OLEH MUHAMAD RAFIQ ABDUL RAHMAN

Pada tahun 1979, berlakunya kemalangan di tapak nuklear di Three Mile Island, kes tumpahan minyak di lautan oleh Exxon Valdez, kes letupan nuklear di Chernobyl pada tahun 1986, dan Jabatan Keselamatan Lebuh Raya Nasional Ameraka menyatakan hampir 100 000 kemalangan jalan raya dan 1550 kemalangan maut setahun di negara “Uncle Sam” tersebut dipercayai berpunca daripada kekurangan tidur dan mengantuk ketika melaksanakan tugas mereka. Inilah fakta yang tidak boleh diubah! Tidur merupakan satu daripada aktiviti yang menjadi rutin kehidupan setiap makhluk di dunia ini khususnya kepada manusia.

Tidur juga ibarat mesin pengecaj semula jadi kepada seseorang untuk lebih segar dan bertenaga setelah seharian penat menjalankan pelbagai aktiviti. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, masyarakat di negara ini dan amnya di seluruh pelosok dunia semakin celaru waktu tidurnya. Malah lebih membimbangkan ada segelintir golongan ini tidak melihat tidur ini sebagai suatu perkara yang baik kepada diri.

Tidur yang nyenyak dan mencukupi pada waktu malam penting untuk memulihkan diri dan mengembalikan kecergasan fizikal dan mental kepada seseorang. Tempoh waktu tidur nenyak pula perlulah serasi dengan jam biologi badan, iaitu mesti merangkumi sekurang-kurangnya dari pukul 11 malam hingga 2 pagi. Walau bagaimanapun, tidur yang berlebihan juga turut mengancam nyawa dan kesihatan seseorang.

Menurut penyelidik dari Barat, masalah tidur tidak teratur dan tidak cukup waktunya atau deprivasi tidur semakin meningkat. Hal ini dibuktikan melalui kajian yang mendapati bahawa seorang daripada setiap lima orang responden berasa letih luar biasa dan seorang daripada 10 orang mengalami keletihan berpanjangan.

Data terkini pada tahun 2020 yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati bahawa 27 peratus penduduk di 14 buah negara menghadapi masalah tidur. Di Malaysia pula, kira-kira 35 peratus rakyatnya mengalamai gangguan tidur yang sempurna. Lebih membimbangkan daripada statistik ini, lebih 53 peratus tenaga kerja di negara ini mendapat kurang tidur yang cukup, iaitu minimum tujuh jam tidur dalam tempoh 24 jam.

Pengarah Pusat Tidur Universiti Glasgow, Profesor Colin Espie, berkata, tidur ialah cara semula jadi yang memberikan rehat, pemulihan dan tenaga kepada manusia dan tiada sesuatu yang lain mampu melakukan perkara yang sama. Jelasnya lagi, kebanyakan masyarakat pada hari ini melihat tidur sebagai satu komoditi dan tidak menghormatinya.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Universiti Warwick, mereka yang kurang tidur kurang dari enam jam sehari berisiko sehingga 48 peratus untuk menghidap atau meninggal dunia akibat sakit jantung dan 15 peratus risiko menghidap atau mati akibat serangan angin ahmar. Sememangnya amalan tidur lewat umpama bom jantung kepada kesihatan terang Profesor Francesco Cappuccio.

Percaya atau tidak, tulisan oleh Hendrick B dalam WebMD Health News menyatakan bahawa remaja yang tidur lima jam atau kurang menunjukkan 71 peratus kemungkinan mengalami tekanan dan 48 peratus memiliki pemikiran untuk bunuh diri jika dibandingkan dengan remaja yang mempunyai kadar tidur lapan jam sehari.

Kajian oleh doktor pakar dunia, Dr. Spiegel pada tahun 2002 mendapati bahawa orang yang mendapat tidur yang cukup sebanyak lapan jam sehari mempunyai kadar antibodi sebanyak dua kali ganda lebih tinggi berbanding dengan orang yang tidak cukup tidur, iaitu sekitar empat jam sehari. Manakala seorang lagi pakar dari Barat, Dr. Cohen melalui kajiannya pada tahun 2009 mendapati bahawa orang yang tidak mendapat tidur yang cukup, iaitu kurang daripada tujuh jam sehari berisiko 2.9 kali ganda mendapat jangkitan kuman. Hal ini jelas menunjukkan bahawa betapa pentingnya fungsi dan peranan tidur yang cukup bagi membantu menguatkan sistem imunisasi di dalam badan manusia.

Ujar Dr. Robert Stickgold, pakar dari Barat, tidur yang baik ada kaitan dengan elemen tidur iaitu rapid eye movement yang membantu proses pembelajaran  berjalan walaupun seseorang itu sedang tidur. Hal ini dibantu oleh saraf dalam otak yang mengandungi protein yang cukup dan melalui proses biokimia yang baik. Oleh yang demikian, masyarakat terutama mereka yang sedang berada di bangku sekolah atau melanjutkan pelajaran perlu diingatkan bahawa kadar tidur yang ditetapkan oleh pakar dunia iaitu antara enam ke lapan jam sehari membantu seseorang itu lebih bersedia menghadapi sesi pembelajaran atau peperiksaan untuk keesokannya.

Selain risiko yang dinyatakan oleh pakar tentang akibat tidak mendapat tidur dengan baik, terdapat beberapa kesan yang lain yang turut merencatkan perkembangan dan kesihatan individu tersebut. Sistem imun badan menjadi lemah dan mudah dijangkiti selesema serta jangkitan lain. Kadar fizikal seperti susut berat badan turut akan terlihat. Yang lebih menakutkan kepada wanita ialah apabila kurang tidur dan terdedah kepada cahaya yang banyak pada sebelah malam, risiko diserang kanser payu dara sangat tinggi.

Ketika ini juga, keinginan dan jalan singkat yang diambil oleh mereka yang mengalami masalah tidur yang sempurna ini adalah sangat mudah, iaitu mengambil pil tidur. Namun begitu, tanpa pengawasan daripada doktor pil yang diharapkan mampu mengubah kadar tidur yang lebih lama dan baik bakal bertukar menjadi mimpi ngeri kepada penggunanya. Hal ini dinyatakan sendiri oleh Pakar Psikologi Klinikal Agensi Pengamal Kesihatan Australia, Rosemary Clancy, yang menyatakan bahawa antara kesan utama apabila mengambil ubat tidur adalah risiko kebergantungan yang tinggi terhadapnya.

Lebih malang lagi, jelas Rosemary, kesan sampingan bakal dihadapi oleh individu tersebut apabila terlalu bergantung kepada ubat tidur, iaitu kecacatan kognitif, kemurungan, meningkatkan implusif dan tingkah laku bunuh diri selain mendapat penyakit kronik lain seperti kanser dan alzheimer. Sekiranya mengalami masalah tidur selama lebih daripada tiga malam setiap minggu selama tiga bulan, itu merupakan tanda-tanda awal penyakit insomnia. Rosemary menasihati masyarakat agar segera berjumpa dengan doktor sekiranya mengalami masalah ini.

Mungkin sesetengah masyarakat melihat masalah gangguan tidur ini perkara remeh dan bukanlah penyakit yang berbahaya. Awas! Penyakit ini merupakan “pembunuh upahan” yang bergerak secara senyap dan menyebabkan seseorang individu itu malah keluarga berasa menyesal di kemudian hari sekiranya tidak dirawat dengan segera.

 

13 Risiko Kekurangan Tidur

  • Daya tubuh menjadi lemah
  • Mudah mendapat penyakit jantung koroner
  • Meningkatkan risiko serangan penyakit kanser
  • Risiko diabetes meningkat
  • Risiko penyakit strok
  • Meningkatkan stres
  • Suhu tubuh rendah
  • Ghairah seks menurun
  • Menyebabkan depresi
  • Meningkatkan risiko kematian
  • Mudah lupa
  • Kesihatan kulit dan mata terjejas
  • Emosi terganggu

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1294498
    Visit Today : 922
    This Month : 2125
    Total Visit : 1294498
    Hits Today : 3991
    Total Hits : 5971776
    Who's Online : 5
  • Kategori