OLEH ATIQAH ABD RAHIM
“Jika kamu tidak suka membaca bermakna kamu masih belum menjumpai buku yang sesuai.” – J. K. Rowling
AMALAN membaca buku bukanlah budaya asing bagi rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan anak muda. Pelbagai jenis buku ditawarkan di kedai-kedai buku berdekatan daripada buku berbentuk komik dan novel remaja sehinggalah buku ilmiah yang selalu ditelaah untuk menambah ilmu pengetahuan. Buku-buku ini juga mudah didapati di platform laman sesawang seperti Amazon, Google Play dan e-sentral. Tidak kurang penerbit-penerbit buku menawarkan pembelian dalam talian untuk memudahkan pembaca mendapatkan buku-buku terbitan mereka termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka. Jika tidak berkemampuan untuk membeli buku, perpustakaan negeri dan desa juga perpustakaan di institusi pendidikan masing-masing sentiasa menanti kedatangan pengunjungnya. Maka, mengambil kata-kata penulis yang amat terkenal dengan siri Harry Potter di atas, penyebab utama seseorang itu tidak suka membaca kerana masih belum menjumpai buku yang sesuai dengan jiwanya.
Membaca buku merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan dan boleh merehatkan minda. Membaca akan menjadikan kita lebih berpengetahuan dan dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang bermanfaat. Membaca buku tidak seharusnya dibataskan dengan pembacaan buku yang tebal, terlalu ‘bersifat ilmiah’ dan mengambil tempoh yang lama untuk dihabiskan. Hal ini bukanlah bermaksud buku tebal dan berbentuk akademik tidak bagus, cuma bagi sesetengah orang, pembacaan begini akan menjadi bebanan lalu mengambil keputusan untuk menangguh atau melenggahkan masa daripada melakukan aktiviti pembacaan.
Setiap orang mempunyai kecenderungan pembacaan tersendiri. Kebanyakan anak muda lebih menggemari bacaan yang nipis dan ringan seperti komik dan novel. Pembacaan begini menawarkan daya imaginasi yang tinggi dan kekreatifan kepada anak muda. Kepelbagaian sudut pandangan dapat mendedahkan kepada mereka untuk menerima perbezaan budaya dan percaya bahawa tiada apa yang mustahil untuk dikecapi. Sumber inspirasi daripada pembacaan juga akan meningkatkan keyakinan anak muda dalam menghadapi cabaran kehidupan. Oleh itu, masyarakat perlulah meraikan kepelbagaian genre-genre buku yang ada di pasaran dalam usaha untuk menjadikan amalan membaca sebagai aktiviti utama dalam kalangan anak muda.