Judul: Sejarah Negeri Sembilan

Penulis: Buyong Adil

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM10

Pengulas: Ismail Hashim

CAMPUR tangan Inggeris di Negeri Sembilan bermula pada 21 April 1874, apabila Datuk Kelana Syed Abdul Rahman bagi pihak Sungai Ujong dengan Datuk Muda Linggi telah bersetuju untuk membuat surat perjanjian dengan Gabenor Sir Andrew Clarke di Singapura bagi pihak kerajaan British.

Sejak itu, Datuk Kelana Syed Abdul Rahman telah meletakkan dirinya dan Luak Sungai Ujong di bawah lindungan British, terutama dalam mendapatkan bantuan tentera upahan dan askar bagi melawan musuhnya, iaitu Datuk Bandar Tunggal Abdullah bin Ahmad.

Sejak itu, Datuk Kelana Syed Abdul Rahman telah meletakkan dirinya dan Luak Sungai Ujong di bawah lindungan British, terutama dalam mendapatkan bantuan tentera upahan dan askar bagi melawan musuhnya Datuk Bandar Tunggal Abdullah bin Ahmad.

Manakala pada 28 Ogos 1874, apabila Syed Abdul Rahman, Datuk Kelana Sungai Ujong telah meminta bantuan daripada Gabenor Negeri-negeri Selat, iaitu Sir Andrew Clarke bagi membina jalan raya dan sebuah penjara bagi menempatkan orang-orang jahat di Sungai Ujong. Melihatkan kerjasama yang baik daripada kerajaan Inggeris ini, Datuk Kelana Sungai Ujong berhasrat memanjangkan hubungan ini.

Beliau juga telah ‘mengajak’ pegawai Inggeris bertapak di Sungai Ujong apabila dengan rasminya meminta supaya gabenor tersebut melantik seorang pegawai Inggeris yang bernama Isemonger sebagai Residen di Sungai Ujong yang bertanggungjawab dengan pentadbiran Sungai Ujong.

Datuk Bandar Haji Ahmad bin Md.Ali (1874-1928) tidak bersetuju untuk bersahabat dengan orang Inggeris dan mengugut akan membangkitkan keadaan huru-hara di Sungai Ujong.

Bagi mengekang pergerakan ini, kerajaan Inggeris telah menghantar satu pasukan polis seramai 60 orang ke Sungai Ujong bersama-sama dengan 44 orang buruh kasar.

Pasukan itu diketuai oleh seorang pegawai Inggeris yang bernama W.A.Pickering. Tujuan kerajaan Inggeris adalah hendak menyelesaikan perselisihan faham di antara Datuk Kelana Syed Abdul Rahman – alasannya ialah orang Arab yang menyebarkan pengaruhnya dari tahun 1872 hingga tahun 1879 (1879 meninggal dunia di Mekah) dengan Datuk Bandar Sungai Ujong, iaitu Datuk Bandar Haji Ahmad bin Ali (1874-1928).

Tugas Datuk Bandar adalah untuk memungut hasil, cukai perniagaan dan cukai kapal-kapal yang berdagang di Sungai Ujong. Oleh sebab itulah, orang yang menjadi Datuk Bandar di Sungai Ujong menjadi orang yang kaya dan kekayaan ini membolehkannya menjadi pemerintah di Sungai Ujong.

Sejak Datuk Kelana Syed Abdul Rahman bersahabat dengan orang Inggeris, Datuk Bandar Haji Ahmad tidak mahu datang menghadap Datuk Kelana dan tidak mahu berjumpa dengan gabenor Negeri-negeri Selat, iaitu Sir Andrew Clarke.

Bertahun-tahun lamanya Datuk Bandar Haji Ahmad memandang Datuk Kelana Syed Abdul Rahman sebagai patung kepada kerajaan Inggeris. Datuk Bandar juga telah merampas kuasa Datuk Kelana memungut cukai di Sungai Ujong dengan mengikut sesuka hatinya sahaja.

Manakala campur tangan Inggeris di Jelebu bermula dengan perjanjian antara Jelebu dengan Inggeris pada 24 Ogos 1883. Perjanjian ini telah diperbuat di antara Tuan Yang Terutama Sir F.A.Weld, Gabenor dan Ketua Pemerintah Negeri-negeri Selat dan jajahan takluknya bagi satu pihak dengan Syed Ali bin Zin al-Jafri, Datuk Penghulu Jelebu bagi menyelesaikan pergaduhan Yamtuan Abdullah dengan Datuk Undang Jelebu.

Dalam tahun yang sama, kerajaan Inggeris telah menetapkan Yamtuan Abdullah menerima  gaji seumur sebanyak RM1200 setahun dengan syarat Yamtuan Abdullah tidak boleh campur tangan dalam urusan pemerintahan di Jelebu. Semua urusan pemerintahan itu terpulang kepada Datuk Undang Jelebu.

Setelah hampir setahun pihak Inggeris ditempatkan di Jelebu, terdapat berbagai-bagai faedah yang diterima oleh penduduk Jelebu. Oleh sebab yang demikian, khidmat dan bantuan Inggeris telah dilanjutkan tempohnya melalui perjanjian baharu telah dilakukan.

Dengan mengadakan kerjasama Kerajaan Negeri-negeri Selat dan Jelebu telah berjaya menyelesaikan permasalahan penduduk.

Campur tangan Inggeris di Rembau adalah bermula dengan hubungan baik Yamtuan Muda Rembau, Raja Ali dengan Inggeris apabila menantunya Syed Shaaban mendapatkan bantuan Inggeris mengalahkan Naning dalam Perang Naning 1831-1832 (Datuk Naning ketika itu ialah Datuk Dol Said).

Setelah berjaja memenangi Perang Naning 1832 dengan bantuan pihak Inggeris di Melaka, Raja Ali telah menggelar dirinya sebagai Yamtuan Besar Negeri Sembilan dan dengan kuasa yang ada padanya, Raja Ali telah melantik menantunya Syed Shaaban sebagai Yamtuan Muda Rembau.

Walau bagaimanapun, kedudukan Raja Ali sebagai Yamtuan Besar Negeri Sembilan tidak diiktiraf oleh mana-mana Datuk Undang Negeri Sembilan dan pelantikannya itu dianggap tidak sah.

Datuk Undang Rembau yang bernama Datuk Nganit (Undang Rembau yang ke-13) telah membina hubungan baik dengan pihak Inggeris melalui surat perjanjian bertulis dengan pihak Inggeris di Melaka.

Lebih memburukkan keadaan, apabila Undang Luak Rembau itu telah menyerahkan Tampin kepada Syed Shaaban, menantu Raja Ali yang sebelum ini mempunyai hubungan baik dengan Inggeris di Melaka.

Pertelingkahan ini terus berpanjangan dan pada tahun 1878 apabila Datuk Haji Sahil Undang Rembau yang ke-15 telah menghantar angkatan perangnya menyerang Tampin yang diperintah oleh Tengku Besar Tampin yang kedua, iaitu Syed Abdul Hamid bin Syed Shaaban pada ketika itu.

Akhirnya Rembau tidak dapat mengalahkan Tampin dan angkatan tentera Rembau pun terpaksa berundur dan menyerah kalah kerana gagal bertahan kubu mereka itu daripada serangan angkatan tentera Tampin.

Sebagai kesimpulannya, campur tangan Inggeris di Negeri Sembilan adalah berpunca daripada keretakan yang berlaku antara pembesar-pembesarnya sendiri yang mahu mengekalkan kuasa mereka dengan mendapatkan bantuan daripada pihak Inggeris.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1050772
    Visit Today : 85
    This Month : 33371
    Total Visit : 1050772
    Hits Today : 204
    Total Hits : 4314665
    Who's Online : 12
  • Kategori