OLEH ATIQAH ABD RAHIM

Arkeologi di Malaysia telah menyaksikan perkembangan pengetahuan baharu tentang prasejarah negara yang dilakukan melalui kegiatan penggalian atau ekskavasi yang bersifat sistematik dan saintifik oleh ahli arkeologi. Arkeologi juga menjadi lapangan disiplin yang ditawarkan di peringkat institusi pengajian tinggi seperti di Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Di peringkat universiti, pelajar didedahkan dengan ilmu teori asas arkeologi dan proses kerja lapangan di tapak ekskavasi yang ditentukan oleh universiti masing-masing.

Kohort pelajar arkeologi UNIMAS yang pertama semasa di Kubu Alice, Sri Aman, Sarawak.

Bagi pelajar tahun dua program Antropologi dan Sosiologi (AnSoc), Fakulti Sosial Sains dan Kemanusiaan, UNIMAS, mereka telah mengambil inisiatif untuk berkongsi ilmu yang dipelajari kepada umum. Sesi perkongsian yang bertajuk “Artifak Pada Masa Lalu, Kini dan Masa Hadapan” telah disiarkan secara langsung menerusi medium Zoom pada 16 Julai 2020 yang lalu, dan boleh ditonton semula di laman sesawang mereka, Discover Archaeology. Sesi bicara tersebut menampilkan Nicholas Gani, seorang ahli arkeologi yang juga pensyarah di fakulti itu, Masturina Hani Mansor, alumni AnSoc dan Chuah Ee Wei, pelajar tahun dua AnSoc serta Sara Nadeera Rahim sebagai moderator. Sesi itu juga merupakan sebahagian daripada aktiviti bagi kursus yang diambil oleh pelajar, iaitu SSF2193 Pengenalan Arkeologi Borneo.

Melawat tapak yang telah diekskavasi merupakan aktiviti utama program Arkeologi di UNIMAS.

Dalam sesi perkongsian tersebut, para ahli panel berkongsi pengalaman dan pandangan masing-masing terhadap artifak yang pernah dikaji seperti tajau, megalit dan pedang samurai Jepun. Mereka turut berkongsi tentang kepentingan dan kegunaan artifak tersebut secara praktikal dalam masyarakat dahulu dan sekarang.

Menurut Masturina Hani, objek artifak yang menjadi kegemarannya ialah tajau atau sejenis bekas tembikar yang digunakan oleh kebanyakan masyarakat di Borneo. Tajau bukanlah berasal dari kepulauan Borneo tetapi telah dibawa oleh para pedagang dari Tanah Besar China yang berdagang seawal abad ke-12. Tajau berfungsi sebagai tempat menyimpan beras dan tuak. Yang menariknya, tajau turut dijadikan sebagai tempat menyimpan tulang atau mayat manusia untuk upacara pengebumian tradisional bagi sesetengah etnik di Borneo seperti Kelabit, Melanau dan Kadazan. Namun begitu, proses pengebumian ini hanya dijalankan oleh keluarga yang berada atau golongan aristokrat disebabkan kos yang tinggi untuk membawa tajau ke kawasan pedalaman dan keperluan upacara yang lain seperti sembelihan haiwan. Tajau juga dilihat sebagai barangan yang berharga dan tidak semua orang boleh memilikinya. Pemilikan tajau bukan sahaja melambangkan status sosial seseorang dalam masyarakat malah boleh digunakan sebagai keperluan harian dan kegiatan ritual.

Pelajar arkeologi UNIMAS mengadakan lawatan sambil belajar di Gua Niah, Sarawak.

Nicholas Gani turut berkongsi kajian dalam ijazah kedoktorannya mengenai megalit. Beliau menjelaskan megalit boleh dijumpai di serata dunia dan kebiasaannya dibina sebagai monumen untuk memperingati sesuatu peristiwa dan pemimpin atau orang yang berpengaruh. Megalit yang bersaiz besar dan mudah dilihat oleh umum menunjukkan pengaruh, kekuasaan dan kekayaan seseorang pemimpin yang mampu mendapatkan sejumlah orang untuk membinanya. Monumen megalit juga dijadikan sebagai tempat perhimpunan bagi sesebuah upacara dan ritual. Sebagai contohnya, monumen Stonehenge yang terkenal di England menjadi tempat berkumpul orang ramai semasa solstis musim panas pada setiap bulan Jun. Menurut beliau lagi, monumen megalit bukan sahaja dilihat penting kepada masyarakat lama malah masyarakat sekarang yang menjadi sebahagian daripadanya. Misalnya, sebahagian masyarakat mempercayai megalit sebagai batu hidup yang membesar pada setiap tahun dan dikaitkan dengan roh serta hantu.

Seterusnya, ahli panel Chuah Ee Wei mengupas artifak Jepun, pedang samurai. Beliau menjelaskan artifak Jepun tersebut mempunyai cerita yang unik dan menarik. Setiap pedang samurai akan diciptakan satu karakter tertentu seperti seorang lelaki yang kacak dan dipertontonkan dalam bentuk animasi, drama atau lagu. Masyarakat Jepun mempelajari sejarah artifak mereka melalui media, filem dan animasi. Beliau beranggapan budaya tersebut agak berbeza daripada yang lain. Nicholas Gani menambah bahawa dengan memberikan nama kepada objek bukanlah perkara yang jarang-jarang berlaku. Misalnya, memberikan nama kepada sebuah gitar dan anak patung serta melayan objek tersebut seperti orang yang hidup telah menjadi perkara biasa bagi sesetengah orang. Beliau menjelaskan bahawa ahli arkeologi turut mempunyai cara yang tersendiri untuk memperlakukan objek yang dikaji berdasarkan latar belakang, budaya dan persepsi masing-masing. Setiap masyarakat mempunyai pemahaman yang berbeza tentang artifaknya dan cara mereka memahami dunianya juga selalu dikaitkan dengan objek dan artifak. Pada akhir sesi perkongsian, penonton diberikan peluang untuk bertanyakan soalan. Banyak persoalan yang menarik dikemukakan. Antaranya ialah jangka masa sesuatu objek boleh dikategorikan sebagai artifak. Ahli panel berkongsi pandangan bahawa sesuatu objek yang dihasilkan pada setengah jam yang lalu juga boleh dianggap sebagai artifak, asalkan objek tersebut merupakan bukti hasil kegiatan manusia. Nicholas Gani memberikan contoh yang baik, iaitu sampah sarap yang telah dihasilkan oleh manusia. Contoh yang lain ialah baju peninggalan datuk dan nenek kita. Beliau menyimpulkan bahawa artifak mempunyai maksud umumnya yang tersendiri dan bukan hanya suatu terma yang khusus untuk konteks arkeologi.

Selain itu, penonton bertanyakan tentang cara untuk menentukan tapak ekskavasi. Ahli panel berpendapat cara yang paling biasa adalah dengan merujuk kajian yang pernah dijalankan atau bergantung kepada pengetahuan penduduk setempat berkenaan tempat yang ingin diekskavasi. Sebelum proses ekskavasi dijalankan, lesen permit perlulah diperoleh daripada pihak berkuasa, contohnya Muzium Sarawak dan kerajaan negeri. Artifak yang ditemui selepas ekskavasi menjadi hak milik negeri dan kebiasaannya dipamerkan di muzium.

Pelajar arkeologi UNIMAS di hadapan Taman Negara Niah.

Persoalan yang lain adalah tentang potensi bidang arkeologi pada masa akan datang yang mungkin beralih kepada ekskavasi di dunia digital. Misalnya, platform Cloud yang menyimpan pelbagai foto, dokumen dan video yang menepati definisi artifak, iaitu bukti hasil kegiatan manusia pada masa yang lalu. Walau bagaimanapun, ahli panel bersepakat bahawa tapak ekskavasi di dunia digital mungkin hanya boleh dijadikan sebagai data tambahan kepada hasil kajian di tapak ekskavasi fizikal.
Para ahli panel berharap agar masyarakat dapat menyemai minat dalam bidang arkeologi, khususnya anak muda. Ilmu pengetahuan tentang arkeologi haruslah dipupuk sejak kecil agar minat dalam bidang ini dapat bercambah dan menarik minat para remaja untuk menceburinya kelak, seperti pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047607
    Visit Today : 1223
    This Month : 30206
    Total Visit : 1047607
    Hits Today : 3801
    Total Hits : 4298603
    Who's Online : 4
  • Kategori