OLEH WAN MOHD FARID JAMEL

PROGRAM Pembinaan Penulis Malaysia 2019 telah diadakan pada 24 Ogos 2019 (Sabtu), di Ruang legar Balai Budaya, Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, dengan tema “Mencipta Karya Sastera Idaman Antarabangsa”. Program yang pertama kali diadakan oleh DBP melalui Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran ini disertai oleh 85 orang peserta yang terdiri daripada penulis Malaysia.

DBP sebagai sebuah badan yang diamanahkan untuk memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan menganjurkan bengkel ini untuk memberikan peluang kepada rakyat Malaysia khususnya kepada penulis mapan tanah air membina bakat dan kepakaran dalam bidang kesusasteraan dan menghasilkan karya yang bermutu tinggi. Program ini selaras dengan matlamat penubuhan DBP yang kedua, iaitu untuk memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan.

Mutakhir ini, program berkaitan penulisan sastera agak terpisah daripada kegiatan sains dan teknologi serta dalam bidang teknologi dan komunikasi. Walaupun ada yang mengatakan bahawa penulisan sastera tidak dapat dipisahkan daripada sains dan teknologi, tetapi dengan kemajuan dunia dalam mencapai era Revolusi industri 4.0 telah meninggalkan sedikit sebanyak penulisan sastera ke belakang. Oleh itu, apakah perkara yang boleh dibangkitkan dan dibuat untuk meningkatkan mutu penulisan dalam kalangan penulis Malaysia dalam menjadikan karya sastera idaman pembaca antarabangsa?

Program ini diadakan untuk memberi pendedahan dan perkongsian kepada penulis Malaysia tentang sastera yang diinginkan oleh pembaca di peringkat antarabangsa. Objektif pelaksanaan program ini ialah:

  • Memberikan pendedahan dan meningkatkan mutu penulisan karya sastera sebagai wadah pembentukan nilai murni dalam kalangan Penulis Malaysia.
  • Menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam proses penulisan karya sastera.
  • Menambah bilangan karya kreatif yang bermutu untuk diterbitkan.
  • Melahirkan lebih ramai penulis berbakat untuk dikembangkan potensi ke peringkat antarabangsa.

Zainal Rashid Ahmad menyampaikan ceramah bertajuk, “Peluang Penerbitan Masa Kini “.

Peserta terdiri daripada penulis yang telah menerbitkan karya mereka dengan penerbit indie atau penerbit selain DBP. Program ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada peserta untuk mempertajam persepsi, imaginasi dan sensitiviti mereka dalam bidang penulisan sastera, tetapi melatih mereka menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul. Program ini juga adalah untuk mencari bakat penulis muda dalam pelbagai bidang dan memberikan keyakinan kepada peserta menghasilkan karya yang baik dan bermutu bagi bersaing dengan penulis muda yang lain.

Kebolehan untuk menulis karya sastera dengan baik dan hebat ialah satu anugerah dan keistimewaan yang terdapat dalam diri penulis. Tetapi bukan semua manusia dilahirkan untuk menjadi penulis yang hebat. Oleh itu, untuk menjadi penulis hebat yang boleh menghasilkan karya bermutu, penulis perlu peka dengan keadaan perkembangan semasa dan sentiasa menulis tanpa jemu.

YBhg. SN. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, menyampaikan ceramah yang bertajuk, “Ada Apa dengan Sastera”.

Program ini turut menampilkan Sasterawan Negara dan penulis tersohor tanah air untuk berkongsi dan membincangkan ilmu berkaitan karya sastera idaman antarabangsa. YBhg. SN. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, menyampaikan ceramah yang bertajuk “Ada Apa Dengan Sastera”. Seterusnya tajuk “Peluang Penerbitan Masa Kini “ telah disampaikan oleh Zainal Rashid Ahmad, merupakan seorang penulis sastera yang disegani. Beliau berkongsi peluang penerbitan masa kini yang dapat memenuhi cita rasa pembaca di peringkat antarabangsa. Beliau juga merupakan penulis sastera prolifik dan berpengalaman dalam bidang penyiaran dan media baharu. Diharapkan perkongsian ilmu dan pengalaman beliau itu dapat membuka minda penulis tentang satu bentuk penulisan baharu seiring dengan cabaran era Revolusi industri 4.0.

SM. Zakir atau nama sebenarnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman, penulis novel dan cerpen di Malaysia juga penerima SEA Write Awards 2011, turut menyampaikan ceramah dalam program tersebut.

Penulis Malaysia hari ini menghadapi saingan yang besar dan mencabar kerana banyak karya lain di luar sana. Minat pembaca dalam bacaan sesebuah karya juga sukar untuk dijangka. Oleh itu, bagi menghasilkan sebuah Karya Avant – Garde iaitu menghasilkan karya sastera barisan hadapan yang menjadi permintaan pembaca antarabangsa, SM. Zakir atau nama sebenarnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman, merupakan seorang penulis novel dan cerpen di Malaysia serta penerima SEA Write Awards 2011 telah berkongsi pengalaman beliau yang berani untuk berkreativiti dan berinovasi dalam menghasilkan karya-karya sastera yang mempunyai nilai avant – garde yang menjadi ciri-ciri karya idaman antarabangsa.

Sesi Sembang Sastera oleh Puan Nisah Haji Haron.

Sesi Sembang Sastera pula telah disampaikan oleh Puan Nisah Haji Haron, pengarang Malaysia yang menulis dalam bahasa kebangsaan dan terpilih dalam Program Penataran Penulis Antarabangsa di Universiti Iowa, Amerika Syarikat, pada tahun 2015. Semoga perkongsian pengalaman beliau yang bertajuk “Bagaimana Hendak Ke IOWA”, dapat mendorong penulis untuk meningkatkan mutu penulisan dan meyakini bahawa bahasa kebangsaan dapat diangkat dan diperkenalkan ke peringkat antarabangsa melalui medium sastera yang dihasilkan.

Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, En. Abang Haliman Abg Julai (kiri) dan En. Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran (kanan), turut bergambar kenangan bersama-sama YBhg. SN. Dato’ Baharuddin Zainal atau Baha Zain yang turut hadir berkongsi pengalaman beliau dalam dunia penulisan dan sastera.

Tetamu khas pada program ini ialah YBhg. SN. Dato’ Baharuddin Zainal atau Baha Zain, yang merupakan seorang penulis, tokoh penyair, intelektual dan Sasterawan Negara ke -12 pada tahun 2013. Beliau berkongsi tentang kehidupan awal beliau yang dilatari oleh dunia kampung sebagai tempat beliau dibesarkan dengan nilai dan budaya tempatan juga berkongsi kisah kehidupan beliau di kota raya.

Ucapan alu-aluan program ini telah disampaikan oleh YBhg. Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP. Beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan untuk mengumpul penulis Malaysia agar dapat berkongsi idea dan pandangan supaya karya yang dihasilkan lebih bermutu. Program seperti ini juga dapat mengeratkan hubungan antara penulis muda dan penulis mapan.

Program Pembinaan Penulis Malaysia 2019 ini diharapkan akan memberikan pendedahan, pengetahuan, dan kemahiran kepada peserta daripada aspek falsafah sastera, kemahiran penulisan yang berkualiti dan penciptaan karya kreatif yang bermutu. Program ini juga sebagai memenuhi usaha pembudayaan inovasi dan kreativiti yang merangkumi program pemikiran kreatif dalam Industri Kreatif, iaitu memberikan galakan dalam bidang penulisan. Program ini juga dapat memberikan impak yang tinggi kepada perkembangan kesusasteraan tanah air. Melalui program sebegini pemikiran para penulis Malaysia dapat dibentuk ke arah yang lebih murni dalam membentuk bangsa yang berwibawa dan bersahsiah tinggi pada masa hadapan.

Para peserta bergambar kenangan setelah tamat Program Pembinaan Penulis Malaysia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    979711
    Visit Today : 945
    This Month : 27182
    Total Visit : 979711
    Hits Today : 4255
    Total Hits : 3983398
    Who's Online : 5
  • Kategori