Judul:  Seorang Tua Di Kaki Gunung

                                                      Pengarang:  Azizi Haji Abdullah

                                                      Terbitan:   Dewan Bahasa dan Pustaka

                                                      Harga:    RM 20.00

                                                      Tahun Terbitan:  2018

                                                      Pengulas:  Ismail Hashim

 PERKAMPUNGAN yang berdekatan di kaki Gunung Bongsu itu tidak ramai penduduk yang tinggal. Kawasannya terlindung oleh pokok-pokok besar yang merimbun. Selain daripada menoreh getah, pekerjaan utama bagi penduduk kampung ini adalah berhuma,mencari rotan, akar kayu,akar seruntun serta ulam-ulaman seperti petai dan genuak sehingga sampai ke kaki Gunung Bongsu.

Tukya berusia 73 tahun merupakan seorang perantau dan telah menetap di kampung itu sejak sekian lama. Isterinya, Besah adalah seorang perempuan yang baik dan amat patuh pada suaminya. Fikri merupakan satu-satunya anak kebanggaan Tukya yang merupakan pelajar berasrama penuh dan telah berjaya menamatkan pelajarannya ke luar negara. Beliau menjawat jawatan tertinggi di Kuala Lumpur dan telah berkahwin bersama wanita pilihan hatinya yang juga berasal dari Kuala Lumpur.

Hujan lebat menyebabkan Tukya tinggal di rumah. Tukya tidak ke huma. Jalan dan denai bertanah merah bercampur selut telah digenangi air. Besah mengambil kesempatan membasuh lantai buluh rumah. Pada waktu hujan begini, Tukya rindu akan cucu-cucunya – Lamin dan Farid. Farid bukan lah seorang yang mesra dengan Tukya, berbeza dengan adiknya Lamin yang sangat akrab dan sanggup tinggal bersama atok dan neneknya di rumah usang mereka pada hujung minggu.  Sedang Tukya teringat akan kenangan manis bersama lamin. Khayalannya mati tiba-tiba apabila dapurnya bocor. Tukya membaiki bumbung bocor tersebut dengan mengunakan upih kering.

Tukya meminta Taha menulis surat kepada Fikri supaya membawa pulang Lamin dan Farid. Tukya mahu membawa Lamin mengambil madu lebah di dalam hutan. Tukya bercadang mahu memperkenalkan hasil-hasil hutan di Gunung Bongsu seperti damar laut, meranti bukit, damar minyak yang mempunyai keunikan serta manfaatnya tersendiri. Pendek kata, beliau ingin mengajar Lamin mencintai alam Semula Jadi.

Lamin pulang ke kampung setelah menerima surat dari Tukya. Pagi itu Tukya bercadang mengajak Lamin meredah hutan dan meragas gunung. Tukya memperlihatkan kemahirannya menyeru seekor pelanduk yang pandai menari dengan alunan muzik dari daun-daun yang mengalun di dalam rimba. Lewat petang itu Tukya dan Lamin sampai ke rumah.

Malam itu Tukya pulang dari surau yang dibina oleh penduduk kampung dengan menggunakan kayu-kayu hutan yang baik. Surau itu juga digunakan oleh penduduk untuk melakukan solat berjemaah untuk kaum lelaki dan perempuan atau sembahyang raya. Setiap malam Jumaat mereka mengadakan perjumpaan di surau dengan membawa kuih-muih atau masak bubur kacang sampai lewat malam. Malam itu Besah mengurut kaki cucunya Lamin yang penat meredah rimba dan memanjat gunung tadi siang.

Masih ada satu lagi aktiviti untuk esok buat Lamin dan Tukya iaitu mencari madu lebah di dalam hutan. Malam itu,Tukya berasa kecewa dengan sikap Fikri yang enggan membenarkan Lamin tinggal bersamanya akibat rumahnya yang buruk dan hendak runtuh.

Tukya menyediakan peralatan yang diperlukan bagi mendapatkan madu lebah rimba.Tukya mengunakan andang yang diperbuat dari lilitan ikat bersalut dengan sabut kelapa kering ke dalam uncang daun kelapa yang menyerupai pembalut  buah nangka. Tukya juga membawa timba plastik. Sabut akan dinyalakan dengan api bagi membuatkannya berasap. Sabut yang berasap akan di layurkan pada kumpulan lebah itu bagi menakutkan lebah lalu lebah akan meninggalkan sarangnya. Ianya waktu yang sesuai bagi Tukya mengambil madu lebah itu.

Lamin membawa sama lastik  cabang senduduk itu bersamanya.Tukya dan Lamin bergerak menuju ke dalam rimba dan akhirnya sampai ke pokok petai jantan yang ketinggiannya 40 kaki dari perdunya. Kelihatan lebah berterbangan sesama sendiri bagaikan sebuah busut bujur yang melandur ke bawah. Tukya menepuk-nepuk perdu pokok petai jantan itu lalu membina sigai dari buluh bagi memudahkan Tukya memanjatkan pokok itu.

Tukya menghidupkan api pada sabut lalu dilayurkan sabut itu kepada kumpulan ribuan lebah. Namun begitu, cara tersebut kelihatan tidak berjaya apabila lebah tersebut datang semula pada sarangnya. Ratusan lebah menyengat Tukya.Tukya terjun ke dalam londang untuk menyelamatkan dirinya. Tukya berpesan kepada Lamin supaya pulang ke rumah dan meminta neneknya, Besah memasang kelambu. Disebabkan sakit-sakit badan kerana serangan lebah itu, Tukya buat pertama kalinya tidak melakukan solat maghrib dan solat isyak. Di atas tilam yang diperbuat daripada kain perca itu setebal setengah inci itu, Tukya berguling tidak tentu hala kerana menahan sakit yang amat.

Besah menuam luka Tukya dan Lamin mengunakan bungkusan pasir suam bagi mengurangkan kesakitannya. Lebai At pula membuat air penawar bisa. Mata dan bibirnya kelihatan membengkak. Akhirnya dengan bantuan Lebai At, Lebai Ca dan Awang Lazim, Tukya telah dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan.

Fikri pulang bersama isterinya, Fatimah dan anaknya Farid bagi menziarahi Tukya yang baharu pulang dari hospital. Fikri bercadang mahu membawa Tukya dan Besah tinggal bersama sama mereka di Kuala Lumpur. Fikri dan Fatimah bertolak balik ke Kuala Lumpur dan membawa pulang anak mereka Farid dan Lamin sekali.

Pagi itu Tukya memaklumkan kepada Besah yang bercadang mahu membuat rumah untuk menggantikan rumah mereka yang lama. Tukya meneruskan perjalanannya ke rimba dan menebang pokok cengal batu sebesar dua pemeluk lebih yang tinggi melayup itu. Tukya mengenggam hulu kapak dan menebang pohon cengal batu setinggi 80 kaki itu. Tukya berjaya menebang tiga suku bahagian pokok cengal batu dalam tempuh 16 hari sahaja.

Tukya telah membuat kenduri doa selamat di surau kerana berasa bersyukur dapat menebangkan cengal batu sebesar dua pemeluk itu kepada tiga suku bahagian.Tukya mahu berkongsi kejayaannya itu dengan Fikri.

Malam itu, Taha menyampaikan telegram kepada Tukya dari Karangan. Telegram itu memaklumkan Fikri tidak jadi pulang kerana ada urusan mustahak.

Pagi itu Tukya membawa Besah ke rimba kerana mahu menunjukkan pokok cengal batu yang ditebangnya itu. Semasa Tukya melakukan  kerja-kerja penebangan pokok cengal batu itu, kaki Tukya tersangkut pada akar simpan air yang tidak berjaya dicantasnya satu ketika dahulu. Sebelah pehanya yang tersepit itu.Besah terpaksa menggunakan gergaji bagi memotong kaki Tukya yang terkapit itu. Tukya maut dalam kejadian yang mengerikan itu.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047546
    Visit Today : 1162
    This Month : 30145
    Total Visit : 1047546
    Hits Today : 3473
    Total Hits : 4298275
    Who's Online : 9
  • Kategori