Oleh NURUL JULIA ALANI HENRY

Sekretariat Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 yang berada di Sharjah, Dubai turut memeriahkan “Jom Baca Bersama untuk 10 Minit” yang berlangsung serentak di seluruh negara.

Sekretariat Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 yang berada di Sharjah, Dubai turut memeriahkan “Jom Baca Bersama untuk 10 Minit” yang berlangsung serentak di seluruh negara.

BERSEMPENA dengan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada tarikh 23 April setiap tahun, Perpustakaan Negara Malaysia menerajui program “Jom Baca Bersama untuk 10 Minit Peringkat Kebangsaan 2019”. Program ini merupakan satu daripada kegiatan utama gerakan Dekad Membaca Kebangsaan 2020-2030 dengan slogan #MalaysiaMembaca. Selain itu, program ini juga menyokong pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2020. Yang paling utama, program ini bertujuan untuk mendorong rakyat Malaysia untuk membaca, dimulai dengan langkah awal selama 10 minit sebagai tanda komitmen semua pihak terhadap kepentingan membaca dalam kehidupan. Program “Jom Baca Bersama untuk 10 Minit Peringkat Kebangsaan 2019” berlangsung di Dewan Perdana, Kementerian Perdagangan dan Industri, Kuala Lumpur.

Nor Azleenda Abdul Hadi (kiri) dan Nurhayatty Mahmoda menjadi perantara bagi siaran langsung FB DBP sempena program “Jom Baca Bersama untuk 10 Minit” peringkat DBP.

Nor Azleenda Abdul Hadi (kiri) dan Nurhayatty Mahmoda menjadi perantara bagi siaran langsung FB DBP sempena program “Jom Baca Bersama untuk 10 Minit” peringkat DBP.

Program “Jom Baca Bersama untuk 10 Minit” berlangsung secara serentak di seluruh negara bertujuan untuk menerapkan nilai dan budaya cinta akan buku dan cinta akan ilmu. Pada tarikh 23 April 2019, dalam tempoh antara pukul 11.00 pagi hingga 11.10 pagi, semua individu, pejabat, persatuan dan komuniti digalakkan untuk berhenti sebentar daripada melakukan apa-apa juga pekerjaan atau aktiviti untuk membaca apa-apa juga bahan bacaan selama 10 minit. Pihak yang terlibat juga dialu-alukan untuk menghantar gambar atau video masing-masing dalam media sosial dengan slogan #MalaysiaMembaca.

Gambar kreatif yang dihasilkan oleh staf Bahagian Majalah bagi menyemarakkan program “Jom Baca Bersama untuk 10 Minit”.

Gambar kreatif yang dihasilkan oleh staf Bahagian Majalah bagi menyemarakkan program “Jom Baca Bersama untuk 10 Minit”.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak ketinggalan menyemarakkan program “Jom Baca Bersama untuk 10 Minit” dengan mengadakan siaran secara langsung melalui Facebook rasmi DBP (FB Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia). Melalui siaran langsung tersebut, Ibu Pejabat DBP, iaitu di Menara DBP Kuala Lumpur berinteraksi melalui penstriman langsung dengan DBP Cawangan Sabah dan Sarawak serta DBP Wilayah Selatan di Johor Bahru, DBP Wilayah Utara di Pulau Pinang dan DBP Wilayah Timur di Kota Bharu. Walau pun berada di lokasi yang berbeza dan jauh dari Ibu Pejabat DBP, semua staf DBP sama ada di Kuala Lumpur atau di pejabat cawangan atau wilayah, masing-masing menunjukkan usaha yang positif dan komitmen yang baik terhadap program “Jom Baca Bersama untuk 10 Minit”. Program yang memberikan kesan positif terhadap amalan membaca ini bersiaran secara langsung melalui FB DBP bertempat di Anjung DBP yang dihoskan oleh Nor Azleenda Abdul Hadi dan Nurhayatty Mahmoda.

Persembahan lagu “Si Penghuni Sepi” oleh Mohd Rosdi dalam siaran langsung FB DBP.

Persembahan lagu “Si Penghuni Sepi” oleh Mohd Rosdi dalam siaran langsung FB DBP.

Siaran langsung FB DBP dimulakan dengan lagu “Dewan Bahasa” dan pemakluman ringkas tentang Dekad Membaca Kebangsaan, Dekad Bahasa Kebangsaan dan KL Baca 2020. Yang menariknya, staf DBP sama ada secara berkumpulan atau individu boleh membuat hantaran gambar dan video yang kreatif dalam ruangan komen FB DBP hingga siaran langsung itu tamat pada pukul 11.30 pagi. Selain kreatif, gambar dan video yang dihantar dalam FB DBP itu harus disertakan dengan slogan #DBPMembaca, #MalaysiaMembaca, #JomBacaBersama10Minit dan tanda pagar pengenalan bahagian masing-masing. Gambar dan video paling kreatif akan menerima hadiah daripada pihak urus setia program “Jom Baca Bersama untuk 10 Minit” peringkat DBP.  Sebelum siaran langsung FB DBP tamat, dipaparkan tayangan montaj dan respons hantaran terhadap status FB DBP yang kemudiannya diakhiri dengan ulasan ringkas tentang keterlibatan dan sambutan staf DBP terhadap program ini.

Program “Jom Baca Bersama untuk 10 Minit” yang mula diadakan pada tahun 2014 bermatlamat agar masyarakat Malaysia sebati dengan budaya membaca, seterusnya menjadikan tabiat suka membaca sebagai satu amalan hidup. Berdasarkan laporan World’s Most Literate Nation, Malaysia berada pada kedudukan ke-53 dalam senarai negara membaca. Maka itu, seharusnya usaha ini diangkat sebagai agenda penting dalam pembangunan negara dan perlu dijadikan fokus utama dalam usaha mentransformasikan pemikiran rakyat supaya cinta akan buku agar dapat melahirkan masyarakat yang berbudaya membaca dan berilmu.

 

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1260361
    Visit Today : 290
    This Month : 16498
    Total Visit : 1260361
    Hits Today : 1581
    Total Hits : 5708876
    Who's Online : 18
  • Kategori