OLEH NUR HIDAYAH ISMAIL

PENDIDIKAN merupakan perkara dominan yang menjadi buah mulut masyarakat tidak kira masa. Setiap hari, ada sahaja isu yang melibatkan guru, murid dan pendidikan. Di sini, saya ingin mengupas sedikit sebanyak mengenai kepentingan bahasa dalam kehidupan seseorang guru.

Bahasa umpama nadi dalam sesi Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) di dalam kelas. Setiap tutur kata yang disampaikan oleh seorang guru melibatkan penguasaan bahasa. Oleh sebab itu, semasa belajar di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau di mana-mana universiti, terdapat subjek bahasa yang dijadikan sebagai subjek teras. Walaupun guru pelatih atau pelajar mengambil bidang Sejarah atau Pendidikan Jasmani, bahasa Melayu perlu dikuasai dengan pungutan kredit yang banyak bagi melayakkan seorang pelajar menjadi seorang guru.

Penguasaan bahasa sangat penting bagi memudahkan murid faham apa yang ingin guru sampaikan. Guru perlu menggunakan bahasa yang selaras dengan tahap umur murid. Penggunaan bahasa yang kelihatan dan kedengaran canggih akan menyukarkan murid untuk memahami setiap apa yang disampaikan oleh guru sewaktu mengajar. Hal ini akan menimbulkan rasa bosan di kelas. Guru juga akan kelihatan seperti syok sendiri di hadapan kelas. Oleh itu, guru perlu meneliti tahap umur dan penguasaan murid sebelum menyampaikan ilmu di khalayak murid.

Sebagai seorang guru, penggunaan bahasa mendatangkan kesan yang sangat baik jika digunakan dalam bentuk pujian. Secara analoginya, guru memberi pujian kepada murid yang berjaya menjawab soalan di kelas. Murid akan berasa dihargai dengan kata-kata berbentuk pujian. Ini akan mendorong murid lain untuk bersaing secara sihat. Tapi sekiranya guru menyalahgunakan bahasa, impak negatif akan berterusan dalam jiwa murid. Contohnya, guru menggunakan perkataan seperti bodoh, hodoh, pemalas dan yang serupa dengan maksud perkataan tersebut kepada murid. Perkataan begini semestinya membuatkan murid malu dan tidak berusaha untuk terus maju ke hadapan.

Bahasa yang meniti di bibir seorang guru memberi impak besar terhadap dunia pendidikan. Oleh itu, golongan pendidik perlu menitikberatkan penguasaan bahasa dari pelbagai sudut. Bahasa boleh dipelajari menerusi majalah bercetak seperti majalah keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka. Contohnya, Majalah Dewan Bahasa yang sentiasa mengupas isu semasa bahasa. Majalah Pelita Bahasa pula mempunyai ruang khas iaitu ruang Bahasa dan Pendidikan. Selain itu, kupasan dan luahan mengenai bahasa boleh dibaca dan dipelajari menerusi laman sesawang Klik Web DBP. Oleh itu, saya menggalakkan majalah keluaran DBP menjadi majalah rasmi setiap guru. Jika boleh, setiap sekolah perlu melanggan majalah ilmiah ini dan diletakkan di ruang kerja serta pusat sumber sekolah. Laman sesawang Klik Web DBP juga boleh dijadikan sebagai laman sesawang untuk rujukan pengunjung.

Kesimpulannya, golongan guru hendaklah sentiasa memastikan bahawa bahasa memainkan peranan yang penting bukan sahaja untuk murid, tetapi untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Sikap ambil peduli mengenai bahasa perlu diterapkan dalam jiwa golongan guru untuk kepentingan semua pihak bagi melahirkan insan yang berpengetahuan mengenai kesantunan dan keindahan bahasa.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044976
    Visit Today : 1397
    This Month : 27575
    Total Visit : 1044976
    Hits Today : 5224
    Total Hits : 4290197
    Who's Online : 3
  • Kategori