OLEH NURUL JULIA ALANI HENRY

Tetamu kehormat dan pengurusan tertinggi universiti awam yang hadir menyaksikan Malam Kemuncak PABM 2019.

PERTANDINGAN Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) merupakan acara tahunan anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama universiti awam dan beberapa agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), dan Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM). Acara bertaraf antarabangsa ini juga merupakan inisiatif KPM bertujuan untuk mendaulatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu. Selain itu, penganjuran PABM juga bertujuan untuk melahirkan pemidato yang berupaya berbicara dalam bahasa Melayu bagi mengangkat martabat bahasa itu ke persada antarabangsa.

Dr. Maszlee Malik meletakkan keris di atas astaka kecil sebagai gimik perasmian Malam Kemuncak PABM 2019.

Pada tahun ini, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipilih sebagai tuan rumah dan menjadi tempat para peserta PABM berkampung selama seminggu bermula pada 24 hingga 28 September 2019. Sepanjang berkampung di UPSI, peserta PABM dibawa mengunjungi Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu, Gua Tempurung dan Muzium Pendidikan Nasional UPSI selain melakukan aktiviti lasak di UPSI Adventure Park, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Menurut penyelaras juri dari MADUM, Dr. Mazlena Mohd. Hussain, pertandingan yang bertujuan untuk memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia ini terbahagi kepada tiga kategori, iaitu Antarabangsa dengan 20 peserta, Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM) sebanyak 20 peserta, dan Alam Melayu sebanyak 10 peserta. Dr. Mazlena juga memaklumkan, pemidato hanya berucap selama lima minit untuk pusingan awal, enam minit untuk pusingan suku akhir dan tujuh minit untuk pusingan separuh dan akhir. Peringkat saringan PABM bermula pada 24 September 2019 di Dewan Muallim, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. Peserta luar negara yang mengambil bahagian ialah Itali, Mesir, Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat, Madagascar, Korea Selatan, Azerbaijan, Rusia, Romania, Jordan, Iraq, Palestin, Mali, India, Jepun, Jerman, Thailand, Kemboja, Uzbekistan, Guinea, Yaman, Albania, Maghribi, Brunei, Singapura, Bangladesh, Pakistan dan China.

Barisan sembilan pemidato yang berentap pada Malam Kemuncak PABM 2019.

Daripada sejumlah 50 peserta, sebanyak sembilan peserta, iaitu tiga peserta bagi setiap kategori terpilih untuk merebut gelaran juara dan menjulang Piala Perdana Menteri. Peserta yang berjaya mara ke peringkat akhir ialah Qurbanov Ozad Nurmuhammad Ugli (Uzbekistan), Wang Jiarui (China) dan Erii Koyama (Jepun) bagi kategori Antarabangsa; Iskandar Zulkarnain Ramli (Malaysia), Wan Sobeereen Waeyusoh (Thailand) dan Amirul Iqmal Razlan (Malaysia) bagi kategori Alam Melayu; Ibrahim Yousseff Abdelhamid Elbayoumy Aboukhateta (Mesir, Universiti Kebangsaan Malaysia), Moustapha Koutoub Sano (Guinean, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) dan Mad Rokiyah (Kemboja, Universiti Sains Islam Malaysia) bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia.

Dianggarkan lebih kurang 6000 penonton memenuhi Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI bagi menyaksikan Malam Kemuncak PABM 2019 yang berlangsung pada 28 September 2019, yang turut disiarkan secara langsung melalui TV1, Rangkaian Televisyen Malaysia (RTM). Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik hadir dan merasmikan Malam Kemuncak PABM, Piala Perdana Menteri 2019. Dalam ucapannya, Dr. Maszlee Malik berkata, bahasa Melayu perlu kembali dipercayai menjadi bahasa ilmu agar istilahnya kekal segar seiring dengan kemunculan istilah dalam pelbagai bidang, khususnya bidang digital dan teknologi komunikasi dan maklumat yang berkembang pesat pada hari ini. Beliau juga menyeru agar semua pihak seperti badan dan agensi dari dalam dan luar negara perlu terus memainkan peranan bagi membudayakan, memartabatkan, memasyarakatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu. Sebelum itu, dalam ucapan alu-aluannya selaku tuan rumah, Naib Canselor UPSI , Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, bahasa Melayu wajar mendapat pengiktirafan bukan sahaja di peringkat Asia Tenggara, tetapi juga di setiap pelosok dunia merangkumi Asia, Eropah, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Syarikat. Yang turut hadir pada malam Kemuncak PABM 2019 ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr. Abdul Aziz Bari, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Gazali Abas dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir.

Johan bagi kategori Antarabangsa (kiri), Pelajar Antarabangsa di Malaysia (tengah) dan Alam Melayu (kanan).

Johan kategori Antarabangsa menjadi milik peserta warganegara Uzbekistan dari Universiti Bahasa Antarabangsa Uzbekistan yang membawakan pidato bertajuk “Perpaduan Asas Kejayaan”, yang menewaskan Erii Koyama selaku naib johan dari Universiti Pengajian Luar Negara Tokyo dan Wang Jiarui dari Universiti Pengajian Luar Negara Beijing di tempat ketiga. Moustapha Koutoub Sano melalui pidatonya yang bertajuk “Kepentingan Membina Perpaduan” muncul johan bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia yang menewaskan Ibrahim Yousseff Abdelhamid Elbayoumy Aboukhateta selaku naib johan dan Mad Rokiyah di tempat ketiga. Sementara itu, kategori yang dilihat paling sengit, iaitu kategori Alam Melayu menyaksikan kemenangan Amirul Iqmal Rozlan dari Malaysia yang menuntut di UIAM dengan tajuk pidatonya “Kita dan Budaya-Budaya Bangsa”. Seorang lagi peserta Malaysia, iaitu Iskandar Zulkarnain Ramli dari Universiti Malaysia Sabah meraih naib johan dan Wan Sobeereen Waeyusoh dari Kolej Politeknik Narathiwat, Thailand menduduki tempat ketiga. Johan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai berjumlah RM10 000.

Persembahan kebudayaan yang menggabungkan rentak tarian tradisional kaum dan etnik yang terdapat di Malaysia menjadi pembuka tirai Malam Kemuncak PABM 2019.

Selain mendengar hujah pemidato yang kebanyakannya mencuit hati, para penonton juga dihiburkan dengan persembahan kebudayaan yang menggabungkan tarian tradisional semua kaum dan etnik di Malaysia. Malam Kemuncak PABM diserikan dengan penampilan pasangan pengacara muda dari RTM yang berbahasa Melayu dengan baik, iaitu Andi Reza dan Margaret Gambang manakala acara pidato dikemudikan oleh bekas pengacara radio RTM, Haji Chuari Selamat yang terkenal dengan kepetahannya berpantun.

Sememangnya PABM 2019 wajar dijadikan gelanggang wacana ilmiah bagi menyatukan generasi muda dalam kalangan peserta pelbagai latar belakang negara, budaya dan agama. Usaha serta keupayaan peserta menguasai bahasa Melayu dengan baik harus dipuji. Mereka bukan sahaja dinilai dari segi kemahiran berbahasa Melayu tetapi juga melalui penyaluran idea dan pemikiran kritis mengikut tema yang ditetapkan oleh penganjur.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    979727
    Visit Today : 961
    This Month : 27198
    Total Visit : 979727
    Hits Today : 4377
    Total Hits : 3983520
    Who's Online : 4
  • Kategori