OLEH JAYMANI SEVANATHAN
MENURUT Syed Hussein Alatas menerusi bukunya, Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi, apabila sebuah negara dikuasai dengan masalah rasuah, ia membawa kepada kemunculan negara kleptokratis. Negara kleptokratis dikuasai oleh para kleptokrat yang melibatkan diri dalam rasuah sebagai alat pengeluaran utama. Terdapat tiga ciri yang ada pada kerajaan kleptokrasi tersebut. Pertama, ia memberi semua kontraknya kepada kroni. Kedua, semua jawatan dalam kerajaan diberi kepada kroni, adik-beradik dan semua yang rapat dengannya. Ketiga, pengeluaran wang dalam khazanah tanpa memikirkan kebaikan rakyat. Ini merupakan jenayah negara dan bukannya jenayah peribadi.
Sikap memberi dan menerima ‘hadiah’, amalan ‘jalan belakang’ dan sebagainya merupakan benih awal kepada rasuah. Benih inilah yang akhirnya tumbuh melebar dan membawa kepada kemusnahan sesebuah tamadun manusia. Rasuah juga tidak kenal kaum, agama, gender dan warna kulit. Ia seperti jangkitan virus yang mampu tersebar ke dalam masyarakat dan seterusnya membawa kepada kemunduran masyarakat tersebut. Yang kaya semakin kaya, yang miskin pula bertambah miskin.
Rasuah tidak wujud semalam atau kelmarin. Rasuah dipandang hina sejak 1000 tahun sebelum Masihi di India, sama seperti di China dan Yunani Kuno. Namun, jika diperhatikan sekarang, India juga disifatkan memiliki budaya rasuah yang berterusan dan berulang walaupun dikenali sebagai sebuah negara yang penuh dengan demokrasi. Dalam sejarah Mesir, Babylon, Ibrani, India, China, Yunani dan Romawi Kuno, rasuah sering muncul sebagai masalah. Misalnya, Hammurabi dari Babylon yang naik takhta sekitar tahun 1200 SM memerintahkan seorang gabenor wilayah untuk menyelidiki satu kes penyogokan. Undang-undang Hammurabi mengenakan hukuman mati kepada beberapa bentuk rasuah yang dilakukan oleh para pegawai kerajaan. Di sini dapat dilihat masalah rasuah dinilai secara realistik sejak zaman dahulu lagi.
Secara teknikalnya, dengan kewujudan rasuah, pekerjaan akan menjadi tidak produktif sekali gus menyumbang kepada kemerosotan ekonomi. Begitu juga dengan penyelewengan yang berlaku disebabkan oleh rasuah dan turut menyumbang kepada ketidakstabilan ekonomi. Jadi, secara keseluruhannya rasuah tetap menjadi salah satu elemen yang menghalang dan memberikan kesan kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara. Bank Dunia mengandaikan rasuah ini sebagai satu ancaman yang terbesar kepada ekonomi dan pembangunan sosial. Ia membantutkan pembangunan negara dengan memporak-perandakan undang-undang dan juga melemahkan institusi asas dalam pembangunan ekonomi.
Budaya rasuah juga boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara, seperti yang berlaku di Filipina. Ia mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan Presiden Ferdinand Marcos yang merupakan seorang kleptokrat daripada tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung.
Rasuah tidak wajar dianggap sebagai norma dalam masyarakat kerana ia mampu meresap dalam budaya sehingga negara bangsa boleh musnah dalam sekelip mata. Memetik sebuah perenggan dalam buku Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi, “Tidak ada penyebab ketidakadilan dan kekejaman yang lebih besar daripada rasuah kerana penyuapan menghancurkan baik iman mahupun negara” – Sari Mehmed Pasha.