OLEH ATIQAH ABD RAHIM

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Wacana Minda Siri Ketiga yang bertajuk “Ilmu dan Bahasa” oleh Yang Berbahagia Profesor Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, pemegang Kursi Pemikiran Islam Syed Muhammad Naquib al-Attas, Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofia (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia. Program bicara tersebut bersiaran langsung menerusi laman rasmi Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 13 Julai 2020, pukul 2.30 petang. Program tersebut diadakan bersempena dengan ulang tahun DBP yang ke-64 dan merupakan salah satu program yang menyokong Dekad Membaca Kebangsaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Profesor Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud menyatakan bahawa ilmu disampaikan melalui pelbagai konsep dan konsep tersebut pula disampaikan melalui bahasa. Terdapat dua jenis bahasa, iaitu bahasa lukisan dan bahasa lisan. Bahasa lukisan lebih dikenali dalam bahasa Mesir kuno, iaitu Hieroglif Mesir. Manakala, contoh bahasa lisan seperti bahasa Arab. Sebelum penciptaan manuskrip, ayat-ayat al-Quran hanya dicatatkan dan dihafalkan sebelum usaha penulisan dan cetakan dilakukan. Menurut beliau lagi, ilmu hanya dapat dikuasai oleh seseorang yang menguasai bahasa. Sebagai rakyat Malaysia, beliau mencadangkan supaya sistem pengajaran bahasa dipertingkatkan bagi membina rakyat yang berilmu dan negara yang mampu memajukan tamadun ilmu.

Rakyat Malaysia perlulah menguasai bahasa Melayu moden dan bahasa Melayu klasik. Hal ini disebabkan masyarakat yang hanya menguasai bahasa Melayu moden tidak akan menyedari khazanah pemikiran dan ketamadunan yang tertulis dalam bahasa Melayu. Secara tidak langsung, golongan ini akan memandang rendah terhadap khazanah bahasa Melayu dan bangsa Melayu kerana menganggap bahasa Melayu masih belum berupaya mewujudkan khazanah keilmuan yang tinggi. Bahasa Melayu yang diajar juga perlulah bersandarkan kepada bahasa Melayu lama, iaitu yang ditulis dalam tulisan Jawi lama. Dalam tulisan Jawi ini, seseorang akan menemukan karya-karya yang besar tentang agama, filsafat, ekonomi, perubatan, syair, pantun, gurindam dan hukum-hakam yang masih belum dikaji.

Usaha begini sudah tentu akan membuka peluang kepada orang luar untuk mempelajari dan menghayati khazanah Melayu yang telah menyatukan kepulauan Melayu. Pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu Jawi bukanlah satu agenda untuk memaksa orang bukan Melayu mempelajarinya. Pembelajaran ini akan menjadikan mereka lebih memahami tentang khazanah negara dan lebih menyanjungi negara yang telah membangunkan diri mereka. Bahasa Melayu moden kini terbentuk disebabkan adanya syair dan karya dalam pelbagai bidang yang sama tarafnya dengan karya agung tamadun yang lain.

Selain itu, rakyat Malaysia seharusnya diajarkan dengan bahasa dunia yang lain. Sebagai contohnya, bahasa Arab bukan sahaja diajarkan kepada orang Melayu malah diajarkan kepada bangsa lain. Bahasa Arab juga tidak hanya terhad kepada bahasa keagamaan malah diperluaskan kepada bahasa dalam bidang ekonomi dan politik. Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama semestinya mahu berinteraksi dan berniaga dengan orang Arab. Bangsa Arab juga terdiri daripada pelbagai penganut agama seperti Islam, Kristian dan penganut agama lain. Profesor Dr. Wan Mohd Nor turut menggalakkan rakyat untuk menguasai bahasa Mandarin agar boleh berurusan dan berinteraksi dengan hampir 1.3 bilion rakyat di Tanah Besar China. Negara China dijangka akan menjadi sebuah negara yang berkuasa besar dalam bidang ekonomi dan politik dunia.

Seterusnya, rakyat Malaysia digalakkan untuk menguasai bahasa di negara India seperti bahasa Sanskrit, Hindustan, Urdu dan Parsi agar khazanah pemikiran rakyat akan menjadi lebih luas. Bahasa tersebut bukan sahaja dipelajari sebagai bahasa kesusasteraan malah sebagai bahasa dalam bidang perniagaan, politik dan kebudayaan. Bahasa Inggeris yang bersifat sains, teknikal dan falsafah juga perlulah dikuasai oleh rakyat agar mampu memanfaatkan segenap ilmu yang mendasari kuasa besar pada hari ini. Misalnya, karya Abraham Lincoln dan William Shakespeare yang ditulis dalam bahasa Inggeris klasik memerlukan pemahaman yang tinggi terhadap bahasa itu. Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia digalakkan untuk membaca karya-karya besar dalam setiap tamadun, khususnya yang boleh meningkatkan kefahaman terhadap nilai diri dan agama seseorang dengan agama yang lain. 

Beliau menegaskan bahawa bahasa Melayu wajib dikuasai oleh rakyat Malaysia di samping mempelajari dan memahami bahasa yang lain untuk mencapai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Bahasa bukan sahaja dijadikan sebagai alat penghubung untuk hidup bermasyarakat malah sebagai tanda kita mengiktiraf ciptaan Tuhan. Tanpa bahasa, maka tiadalah bangsa. Setiap bangsa wujud kerana bahasanya. Hanya bahasa yang membezakan dan memberi keunikan kepada setiap bangsa daripada bangsa yang lain. Sebagai contohnya, bangsa Yahudi dan bangsa Arab mempunyai keturunan yang dekat antara satu sama lain tetapi bahasa yang membezakan mereka. Begitu juga orang Parsi dan orang Pakistan yang dipisahkan dengan bahasa Urdu dan bahasa Parsi. Walaupun kebanyakan warga Pakistan memahami bahasa Parsi, mereka masih menggunakan bahasa Urdu sebagai bahasa perbualan harian mereka. Oleh itu, masyarakat perlulah mempersiap diri dengan alat penguasaan ilmu itu, iaitu penguasaan bahasa yang baik. Tanpanya, penyebaran ilmu seperti di Internet akan disempitkan dengan wacana berbentuk video sahaja. Penguasaan bahasa ialah satu kaedah yang penting untuk memartabatkan ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu dan bahasa yang lain.

Malaysia seharusnya menjadi model dan rujukan kepada negara lain. Malaysia mampu menghimpunkan pelbagai penganut agama utama dunia dan rakyatnya masih boleh hidup dengan aman dan sejahtera. Hal yang demikian disebabkan Malaysia mengamalkan wawasan kesatuan dalam kepelbagaian dan kepelbagaian dalam kesatuan demi kelangsungan kehidupan bernegara yang mengutamakan ilmu yang bermanfaat. Malaysia telah menjadi contoh yang baik kepada dunia dengan rakyatnya yang berbeza latar belakang boleh hidup bersama tanpa berlakunya penindasan seperti yang berlaku di Amerika Syarikat. Sehingga kini, Amerika Syarikat masih berusaha untuk berlaku adil terhadap bangsa berkulit hitam selama beratus-ratus tahun. Di Eropah juga mereka masih belajar tentang cara untuk menerima warga asing yang mendiami negara mereka. Malaysia tidak mungkin akan memimpin dunia dalam bidang ketenteraan tetapi boleh memimpin dunia dengan menjadi sebuah model kehidupan bersama, iaitu pelbagai bangsa hidup bersama dan disatukan oleh satu bahasa. Malah, bangsa yang menyatukan ini juga mampu menguasai pelbagai bahasa yang lain.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035075
    Visit Today : 1291
    This Month : 17674
    Total Visit : 1035075
    Hits Today : 6412
    Total Hits : 4244746
    Who's Online : 12
  • Kategori