OLEH ATIQAH ABD RAHIM

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur mengambil inisiatif mengadakan Bicara Bahasa 2020 Siri Kedua bertajuk “Cabaran Guru Bahasa dalam Pendidikan Orang Pekak” pada 6 Ogos 2020 yang lalu. Program bicara tersebut menampilkan Dr. Abdullah Yusoff atau lebih dikenali Dr. Loh Pekak, Pengarah Eksekutif Akademik Minda Kreatif dan Noor Haseken P. Rameli sebagai jurubahasa daripada Persatuan Orang Pekak Kelantan.

Dr. Loh Pekak berharap agar lebih ramai guru yang hebat yang boleh membantu pelajar pekak mempelajari bahasa Melayu

Seperti yang disampaikan oleh Dr. Abdullah dalam Bicara Bahasa Siri Pertama yang bertajuk, “Bahasa dalam Kalangan Orang Pekak”, seseorang yang mengalami kecacatan pendengaran atau disebut sebagai pekak tidak dapat menguasai bahasa lisan dan tidak dapat bertutur. Beliau membayangkan keperitan yang dialami oleh seluruh pelajar yang pekak untuk maju dan berjaya dalam pendidikan, terutamanya dalam mempelajari bahasa Melayu yang mereka tidak mampu untuk mendengar sebutan perkataan bahasa tersebut.

Pelajar sekolah di Malaysia wajib menguasai bahasa Melayu sama ada yang boleh mendengar atau pekak. Perkara ini amat penting sekiranya mahu berjaya dalam pendidikan di negara Malaysia. Beliau berpesan kepada ibu bapa untuk memastikan anak-anak menguasai bahasa Melayu. Hal yang sama turut berlaku kepada kanak-kanak yang tinggal di England, iaitu penguasaan bahasa Inggeris menjadi syarat wajib kemasukan dan dijadikan sebagai bahasa pengantara di sekolah-sekolah di negara itu.

Menurut beliau, anak-anak yang dibesarkan di Malaysia boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan mempunyai asas berbahasa Melayu sebelum ke sekolah rendah lagi kerana telah mempelajarinya melalui persekitaran dan proses sosialisasi bersama-sama dengan keluarga dan rakan, yang beliau namakan proses ini sebagai pemerolehan bahasa. Berbanding dengan pelajar pekak yang perlu menghadiri kelas bagi mempelajari setiap perkataan bahasa Melayu dengan bahasa isyarat yang berbeza. Mereka perlu belajar setiap pembentukan kata bahasa Melayu atau dipanggil morfologi dalam bidang linguistik. Misalnya, perkataan “ajar” mempunyai bahasa isyaratnya. Bagi pembentukan kata yang menggunakan imbuhan seperti “mengajar”, “pelajar”, “terpelajar” dan “mempelajari” juga mempunyai bahasa isyarat yang tersendiri. Begitu juga perkataan “makan” yang mempunyai bahasa isyarat yang berbeza dengan perkataan “makanan”. Proses pembelajaran begini memberikan kesukaran kepada pelajar pekak untuk mempelajari bahasa Melayu dan untuk mendapatkan pencapaian yang cemerlang dalam akademik.

Justeru itu, cara yang terbaik untuk mengatasi permasalahan ini adalah peranan guru yang hebat dalam mencari kaedah yang sesuai dengan pembelajaran kanak-kanak pekak, terutamanya guru bahasa Melayu. Kebanyakan guru seolah-olah hilang arah untuk mengajar kanak-kanak pekak ini.

Secara keseluruhannya, Dr. Abdullah telah menerangkan implikasi kecacatan pekak terhadap pendidikan bahasa, kesukaran yang dialami oleh orang pekak dalam mempelajari bahasa dan keperluan dalam memiliki guru yang hebat dengan kaedah yang terbaik untuk mengajar bahasa kepada murid pekak. Beliau berharap agar perkongsian ini dapat memberikan maklumat baharu dan kesedaran kepada masyarakat tentang pendidikan orang pekak.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1138406
    Visit Today : 1076
    This Month : 17083
    Total Visit : 1138406
    Hits Today : 5199
    Total Hits : 4768356
    Who's Online : 17
  • Kategori