Tajuk buku : Kumpulan Cerpen Cerita Sarah Leong

Penulis : Malim Ghozali PK

Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun terbit : 2020

PENGULAS  : ABDULLAH HUSSAINI MOHD GHAZALI

CERPEN adalah pantulan kehidupan. Penulisnya menulis kembali apa yang terjadi kepada dirinya atau yang berlaku di persekitarannya. Seni adalah peniruan alam, seperti kata Arsitotle. Baik seni lukis, lakonan atau kesusasteraan. Saya percaya cerpen-cerpen karya Malim Ghozali PK dalam buku terbaharunya terbitan DBP iaitu Kumpulan Cerpen Cerita Sarah Leong mengambil semangat demikian. Memetik kata penghantar SN Dr. Anwar Ridhwan dalam buku kumpulan cerpen Malim Ghozali PK sebelum ini, “kita dapat menggambarkan kegemaran pengarang untuk sentiasa bergerak dan mengamati manusia, alam dan isu – di mana-mana sahaja tempat yang dikunjunginya”, adalah bukti kepada identiti kepengarangan Malim Ghozali Pk. Beliau tidak menulis tentang kesengsaraan marhaen seperti Azizi Abdullah atau Shahnon Ahmad dan tidak juga menulis cerita-cerita realisme magis seperti Ruhaini Matdarin tetapi cerita-ceritanya seputar kehidupan seharian. Dia seorang pengamat yang tidak terlibat secara langsung tetapi seakan seorang pengomentar menyaksikan pertarungan tinju atau laga lembu – hangat dan dramatik.

Malim yang dibesarkan di kampung memanfaatkan pengalamannya itu ke dalam penceritaannya. Beliau menguasai dunia flora dan fauna yang menjadi latar satu-satu ceritanya. Di dalam cerpen Tanah yang berlatarkan kampung Orang Asli, isu yang diangkat adalah tipu daya ahli politik dan kerosakan hutan yang menjadi ancaman terbesar penduduk. Kerana ditekan akhirnya Julia, watak utama, bangkit memimpin demontrasi sehingga menteri mengumumkan polisi baharu. Namun, Julia yang masih muda tetap ragu-ragu akan penukaran polisi itu. Dia tertanya-tanya jika menteri melakukan sebegitu kerana pilihan raya yang sudah hampir tarikhnya. Monolog dalaman Apakah benar tanah dan rimba raya ini bukan milik sesiapa? di pengakhiran cerpen adalah bukti keraguannya terhadap politikus yang materialistik. Isu tanah adat Orang Asli adalah isu yang telah dan masih berlaku di negara kita sehingga menindas kehidupan mereka. Kritikan yang keras adalah perlu. Maka, pengakhiran yang pesimistik sebegitu bukanlah sesuatu yang pelik.

Kritikan penulis bukan sekadar terhadap politik nasional tetapi juga sosiopolitik merentasi negara. Cerpen Akhirnya Kutemui Haadyai mengangkat perjuangan Melayu Patani. Pertemuan dua penulis dalam kereta api berakhir dengan suatu tragedi. Atau bagaimana ketaksuban kepada sesuatu fahaman boleh merubah seseorang di dalam cerpen Teman Penyair dari Batam. Di dalam cerpen Suatu Petang di Geylang Serai, narator yang sudah lama tidak melawat Tanah Singa itu tiba-tiba merasakan begitu banyak kehilangan. Dia menyaksikan begitu banyak perubahan sehingga menyamakannya seperti di Hong Kong dan Guangzhou. Dia berbual dengan salah seorang peniaga warung sup tetang nasib Melayu di situ, tentang politik dan mengenang kembali cerita silamnya. Di sini, pengarang menitipkan dengan tipis kritikan terhadap bangsa Melayu, bersulamkan kenangan silam, lagu-lagu pop yeh-yeh, murtabak, emping belinjau dan kehilangan gerai-gerai kuih yang pernah melatari kawasan sekitar Geylang Serai.

Syahdan, gastronomi juga adalah elemen penting dalam fiksyen. Menurut Silvia Ammary dalam buku The Hunger Artist : Food and The Arts, penulis Hemingway menggunakan makanan bukan sekadar pelengkap cerita tetapi menghubungkaitkannya dengan tema novelnya sama ada kematian, seks atau cinta. Deskripsinya tentang makanan di setiap tempat yang disinggahinya menghidupkan cerita-ceritanya. Dengan menyisipkan pengalaman gastronomi Nusantara ke dalam cerpen-cerpennya, Malim Ghozali PK menjadikan sesuatu cerita itu tambah menarik. Sama ada tempatnya di Indonesia, London atau Singapura, beberapa jenis makanan menjadi penghias cerita yang boleh meraih selera pembaca. Jus adpokat, es teler, lotis, tauhu semedang, kuih dangai, pecel lele, nasi rawon, rojak buah, ayam taliwang, masak tempoyak, kuih pliek u, mi Aceh, gulai beulangeng, jus jeruk, pisang salai, dan nasi beriani.

Apakah cukup sekadar berkisah perihal alam sekitar, politik dan makanan sahaja? Rentas budaya dan sempadan negara adalah satu lagi tema yang mencakupi cerpen-cerpen di dalam buku ini. Malah kita dapat meneka melalui tajuk buku ini sendiri. Cerita Sarah Leong yang menjadi cerpen pembuka cerita adalah mengenai perkahwinan campur orang Cina dan Melayu. Dan seperti biasa, kisah percintaan sebelum perkahwinan Sarah Leong dan Tamrin menghadapi tentangan. Selain latar masyarakat Orang Asli, kita juga diajak menghayati kisah pekerja Bangladesh yang bercinta dengan wanita tempatan dalam cerpen Kibria Oh Kibria! atau percintaan orang Malaysia dengan gadis Indonesia dalam cerpen Merapi dan Mitra. Melalui kisah-kisah percintaan ini juga kita akan mendapati unsur romantisme yang pekat, rindu tidak kesampaian dan melankoli yang menarik tangan kita untuk merasainya.

Dengan bahasa yang lancar, saya fikir tidak sukar untuk kita mengikuti cerpen-cerpen yang ditulis Malim Ghozali PK. Ceritanya lincah, meneroka memori dan memijak kekinian. Kebanyakan cerpennya adalah berlatar realisme, dekat dengan kejadian sehari-hari. Beberapa dialek Perak dan Indonesia dikesan. Pun begitu, ada beberapa cerpennya yang menggunapakai teknik penulisan stream of consciousness. Seperti cerpen Sepagi. Ayat-ayatnya pendek, bersambung-sambung bagaikan monolog dalaman. Ada cerpennya memasuki dunia bawah sedar seperti cerpen Gurun dan Dia, Dr Hasni dan Bunga ii: Api Marak Semula.

Demikian, ragam kehidupan yang berencah dan misteri diaduk ke dalam cerita yang dihidangkan buat pembaca. Seperti yang diungkap pada blurb buku ini, keseluruhan cepennya, Malim Ghozali PK menyudahi cerita dengan penutupan terbuka. Sekarang, dapatkan sebuah dan terserahlah kepada anda untuk mentafsirkannya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048926
    Visit Today : 1244
    This Month : 31525
    Total Visit : 1048926
    Hits Today : 4176
    Total Hits : 4303222
    Who's Online : 11
  • Kategori