OLEH DR. NAZA SANI AGUS

DUA perkataan pinjaman daripada bahasa Inggeris ini, iaitu kolaboratif dan kolaborasi, sering digunakan penutur bahasa Melayu dewasa ini dalam pelbagai situasi tidak kira waktu dan di mana-mana sahaja mereka berada. Namun begitu, kadangkala didapati dua perkataan pinjaman ini digunakan pada tempat, masa dan situasi yang kurang tepat dalam penulisan dan pertuturan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Sebagai contoh, sila amati dialog yang berikut:

“Puan, ini borang kolaborasi yang perlu ditandatangani oleh pelajar dan pensyarah,” kata pelajar saya tanpa rasa bersalah sambil menayangkan borang itu di depan saya.

“Saya tidak mahu tandatangan borang kolaborasi tersebut,” jawab saya.

“Kenapa pula, puan?” tanya pelajar itu lagi dengan wajah berkerut dan ingin tahu.

“Kerana saya tidak mahu subahat dengan kamu untuk kerja tidak baik, saya cuma sudi berkolaboratif dengan kamu.”

Maka sangatlah hairan dan tercengang-cenganglah pelajar itu apabila mendengar jawapan saya. Saya cuma tersenyum sumbing melihat sikap pelajar itu.  Amat besar peranan saya sebagai guru Bahasa Melayu untuk membiasakan yang betul. Pelajar saya angguk tanda mengerti dan puas hati setelah saya huraikan makna kolaborasi dan kolaboratif lebih lanjut.

Sebagai penutur dan guru bahasa Melayu, sering terdengar soalan berbunyi seperti yang berikut: Yang mana satu yang betul ni puan? Tif atau Si? Apakah kata akar untuk diksi ini? Kolakah, kolaborakah? Atau memang kolaboratif dan kolaborasi itu merupakan kata akar yang mantap maknanya dan boleh berdiri sendiri? Bertubi-tubi soalan dilontarkan kepada saya.

Untuk mendapatkan jawapan yang mantap, mari sama-sama kita rujuk pakar kosa kata. Siapakah pakar kosa kata yang dimaksudkan itu? Tidak lain tidak bukan, tentulah Kamus Dewan. Menurut Kamus Dewan (2007), kola ialah sejenis tumbuhan atau pokok yang berasal dari Afrika Barat dan kacangnya digunakan sebagai perisa minuman. Kolaborasi pula ialah bersubahat dengan musuh atau orang jahat, subahat dalam perbuatan jenayah dan sebagainya. Perkataan kolaboratif memberikan makna yang sangat baik, iaitu kerjasama yang erat antara dua pihak, jabatan, negara ataupun lebih. Sebagai contoh hubungan kolaboratif antara dua negara atau dua jabatan untuk mencapai matlamat yang baik. Sementara perkataan kolabora tidak wujud sama sekali dalam Kamus Dewan edisi keempat.

Berdasarkan definisi yang diberikan oleh Kamus Dewan tersebut, maka amat jelas lagi bersuluh bagi kita bahawa kola merupakan kata nama yang tidak ada kaitan sama sekali dengan perkataan kolaboratif dan kolaborasi. Perkataan kola tersebut boleh berdiri sendiri dan membawa maksud yang tersendiri, iaitu sejenis tumbuhan.

Kata kolaboratif itu juga merupakan kata akar yang boleh berdiri sendiri dan merujuk tindakan, perbuatan positif yang menjurus kepada matlamat kebaikan antara dua pihak. Akan tetapi, dukacita dimaklumkan bahawa kolaborasi itu pula merujuk perbuatan atau hubungan negatif antara dua pihak. Oleh itu berhati-hatilah sewaktu menggunakan kedua-dua perkataan tersebut dalam pertuturan, pengucapan awam dan penulisan kerana membawa konotasi yang berbeza-beza.

Bilakah perkataan kolaboratif dan kolaborasi digunakan? Perkataan kolaboratif boleh digunakan dalam ayat sewaktu menulis untuk menggambarkan jalinan kerjasama yang baik antara dua pihak. Contoh ayat: Hasil kolaboratif yang jitu antara pemimpin negara Indonesia dan Malaysia dalam bidang politik memudahkan urusan kemasukan tenaga kerja Indonesia ke sini.

Perkataan kolaborasi pula boleh digunakan dalam ayat seperti contoh yang berikut:

Kolaborasi antara parti komunis dengan Jepun mencetuskan huru-hara di Tanah Melayu pada zaman pramerdeka.

Cuba lihat iklan yang dipaparkan dalam media cetak nasional seperti yang berikut.

Bagi yang arif, membaca iklan tersebut menimbulkan persoalan, iaitu adakah kolaborasi, iaitu hubungan negatif antara industri dengan akademia akan dapat memupuk modal insan Malaysia? Selanjutnya terdapat ayat dalam petikan iklan tersebut seperti yang berikut:

“Bagi menangani isu ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran buruh Malaysia, syarikat telah menerajui inisiatif bagi membantu membina kolaborasi erat antara industri dan akademi.”

Setelah kita dengan jelas memahami maksud perkataan kolaborasi, tentu kita akan menolak penggunaan ayat dalam iklan tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana walaupun ayat dalam iklan itu gramatis, dari perspektif semantik, ayat itu membawa maksud negatif dan bertentangan dengan makna yang hendak dikongsi dengan khalayak pembaca. Ayat ini juga mempamerkan ketidakfahaman penulis tentang maksud perkataan kolaborasi. Ayat tersebut membawa maksud seperti yang berikut: hubungan negatif yang erat antara akademi dengan industri dapat menangani isu ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran buruh Malaysia. Tentu sekali tidak tepat. Anda bersetuju dengan saya?

Berita dalam media cetak nasional ini menjadi tatapan dan telah dibaca oleh ribuan rakyat Malaysia saban hari. Alangkah sedihnya kita apabila mendapati penulis dalam media cetak dan penutur bahasa daripada pelbagai lapisan masyarakat tidak sensitif tentang kegramatisan bahasa Melayu dalam media cetak serta media massa dan sekali gus peranan mendidik melalui media cetak telah diabaikan.

Di sini suka saya menarik perhatian pembaca kepada satu lagi perkataan yang hampir bunyinya dengan tiga perkataan yang telah dibicarakan tersebut, iaitu kolaborator. Kamus Dewan (2007) turut mendefinisikan perkataan yang hampir sama dengan kolaboratif dan kolaborasi itu sebagai orang yang bersubahat dan bekerjasama dengan musuh atau orang jahat. Oleh itu saya rumuskan bahawa kolaborator dan kolaborasi ada perkaitan dari sudut makna, iaitu perkataan yang berkonotasi negatif, sementara kolaboratif ialah antonim membawa kesan positif dari segi semantik.

Harapan dan seruan saya kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai penutur jati bahasa Melayu ialah semoga kita segera bangkit memartabatkan bahasa ibunda kita, iaitu bahasa Melayu, agar kita menjadi bangsa yang disegani seantero dunia, berjati diri dan bahasa Melayu mampu berdiri megah bersama-sama bahasa lain di dunia. Kita jangan lupa akan sejarah yang terpateri bahawa bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca di dunia satu masa dahulu.

Media massa dan media cetak perlu lebih sensitif akan isu kegramatisan bahasa Melayu. Pihak media juga harus lebih sensitif dan memainkan peranan utama mendidik khalayak dalam memartabatkan bahasa Melayu. Kita rakyat Malaysia mesti bangga bertutur dalam bahasa Melayu kerana bahasa itu sendi bangsa, maju bangsa kerana bahasa, rosak bahasa runtuhlah bangsa.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013426
    Visit Today : 689
    This Month : 32771
    Total Visit : 1013426
    Hits Today : 2298
    Total Hits : 4134403
    Who's Online : 11
  • Kategori