OLEH ROSLAN ABDUL HAMID

APABILA kita amati ejaan jawi pada kata bantuan dan usahawan iaitu بنتوان dan اوسهاون, terdapat perbezaan pada ejaan suku kata akhir. Kata “bantuan” dieja dengan huruf ان pada akhir kata. Kata “usahawan” pula dieja dengan huruf ون pada akhir kata. Apakah yang menyebabkan timbul perbezaan ini?

Kata bantuan ialah kata dasar berimbuhan an. Kata dasarnya ialah bantu dan imbuhannya ialah an. Kata bantu diakhiri bunyi vokal [u] yang dilambangkan dengan huruf wau (و ) iaitu بنتو. Maka padanan imbuhan an pada kata yang berakhir dengan vokal [u] ialah ان .Oleh sebab itulah, kata bantuan dieja dengan diakhiri ان , iaitu بنتوان.

Kata dasar lain yang berakhir dengan vokal [u] padanan و ialah:

tumpuan تومڤو + ان تومڤوان
seruan سرو + ان سروان
tiruan تيرو + ان تيروان
rindu – rinduan ريندو- ريندو +ان ريندو – ريندوان
gurau ݢوراو + ان ݢوراوان
alu – aluan الو – الو + ان الو- الوان

Kata usahawan juga merupakan kata dasar berimbuhan akhiran. Kata dasarnya ialah usaha manakala imbuhannya pula ialah wan yang memberikan makna ahli atau memiliki. Gabungan ejaan kata dasar dan imbuhan dalam tulisan jawi ialah اوسها + ون menjadi اوسهاون . Huruf (و) wau pada suku kata terakhir bukanlah vokal [u], sebaliknya huruf konsonan [w]. Maka imbuhan wan dieja mengikut ejaan lazim yang menggugurkan vokal [a].

Kata dasar lain yang boleh diletakkan imbuhan wan pada akhir kata ialah:

hartawan هرتا + ون هرتاون
jutawan جوتا + ون جوتاون
olahragawan اولهراݢا + ون اولهراݢاون
negarawan نݢارا + ون نݢاراون
jelitawan جليتا + ون جليتاون
karyawan كاريا + ون كارياون

Kesimpulannya, kita mesti mengenal pasti kata dasar dan jenis imbuhan akhiran yang bergabung dengan kata dasar tersebut. Jika imbuhan akhiran an digunakan, kenal pasti dahulu vokal atau konsonan pada akhir kata dasar tersebut. Padanan imbuhan akhiran an akan berbeza mengikut huruf akhir pada kata dasar. Contohnya:

KATA DASAR DAN IMBUHAN HURUF AKHIR PADANAN IMBUHAN EJAAN JAWI
buruan Vokal [u] / و ان بوروان
belaan Vokal [a] / ا ٴن بلاٴن
tepian Vokal [i] / ي ن تڤين
makanan konsonan ن ماكنن

Namun, apabila imbuhan akhiran wan digabungkan pada kata dasar, ejaan jawinya cuma mengikut ejaan lazim dengan menggugurkan vokal [a].

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    979697
    Visit Today : 931
    This Month : 27168
    Total Visit : 979697
    Hits Today : 4071
    Total Hits : 3983214
    Who's Online : 4
  • Kategori