OLEH AZURA HALID

MELIHAT beliau melakar warna-warna seni di dada kanvas yang putih suci sehingga warna-warna alam tersebut berkembang menjadi guru yang mengajar erti kehidupan, pasti menerbitkan rasa kagum yang mendalam pada setiap retina yang menatapnya. Setiap calitan warna mempunyai makna yang terolah. Setiap rona yang berpaksi pada kanvas mempunyai cerita yang tersendiri. Begitulah keindahan yang dilakar oleh pemilik nama Nazhatulshima Nolan, anak kelahiran Batu Pahat, Johor, juga seorang Pensyarah Kanan Bahasa Inggeris di Jabatan Bahasa Inggeris, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Johor.

Beliau tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang seni khususnya lukisan namun bakat dan minat yang mendalam dalam dirinya mendorongnya untuk terbang lebih tinggi, melakar warna-warna seni di kanvas pada setiap masa terluang. Pada usia 47 tahun, beliau yang mesra disapa sebagai Shima, terus-menerus menaruh harapan untuk terus kukuh dalam persada seni lukis yang bertumpu pada panorama alam terutama keindahan flora yang mengasyikkan.

 

Bekas Pesakit AVM

Shima yang sebelum ini merupakan pesakit Arteriovenous Malformation (AVM), menjadikan kerja seninya sebagai terapi untuk pulih sepenuhnya. AVM merupakan sejenis penyakit pengumpulan sel darah di bahagian otak. Pembedahan otak pada tahun 2014 memberi kesan terhadap dirinya, namun Shima cekal menghadapi kesakitan dan trauma. Satu daripada terapi untuk pulih daripada kesakitan tersebut ialah dengan melukis. Pada ketika kesakitan beliau menyerang, berus, kanvas dan cat menjadi teman setia. Warna-warna tersebut terlakar tanpa sengaja dengan ciptaan karya yang berbentuk otak pada setiap lakaran floranya. Selain berdoa dan berserah kepada Maha Pencipta, Shima menjadikan kerja-kerja melukisnya sebagai terapi untuk beliau terus kuat semangat dan pulih sepenuhnya. Hasil seni bukan sahaja boleh dipamerkan malahan boleh dimanfaatkan oleh individu untuk merawat penyakit dari sudut psikologi dan fizikal. Itulah yang dialami oleh Shima usai beliau menjalani pembedahan otak.

Pendekatan terapi seni ini berjaya memberi kesan positif dalam diri Shima yang trauma dengan AVM dan menghadapi konflik jiwa yang agak rusuh. Apabila beliau berkarya di kanvasnya, suatu luahan kreativiti telah terzahir dengan keunggulan daya seni yang membanggakan. Visual keindahan alam yang dilukiskan memberi kepuasan dan merawat penyakitnya. Emosinya tenang dan tekanan perasaannya terbang sedikit demi sedikit. Sungguh, memandang lukisannya memberi seribu satu ketenangan yang luar biasa!

 

Jelajah Kanvas

Shima menjadikan jelajah kanvasnya sebagai pengalaman bermakna dalam putaran alam dan panoramanya.

Atas dasar minat dan kesungguhan menjadikan seni lukis sebagai hobi dan garapan masa hadapan, Shima menyertai beberapa pameran lukisan di dalam dan di luar negara. Selain mewakili Malaysia sebagai duta kecil dalam beberapa siri pameran, Shima menjadikan jelajah kanvasnya sebagai pengalaman bermakna dalam putaran alam dan panoramanya. Antara pameran solo yang disertai ialah Expression of Passion pada Februari 2019 di Da Men Mall dan The Expression of Brain AVM Survivor pada Jun 2019 di Hospital UPM.

Selain mengadakan pameran solo, Shima turut mengadakan pameran bersama-sama rakan pelukis lain di beberapa pameran semenjak 2018. Antara yang disertainya ialah Ray of Light (Disember 2018), Spring is Coming (Februari 2019), Art E Decor (Mac 2019), Ketika (September 2019) dan Dancing Dreams (September 2019). Shima mewakili Malaysia dalam pameran Bangkok Art Group Show di Chang Chui Gallery, Thailand pada September-Oktober 2019 sebagai satu lagi peluang untuk beliau melebarkan sayap seninya ke peringkat yang lebih tinggi.

 

Produk Bingkisan Akrilik, Akuarel dan Cat Minyak

Antara hasil lukisan Shima.

Insan seni yang polos senyumannya ini telah menzahirkan bingkisannya dalam kepelbagaian bentuk yang lebih sofistikated. Lakaran di dada kanvas dijadikan produk untuk dikomersialkan dalam bentuk yang lebih ringkas, mudah dan menarik. Beliau dengan kreatifnya telah merakamkan lukisan-lukisannya menjadi sarung bantal, sarung kusyen, beg tote, beg silang, dan bekas pensel. Produk ini telah dikomersialkan melalui jualan dalam talian di Instagram beliau – Nazhatulshima. Menurut beliau, tidak semua penggemar lukisan mampu membeli lukisan berbingkai kerana harganya yang agak mahal. Disebabkan itu, beliau menjadikan lukisannya sebagai arca seni yang lebih lembut dan mudah dibawa dan dimanfaatkan. Produk yang dikomersialkan ini berjaya menambat hati pembeli kerana Shima memberi peluang kepada pelanggannya untuk memilih sendiri item kesukaan masing-masing. Tempahan yang diterima bukan sahaja dari dalam negara bahkan dari luar negara.

Antara koleksi Shima yang boleh dibawa ke mana sahaja. Beliau menjadikan lukisannya sebagai arca seni yang lebih lembut dan dimanfaatkan.

Shima gemar akan cat akrilik dalam kebanyakan lakarannya. Penggunaan cat akrilik ini boleh dicairkan dengan air, tetapi akan kalis air apabila hasilnya mengering. Akrilik tidak akan tertanggal daripada kanvas walaupun pelarut medianya ialah air kerana ia mengandungi pigmen penggantungan dalam polimer emulsi akrilik. Sesekali Shima mengatur alamnya dengan cat air atau akuarel sebagai medium lukisan yang bersifat tidak legap (transparent). Variasi ini lebih sesuai jika Shima melukis di atas kertas. Warna air ini juga boleh diaplikasikan di atas kain dan kanvas. Penggunaan cat minyak juga menjadi pilihan beliau dalam catannya. Cat minyak lebih lambat kering dan mempunyai partikel pigmen yang terapung dalam pelarut seperti air. Cat minyak lebih tahan dan terang serta berkilat.

 

Pelukis yang Menulis

Lakaran alam yang dilukis di atas sekeping kertas kecil.

Shima kian sedar dalam dirinya mengalir bakat menulis terutamanya dalam penghasilan puisi. Begitulah yang ternukil dalam satu-satu lakaran lukisannya berserta puisi yang puitis sifatnya. Antara puisi yang telah terbit dalam bentuk kumpulan puisi dan antologi ialah Menanti Noktah Hidup, Mencipta Pelangi, Kertas Putih Itu, Bagaimana Raikan Merdeka, Andaian, Biar Berbekas, Hijrah Rimba Kata dan Cinta Hakiki. Kebersamaan tersebut telah mengiringi beliau menulis cerpen juga. Antara cerpen yang mendapat perhatian ialah Tidak Kalis Sayu (Dewan Sastera, 2013), Setelah Hujan Turun, dan yang terbaharu Pesanan Terakhir Lukisan Luka (2019). Begitulah seni yang mengalir dalam darahnya yang seiring dengan keringat yang sentiasa segar dan berwarna-warni.

Beliau banyak belajar daripada pengalaman dan penghasilan kerja-kerja seninya. Biar pun profesionnya tidak langsung menjurus ke arah seni lukis, namun itu bukan bermakna beliau mengabaikan tugas hakiki sebagai pendidik mahasiswa. Bidang catan di tanah air tidak begitu popular dan kadangkala dipandang sepi oleh sesetengah pihak yang tidak melihat seni catan itu sebagai sebahagian daripada terapi kehidupan yang mengharmonikan dan memberi kesegaran. Motif alam kian terpisah daripada kehidupan harian manusia walhal motif itulah yang sepatutnya dimartabatkan kerana penguasaan alam bisa ‘menggurukan’ seseorang.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036664
    Visit Today : 146
    This Month : 19263
    Total Visit : 1036664
    Hits Today : 333
    Total Hits : 4252688
    Who's Online : 9
  • Kategori