang bakal menimpa Sofia dan rakan-rakannya? Bagaimanakah mereka mengatasi masalah yang dihadapi tanpa bantuan orang dewasa? Apakah ilmu kemahiran Pandu Puteri yang digunakan oleh Sofia supaya mereka dapat keluar daripada hutan pengembaraan mereka? Bagi mengetahui dengan lebih lanjut pengembaraan Sofia dan rakan-rakannya “ditelan” oleh Hutan Nulu, pembaca boleh mendapatkan novel kanak-kanak yang menarik ini di pasaran.

            Secara keseluruhannya, novel ini berjaya membawa pembaca ke suatu pengembaraan yang mendebarkan. Susunan penceritaan yang baik dan penuh dengan teka-teki membuatkan pembaca cuba untuk menghabiskan bacaan sehingga ke akhirnya. Watak Sofia menjadi penggerak utama kepada semua konflik di dalam novel ini dan dia berjaya mengatasi masalah tersebut hasil daripada ilmu kemahiran yang dipelajari semasa melibatkan diri dalam Persatuan Pandu Puteri.

            Penulis banyak menerangkan tentang ciri-ciri seorang ahli Pandu Puteri dan aktiviti menarik yang boleh disertai dalam persatuan ini. Persatuan Pandu Puteri juga bukan hanya aktif di peringkat sekolah dan negara, malah persatuan ini juga turut mempunyai ramai ahli di luar negara. Peluang untuk menyertai aktiviti antarabangsa seperti yang dihadiri oleh Sofia dan rakan-rakannya sudah tentu boleh menambahkan pengalaman dan kenalan baharu kepada ahlinya. Novel ini amat sesuai untuk bacaan umum.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048879
    Visit Today : 1197
    This Month : 31478
    Total Visit : 1048879
    Hits Today : 4011
    Total Hits : 4303057
    Who's Online : 9
  • Kategori