OLEH KHADIJAH HAMDI

 

DEWAN Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur telah menganjurkan Bicara Bahasa 2020 Siri Pertama yang bertajuk “Bahasa dalam Kalangan Orang Pekak” dan program ini telah bersiaran secara langsung menerusi laman rasmi Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada Rabu, 5 Ogos 2020, pukul 3.00 petang. Bicara ini disampaikan oleh Dr. Abdullah Yusoff (Dr. Loh Pekak), Pengarah Eksekutif Akademik Minda Kreatif dan menampilkan Noor Haseken P. Rameli, Jurubahasa Persatuan Orang Pekak Kelantan sebagai jurubahasa isyarat program.

Poster Bicara Bahasa 2020 Siri 1: Bahasa dalam Kalangan Orang Pekak.

Abdullah menyatakan bahawa golongan pekak bukan sekadar tidak dapat mendengar, tetapi turut berdepan dengan keperitan hidup. Misalnya, mereka sukar untuk memahami apa-apa yang dikatakan dan dibincangkan oleh orang lain yang menggunakan bahasa lisan. Jika kebolehan mendengar mereka diukur, mereka boleh diklasifikasikan kepada beberapa kategori orang pekak. Antaranya pekak yang tidak boleh mendengar, pekak teruk, pekak sederhana dan pekak sedikit. Pekak yang tidak boleh mendengar juga dikenali sebagai pekak betul. Golongan ini tidak akan mengendahkan sebarang bunyi walaupun bunyi tersebut begitu kuat kedengaran misalnya bunyi bom.

Pekak teruk ialah mereka yang hanya dapat mendengar sedikit-sedikit. Kebiasaannya, golongan pekak ini tidak boleh bertutur. Namun begitu, pekak dengan tidak boleh bertutur merupakan dua kumpulan manusia yang berbeza tetapi mempunyai perkaitan. Orang yang tidak dapat bertutur lazimnya dikenali sebagai orang bisu dan kebisuan mereka berpunca daripada pekak. Selain itu, terdapat juga orang pekak yang boleh bertutur. Mereka ini tergolong dalam kategori pekak sedikit, boleh mendengar namun kualiti pendengaran mereka tidak sama seperti orang biasa. Sama ada dapat bertutur atau menggunakan bahasa isyarat sepenuhnya, perkara ini bergantung kepada kebolehan atau kekuatan seseorang boleh mendengar bunyi berkenaan.

Abdullah turut menjelaskan dengan lebih lanjut tentang golongan pekak yang boleh bertutur, iaitu apabila mereka mendengar, pertuturan mereka adalah berdasarkan apa-apa yang didengarinya. Misalnya, orang pekak mendengar perkataan bola tetapi dia hanya mampu menyebut “boa” kerana tidak dapat mendengar perkataan itu sepenuhnya. Di samping itu, walaupun dibesarkan oleh ibu bapa yang menggunakan bahasa Melayu sebagai medium pertuturan, ketidakupayaan mendengar menyebabkan golongan ini sukar bertutur dengan baik tetapi mereka dianugerahkan alternatif lain oleh Tuhan untuk berinteraksi, iaitu bahasa gerak badan. Bahasa ini melibatkan penggunaan semua anggota badan dan golongan pekak ini boleh menggunakannya untuk berkomunikasi agar orang yang akan berkomunikasi dengannya dapat memahami tentang perkara yang ingin disampaikan. Sejauh mana orang tersebut dapat memahami adalah bergantung pada persekitaran dan kekerapan mereka berinteraksi dengan orang pekak berkenaan.

Dr. Loh Pekak  ketika sedang menyampaikan bicara bahasa dan dibantu oleh Noor Haseken P. Rameli, Jurubahasa Persatuan Orang Pekak Kelantan.

Seterusnya, beliau menceritakan mengenai cara mengenali golongan pekak dan ciri-ciri yang terdapat pada diri mereka. Selain tidak boleh bertutur, golongan ini juga memiliki ciri-ciri yang tertentu seperti ketika kita bercakap dengan kadar kekuatan suara biasa dan pada jarak yang biasa sekitar dua kaki, mereka tidak dapat mendengarnya. Manakala apabila bertanyakan soalan kepada golongan pekak sedikit, mereka akan memberikan respons terhadap bunyi suara, namun terpinga-pinga akan soalan yang diajukan kerana tidak jelas akan persoalan yang diutarakan.

Satu lagi ciri lain yang dapat dilihat pada orang pekak ialah mereka tidak boleh bersosialisasi dan bersama-sama dengan orang biasa. Tamsilannya, jikalau kanak-kanak, mereka tidak boleh bermain dengan kanak-kanak biasa kerana kanak-kanak mempunyai aturan-aturan tertentu ketika bermain. Apabila tidak dapat mematuhi aturan tersebut, mereka akan disingkirkan daripada pergaulan. Begitu juga dengan orang pekak dewasa. Ketika berada dalam konteks sosial, mereka sukar untuk mengikuti perkembangan dan perbincangan yang dilaksanakan oleh orang biasa. Impaknya, mereka akan tersisih atau menyisihkan diri mereka sendiri.

Pada masa yang sama, Abdullah meminta untuk bersama-sama membayangkan penderitaan orang pekak yang tidak ditegur sapa oleh masyarakat normal apabila bertemu di majlis-majlis keramaian. Oleh sebab itu, golongan ini tidak gemar berkunjung ke majlis yang majoritinya terdiri daripada orang yang berpendengaran biasa.

Dalam pada itu, golongan pekak ini juga amat gemar bercerita kepada masyarakat yang dapat memahami cerita yang ingin disampaikan. Abdullah menceritakan pengalamannya bertemu dengan sekumpulan orang pekak daripada Jepun di dalam kereta api ketika bercuti bersama-sama keluarga di Switzerland pada tahun lepas. Setelah beliau menyapa mereka dengan menggunakan bahasa isyarat, mereka berasa sangat seronok dan berkongsi pelbagai cerita tentang negara Jepun, Gunung Fuji, gusti Somo dan pengalaman mendaki bukit di Switzerland. Tambah beliau lagi, mereka sebenarnya sama sifatnya seperti manusia normal. Misalnya, sebagai rakyat Malaysia yang berkunjung ke luar negara kemudian bertemu dengan rakan senegara dan sudah pastinya akan wujud perasaan gembira, semangat kekitaan, keakuan serta kebersamaan yang tinggi kerana dapat berkomunikasi dalam bahasa yang sama.

Bahasa mempunyai kuasa luar biasa yang membolehkan orang pekak bercerita melalui bahasa isyarat dan bukannya bahasa pertuturan. Hal ini demikian kerana mereka tidak mendengar bahasa seperti orang biasa, sebaliknya mereka melihat bahasa dan memberikan respons dengan cara gerak badan. Oleh sebab itu, Abdullah meminta masyarakat supaya tidak mentertawakan atau memperlekehkan orang pekak ketika mereka sedang berkomunikasi antara mereka.

Seperti yang sedia maklum, golongan pekak menggunakan bahasa isyarat sebagai kaedah berkomunikasi. Menariknya, bahasa ini juga digunakan oleh golongan profesional atau mereka yang normal. Contohnya, pihak polis menunjukkan isyarat tangan untuk mengawal dan memastikan kelancaran lalu lintas di jalan raya manakala pengadil bola sepak bahasa isyarat atas tujuan mengadili perlawanan seperti memberikan amaran ke atas apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh pemain. Walau bagaimanapun, Abdullah menegaskan bahasa isyarat yang digunakan oleh pihak polis atau pengadil bola bukanlah sama seperti orang pekak kerana hal ini hanya digunakan atas sebab yang tertentu sahaja. Bukan itu sahaja, bahasa isyarat yang digunakan oleh orang pekak merupakan sebuah bahasa yang diiktiraf. Dengan hanya menggerakkan tubuh badan, mereka boleh menceritakan segala-galanya tentang kehidupan, perkara yang sudah berlalu, sedang berlaku dan akan datang sebagaimana orang biasa berkomunikasi menerusi bahasa pertuturan.

Malangnya, golongan pekak mengalami penderitaan daripada segi emosi dan mentaliti kerana mereka hidup dalam kumpulan majoriti masyarakat yang bertutur. Penderitaan yang dialami oleh mereka lebih dahsyat berbanding dengan golongan orang kurang upaya yang lain kecuali yang hilang akal. Hal ini terjadi kerana orang pekak ini tidak mudah dikenal pasti untuk masyarakat menghulurkan sebarang bantuan dan masyarakat hanya dapat mengenali mereka melalui pertuturan berbahasa isyarat sahaja. Oleh hal yang demikian, beliau berharap masyarakat dapat menjalankan tanggungjawab bagi meringankan beban golongan ini supaya mereka juga dapat menikmati hidup yang selesa dan berkualiti seperti masyarakat lain. Selain merasakan diri mereka sentiasa dihargai dan “diterima” keberadaannya di muka bumi ini.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035043
    Visit Today : 1259
    This Month : 17642
    Total Visit : 1035043
    Hits Today : 6273
    Total Hits : 4244607
    Who's Online : 7
  • Kategori