OLEH NURUL JULIA ALANI HENRY

PENGGUNA ialah orang yang menggunakan barang, perkhidmatan dan alam sekitar untuk memenuhi keperluan dan kehendak dalam kehidupan. Pengguna juga merupakan individu yang berperanan penting dalam mengawal proses kenaikan atau penurunan harga barangan di pasaran. Oleh hal yang demikian, pengguna sepatutnya sedar dan mampu melontarkan suara dan pendapat untuk mendapatkan hak keadilan sebagai seorang pengguna. Kenyataan tersebut merupakan inti pati utama yang dinyatakan oleh ahli panel dalam Forum Canai Bahasa dan Sastera yang bertajuk “Peranan Pengguna dalam Pembangunan Ekonomi Negara”.

Forum Canai Bahasa dan Sastera yang disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini berlangsung pada 20 Ogos 2019, bertempat di Anjung DBP. Forum yang mengetengahkan tema peranan dan hak pengguna ini merupakan salah satu isu ekonomi yang disiarkan dalam majalah Dewan Ekonomi Bil. 9 2019 terbitan DBP. Dua orang ahli panel diundang bagi mengulas isu berkenaan, iaitu Profesor Emeritus Dr. Zakariah Abdul Rashid dan Profesor Madya Dr. Madeline Berma. Zakariah Abdul Rashid merupakan pakar ekonomi yang bertugas sebagai Pengarah Eksekutif di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) manakala Madeline Berma ialah pensyarah ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang turut memegang jawatan sebagai Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, UKM. Puan Junaidah Ahmad Ghazali, editor Dewan Ekonomi pula bertindak selaku moderator dalam forum ini.

Profesor Emeritus Dr. Zakariah Abdul Rashid selaku pakar ekonomi negara yang banyak menyumbang idea berkaitan dasar ekonomi negara.

Sebagai pakar ekonomi, Zakariah Abdul Rashid menyatakan bahawa kos sara hidup di Malaysia sebenar tidak tinggi. Akan tetapi, disebabkan kadar gaji yang relatif rendah menyebabkan rakyat berasa bahawa kos hidup pada masa sekarang sangat tinggi, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar. Oleh itu, dalam hal ini peranan pengguna amat diperlukan bagi mengimbangi kos sara hidup dan kadar gaji.

Selain itu, beliau turut menyatakan pentingnya untuk rakyat celik ekonomi. Rakyat yang celik ekonomi mampu mengenal pasti kos dan faedah serta membuat keputusan berdasarkan sumber yang terhad. Rakyat yang celik ekonomi juga akan menyedari bagaimana dasar ekonomi yang dirangka oleh ahli politik akan memberikan kesan kepada kehidupan kita. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap dasar ekonomi yang dibuat berkait rapat dengan kehidupan rakyat. Oleh sebab itu, rakyat perlu menjadi sebahagian daripada dasar ini dengan menilai dan memahami kesan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Zakariah turut menjelaskan peranan pengguna semasa negara mengalami kemelesetan ekonomi. Apabila berlaku kemelesetan ekonomi, pengguna dinasihatkan supaya berjimat cermat dan kurang berbelanja. Akan tetapi, ada ketikanya pengguna disarankan supaya berbelanja untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Apa yang pasti, hal sedemikian bergantung pada dasar ekonomi yang diketengahkan oleh pemerintah negara pada masa berlakunya kemelesetan ekonomi.

Hal yang turut disentuh oleh Zakariah ialah gelagat atau tingkah laku pengguna. Berkaitan hal ini, beliau menyimpulkan budaya pengguna di Malaysia adalah mudah membeli, terutama barangan yang berjenama antarabangsa atau perkhidmatan milik luar negara. Contohnya, pengguna akan membeli perabot dari syarikat milik antarabangsa berbanding dengan perabot yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan. Selain itu, beliau turut mengulas ukuran atau petunjuk bagi menentukan sama ada sesebuah negara itu maju atau pun tidak. Bagi beliau, negara yang berpendapatan tinggi tidak semestinya maju dan begitulah sebaliknya, kerana ukuran untuk menentukan kemajuan sesebuah negara itu adalah relatif.

Dr. Madeline menggesa masyarakat agar menjadi pengguna yang peka tentang hak dan kepentingan mereka.

Hal berkaitan pengguna dan jenama barangan juga turut diperkatakan oleh Madeline. Menurut beliau, pengguna seharusnya membeli mengikut kemampuan dan bukannya mengikut kehendak. Dalam hal ini, Madeline mendedahkan konsumerisme yang sepatutnya berperanan melindungi hal dan kepentingan pengguna telah “bermain dengan perasaan” pengguna. Maknanya, pengguna dikhayalkan dengan jenama barangan yang menyebabkan harga barangan berjenama itu mahal. Madeline menegaskan, sebagai pengguna kita seharusnya berhemah dalam berbelanja dan tahu apa peranan kita sebagai pengguna. Madeline turut mengajak pengguna di Malaysia supaya menjadi seperti pengguna di luar negara yang begitu berkuasa. Beliau mengingatkan pengguna agar tidak memegang prinsip “tidak apa” atau “biarlah begitu” kerana prinsip sedemikian sebenarnya menindas pengguna sendiri tanpa mereka sedar.

Konsep “halalan toyibban” turut disebut dalam forum ini kerana konsep tersebut amat ditekankan dalam kalangan pengguna Islam. “Halalan toyyiban” bermaksud makanan yang dibenarkan atau diberikan kebenaran untuk dimakan, bergantung kepada undang-undang syariah selagi selamat dan tidak memudaratkan. Kedua-dua ahli panel bersetuju bahawa konsep ini perlu dipatuhi oleh umat Islam secara menyeluruh sama ada mereka berperanan sebagai pengguna atau sebagai penjual barangan dan penyedia perkhidmatan.

Forum Canai Bahasa dan Sastera juga boleh disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi DBP.

Sebagai rumusan terhadap keseluruhan pandangan dan pendapat ahli panel, moderator menyatakan bahawa perkara yang paling penting ialah menjadi pengguna yang tahu hak dan kuasa mereka dalam hal kepenggunaan. Jadilah pengguna yang bijak serta bertindak mengikut saluran yang betul jika mengetahui ada unsur penipuan dalam hal jual beli dan penyediaan perkhidmatan. Selain itu, kita sebagai pengguna sepatutnya membudayakan hidup bersederhana dalam membeli barangan seperti perabot, kenderaan bermotor dan sebagainya. Tambahan pula, negara kita juga telah berjaya mengeluarkan barangan seperti perabot dan kenderaan yang diterima pakai oleh masyarakat negara maju.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    979697
    Visit Today : 931
    This Month : 27168
    Total Visit : 979697
    Hits Today : 4078
    Total Hits : 3983221
    Who's Online : 3
  • Kategori