Judul: Kumpulan Cerpen Pilihan Mai Jia

Penulis: Mai Jia

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM28

Pengulas: Abdullah Hussaini bin Mohd Ghazali

Penterjemahan karya-karya sastera kontemporari China ke dalam bahasa Melayu banyak yang tidak diketahui umum. Mutakhir ini melalui kerjasama Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebilangan karya dari tanah besar itu berjaya diterjemahkan. Antologi penulis China-Malaysia sudah mula dijual dan penyertaan Malaysia di Pesta Buku Beijing 2019 ialah manifestasi keseriusan kedua belah pihak untuk menyebarluaskan karya sastera masing-masing. Di celah usahasama ini juga terbitlah Kumpulan Cerpen Pilihan Mai Jia. Setahu saya inilah buku Mai Jia pertama yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu  dan khabarnya lagi akan ada sebuah novelnya yang akan turut diterjemah kelak.

Sedikit latar belakang Mai Jia, beliau ialah lulusan Akademi Kesenian Tentera Pembebasan Rakyat pada tahun 1983. Selepas bersara daripada bahagian risikan tentera, beliau menjadi penulis sepenuh masa. Kebanyakan novelnya bergenre thriller, penyiasatan, metafiksyen, perisikan dan sejarah. Banyak karya-karyanya diadaptasi menjadi filem atau siri televisyen dengan skrip yang ditulis olehnya sendiri, menjadikannya seorang penulis yang menerima bayaran tertinggi di China. Novelnya ‘Decoded’ memenangi Hadiah Sastera Mao Dun – hadiah sastera paling berprestij di China,  yang diadakan empat tahun sekali. Kumpulan cerpen ini pula beberapa kali mengungguli carta buku terlaris di sana. Sesetengah pengkritik menyamakannya dengan John Le Carre. Pandangan sebegini bukanlah pelik memandangkan Mai Jia, seperti Le Carre pernah bekerja di agensi risikan. Penulis Tash Aw pula mengatakan gaya kepengarangan Mai Jia adalah campuran Kafka dan Agatha Christie. Begitulah sedikit sebanyak tentang Mai Jia atau nama sebenarnya, Jiang Benhu.

Dengan jumlah halaman 355 muka surat, buku ini menyajikan sembilan buah cerpen. Cerpen-cerpennya panjang malah ada yang seakan novelet kerana mengandungi bab-bab pendek. Kita boleh menemukan kisah tentang peperangan, kehilangan, kematian, eksistensialisme dan kemanusiaan yang bertaut di antara cerpen-cerpen ini. Mai Jia mempersilakan kita masuk ke rumah ceritanya dengan hamparan kisah peperangan. China, sebagai sebuah negara yang sarat sejarah dan melewati deretan fasa peperangan menyimpan banyak cerita tentangnya dan Mai Jia, sebagai bekas tentera, pastinya seorang yang tepat untuk menceritakan tentangnya seperti Hemingway yang cemerlang merakam kesan-kesan perang di dalam karyanya. Cerpen berjudul Kekalahan Kedua mengisahkan seorang ketua platun yang semakin kekurangan anggotanya tetapi tetap berusaha dengan susah payah untuk sampai ke puncak bukit, tempat pihak musuh berkubu. Gangguan cuaca, simpang-siur peluru dan luka kesan tembakan tidak merebahkan semangatnya. Lama-kelamaan dia sampai di puncak tetapi pengakhirannya kita tidak pasti, adakah dia beroleh kemenangan, diseret ke ambang kematian atau larut dalam angan semata? Cerpen ini menyingkap psikologi seorang ketua yang setia dengan perjuangan dan iltizam tingginya untuk beroleh kemenangan dalam peperangan.

Namun, perang bukan sahaja tentang ledakan peluru atau luka tembakan, tetapi perang juga adalah tentang strategi, taktik dan muslihat. Perang menghasilkan genius dan strategis yang teliti. Kita boleh temui kisah-kisah mereka di dalam Hikayat Tiga Negeri yang terkenal itu, yang mendedahkan bagaimana kemenangan dapat dicapai. Menurut Sun Tzu, pengetahuan tentang kedudukan dan situasi musuh hanya boleh didapati daripada orang lain, iaitu pengintip. Mai Jia yang berpengalaman di bahagian risikan menawarkan kepada kita sebuah cerita tragedi yang melibatkan muslihat dan kemusnahan kepercayaan. Dalam cerpen Cinta dan Kesengsaraan, kita diheret ke suatu konflik perasaan seorang umpan bagi suatu kenyataan sukar, iaitu menjadi pengintip. Qun, seorang gadis comel yang kebetulan berada hampir dengan kubu seorang ketua platun pada mulanya hanya menjadi teman baik. Daripada suatu teguran, ia bertukar menjadi persahabatan sebelum dihidu oleh abang Qun yang bermusuhan dengan ketua platun. Dengan meyakinkan adiknya bahawa ketua platun, di sebalik senyuman mesra dan sikap baik hatinya, dia ialah seorang yang kejam dan ganas. Qun percaya dan mula mendengar nasihat abangnya supaya mendapatkan kepercayaan ketua platun. Perhubungan yang memakan masa itu telah menukar sikap ketua platun menjadi kurang berdisiplin dan mencipta suatu ruang di dalam hatinya untuk Qun. Kata Sun Tzu lagi jangan pernah berterus-terang dengan pengintip dan sentiasalah berlapis. Maka apabila di penghujung cerita kita akan berasa kepedihan seperti Qun yang menimbang-nimbang perasaan, kesetiaan dan akhirnya seperti resmi pengintip yang terpedaya, dia mengusaikan tugas daripada abangnya.

Demikian, perang memberikan kita kisah-kisah yang menyayat hati. Tetapi setelah peperangan berakhir dan keamanan pulih, kisah dan tragedi tetap berlaku cuma dalam bentuk yang lain. Ia tidak menumpahkan darah atau meruntuhkan rumah tetapi di hati bagai ada luka halimunan atau di fikiran bagai ada tumor yang memberat. Bak kata pepatah, perang menghasilkan wira dan keamanan menghasilkan orang lemah. Lemah di sini bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga sikap alpa kerana merasakan semuanya baik-baik saja. Dalam cerpen Lu Xiaoyi, watak utamanya hidup dalam keluarga senang dan bahagia. Dia melakukan hal-hal yang mengasyikkan dan tidak berat. Sehinggalah pada suatu hari dia membawa keluar anaknya ke tempat yang sesak dan meninggalkan sebentar anaknya di suatu sudut di sebuah stesen kereta api yang sibuk untuk membeli tiket. Apabila dia kembali semula dia mendapati anaknya itu sudah hilang. Bertahun-tahun dia cuba mencari anaknya itu, menderita kehilangan dan hilang kewarasan. Tetapi pada akhirnya menurut narator pada suatu hari dia bertemu Lu Xiaoyi di dalam lif dan dia mengatakan “Kehidupan ini sama seperti pengalaman sewaktu menaiki lif. Kamu tidak tahu apa yang sedang berlaku semasa lif sedang naik dan turun.”

Dari segi gaya penulisannya saya dapati cerpen-cerpen yang ditulis sekitar tahun 90-an terasa melelahkan apabila dibaca. Pengulangan yang banyak dalam satu cerpen terasa memenatkan. Tetapi untuk cerpen-cerpenya yang ditulis bermula tahun 2000 ke atas,saya dapati bahasanya lebih kemas dan padat. Alur ceritanya terasa mengalir tanpa sekatan. Begitulah sedikit ulasan untuk tiga buah cerpen Mai Jia. Lain-lain cerpen juga masih menarik dan memberikan pengakhiran yang boleh membuat kita tersenyum, tergamam atau mengerutkan dahi.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1294424
    Visit Today : 848
    This Month : 2051
    Total Visit : 1294424
    Hits Today : 3659
    Total Hits : 5971444
    Who's Online : 10
  • Kategori