Lan Pet Pet berjaya “menghidupkan” suasana santai dalam bicara tersebut.

OLEH ATIQAH ABD RAHIM

PADA 23 Julai yang lalu telah berlangsungnya Program Canai Bahasa dan Sastera anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). Sesi perkongsian ilmu yang memasuki siri keenam penganjurannya ini membincangkan tajuk “Loghat Kedah: Uniknya di Mana?” yang menampilkan seorang pelakon dan pelawak terkenal tanah air, Mazlan Haji Ahmad atau lebih mesra dikenali sebagai Lan Pet Pet dan Siti Raihani Mohamed Saaid, seorang penulis dan penyair serta Rita Yahaya, Editor DBP, sebagai moderator

Dalam sesi perkongsian itu, para panel berkongsi pengalaman membesar dalam keluarga yang menggunakan loghat negeri Kedah. Lan Pet Pet telah membesar di Alor Setar dan kemudiannya berhijrah ke Kuala Lumpur. Siti Raihani Mohamed Saaid  yang merupakan anak kepada Sasterawan Negara yang ke-13,  Dr. Siti Zainon Ismail, turut dibesarkan oleh ibunya yang berasal dari Alor Setar walaupun suasana dan persekitaran remajanya hanyalah di Shah Alam.

Moderator merujuk sebuah artikel dari The Patriots yang menjelaskan bahawa dialek Kedah dibahagikan mengikut kawasan seperti di Kedah Utara (hilir), Kedah Timur (hulu) dan Kedah Selatan (Hilir). Kawasan Kedah Utara termasuklah Alor Setar, Kubang Pasu, Jerlun, Ayer Hitam, Kuala Kedah, Pendang dan sebahagian Pokok Sena. Moderator lebih menekankan dialek dari kawasan Alor Setar disebabkan kedua-dua panel berasal dari bandar tersebut. Menurut moderator lagi, loghat Alor Setar lebih lemah lembut, sopan santun dan bersifat romantik. Lenggok loghat menjadi lebih lemah lembut apabila mendekati negeri Perlis. Lan Pet Pet bersetuju dengan kenyataan moderator dengan memberikan beberapa contoh perkataan di beberapa kawasan tersebut. Menurut beliau, di bahagian selatan Kedah terutamanya di Baling, Nami dan Naka, loghatnya sedikit kasar berbanding dengan di utara Kedah. Beliau menambah, perbualan harian dalam loghat Kedah turut menggunakan campuran bahasa Inggeris.

Kehadiran SN Dr. Siti Zainon Ismail menggamatkan lagi Program Canai Bahasa dan Sastera yang berlangsung di Anjung DBP, Kuala Lumpur.

Seterusnya, Siti Raihani memberikan perbezaan penggunaan loghat Kedah dengan bahasa Melayu baku. Sebagai contohnya, “buang baju” dalam loghat Kedah bermaksud membuka baju. Perkataan “biasa” dalam bahasa Melayu bermaksud selalu atau kerap tetapi dalam loghat Kedah difahamkan sebagai pernah. “Kelmarin” dalam bahasa Melayu pula bermakna dua hari yang lepas tetapi dalam loghat bermaksud semalam. Perkataan “segan” dalam bahasa Melayu bermaksud pemalu dan berkelakuan tertib manakala dalam loghat Kedah bermaksud orang yang malas. Begitu juga penggunaan loghat ketika memandu, contoh perkataan “tidak kena” dalam bahasa Melayu bermaksud tidak melanggar tetapi dalam loghat Kedah bermakna tidak memandu dengan betul. Beliau mengingatkan penonton supaya peka dengan konteks penggunaan sesetengah perkataan loghat, terutamanya yang bukan anak jati Kedah.

Para panel juga berbincang tentang usaha untuk mengangkat martabat dialek Kedah dalam industri seni. Bagi Lan Pet Pet, usaha untuk mengubah dialek Kedahnya dalam perbualan harian bersama-sama rakan artis mahupun ketika di kaca televisyen kelihatan agak janggal. Sementelahan, dialeknya itu merupakan identiti bagi dirinya dalam industri seni dan diterima oleh rakyat Malaysia. Siti Raihani pula berpendapat bahawa industri filem dan drama sepatutnya mengangkat dialek negeri-negeri di Malaysia. Secara tidak langsung, filem dan drama tersebut memberikan kelainan daripada karya yang lain dan sudah tentunya menjadi daya tarikan kepada penonton. Misalnya, penonton mengetahui setiap drama lakonan Sabri Yunus, yang sudah pastinya akan menggunakan dialek negeri Kelantan.

Namun begitu, terdapat kekurangan dalam sesetengah radio, drama dan filem yang tidak merujuk terlebih dahulu dalam penggunaan dialek yang betul. Siti Raihani memberikan contoh sebuah iklan radio untuk satu acara di Kedah yang menggunakan kata ganti pertama sebagai “chek” dan kata ganti nama kedua sebagai “hang”. Menurut beliau, “chek” ialah perkataan untuk orang yang lebih muda bercakap dengan orang yang lebih tua sebagai tanda hormat. “Hang” pula kebiasaannya digunakan dalam perbualan bersama-sama rakan sebaya atau yang lebih muda. Beliau menegaskan bahawa dialek Kedah mempunyai protokol tersendiri dalam kesesuaian berbahasa mengikut umur dan keadaan.

Dialek atau loghat daerah mempunyai pelbagai ragam bahasa, pengaruh dan menjadi ciri tertentu dalam kalangan penutur bahasa di sesuatu tempat. Program ini memberikan maklumat yang berguna tentang loghat Kedah kepada masyarakat. Para panel telah memberikan pelbagai contoh loghat Kedah yang sering mengundang salah faham kepada pengguna yang tidak fasih dengan loghat tersebut. Secara tidak langsung, penonton dapat mempelajari dan memahami konteks penuturan dan penggunaan loghat Kedah apabila berkomunikasi dengan orang negeri itu.

Kedua-dua panel turut menggalakkan rakyat negeri utara untuk mengekalkan loghat walau di mana mereka berada agar keunikan berbahasa ini berterusan sehingga generasi yang akan datang. Panel berharap agar penghasilan karya sastera, drama dan filem yang mengangkat loghat dan latar negeri Kedah diperbanyakkan dan diangkat sebagai warisan bangsa.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035053
    Visit Today : 1269
    This Month : 17652
    Total Visit : 1035053
    Hits Today : 6312
    Total Hits : 4244646
    Who's Online : 8
  • Kategori