Oleh NORAZLINDA MISRAN
DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Pusat Belia Antarabangsa dan Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengadakan forum Canai Bahasa dan Sastera 2019 dengan tajuk “Wanita Dalam Revolusi Industri 4.0” pada 27 Februari 2019 di ruang legar Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur.
Ahli panel forum terdiri daripada Dr. Robiah K. Hamzah dan Muhammad Zamir Mohyedin serta Nazira Roslee sebagai moderator. Forum ini membincangkan perkembangan, usaha serta cabaran wanita masa kini berhadapan dengan revolusi industri 4.0.
Revolusi Perindustrian Keempat yang membabitkan teknologi automasi dan penemuan pelbagai teknologi baharu akan merancakkan kemajuan landskap dunia moden. Industri 4.0 ini memperlihatkan peranan wanita semakin penting serta tidak ketinggalan dalam konteks arus pembangunan negara. Namun begitu, Forum Ekonomi Dunia menganggarkan 5.1 juta orang akan kehilangan pekerjaan antara tahun 2015 hingga 2020. 2.45 juta daripadanya ditanggung oleh wanita.
Bagi menghadapi cabaran ini, sudah tentu memberikan kesan kepada pasaran buruh. Pekerjaan rutin dalam pentadbiran dan industri pembuatan serta perkhidmatan terutamanya kerja yang boleh didigitalkan akan melanda. Semestinya sebahagian besar pekerjaan baharu yang diwujudkan akan berada dalam bidang teknikal dan memerlukan kemahiran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Pertumbuhan pekerjaan yang tinggi dalam bidang STEM menyaksikan kadar penyertaan wanita paling rendah dan kesulitan dalam merekrut wanita.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Dato’ Hajah Padilah Haji Ali, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, Nurul Huda Mohamed Afandi, Naib Presiden MBM dan Sharifah Norizah Syed Ahamad Kabaer, Pengarah Program Festival Wanita 2019.