Oleh KHAIROL ANUAR HARITH FADZILLAH

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menggariskan empat peningkatan dalam meningkatkan kewibaan bidang pengajian tinggi di Universiti Awam (UA) dan Pengajian Tinggi di Malaysia.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

MENTERI Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik telah menggariskan empat peningkatan kualiti untuk meningkatkan kewibawaan dan martabat bidang pengajian tinggi semua universiti di Malaysia. Secara keseluruhannya, terdapat empat langkah peningkatan digariskan oleh Dr. Maszlee, iaitu peningkatan kualiti, autonomi, kolaborasi dan pengantarabangsaan.

“Langkah peningkatan kualiti dalam bidang pengajian tinggi di Malaysia berdasarkan tiga aspek yang berikut, iaitu kecemerlangan, kerelevanan dan keberkesanan autonomi yang terbahagi kepada kluster yang mewujudkan sinergi,” demikian ucapan Dr. Maszlee di Majlis Amanat Menteri Pendidikan Malaysia Tahun 2019 pada 14 Januari 2019, di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. Majlis berkenaan telah dihadiri oleh lebih 4,000 orang warga Kementerian Pendidikan Malaysia.

Antara tetamu kehormat Majlis Amanat Menteri Pendidikan Malaysia.

Antara tetamu kehormat Majlis Amanat Menteri Pendidikan Malaysia.

Katanya lagi, langkah peningkatan kualiti berdasarkan kluster yang mewujudkan sinergi dapat menyemarakkan lagi dunia kecendekiawanan melalui hubungan mentormentee antara profesor senior dengan pensyarah baharu. Oleh hal yang demikian, hubungan mentormentee akan mewujudkan lebih banyak konsep “school of thoughts” dalam bidang pengajian masing-masing.

Langkah keempat berkonsepkan pengantarabangsaan perlu digerakkan dengan lebih drastik dan menyeluruh. Hal ini demikian kerana para sarjana menjadi rujukan antarabangsa dalam bidang pengajian dan penyelidikan masing-masing dan bukan lagi menjadi jaguh kampung sahaja. Warga kerja akademik dan pentadbiran Universiti Sains Malaysia (USM), termasuk Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyambut baik langkah peningkatan kemajuan dan kewibawaan dunia pengajian tinggi di Malaysia yang digariskan oleh Dr. Maszlee.

“Perkembangan dan peningkatan dalam kerjasama melibatkan pensyarah senior dalam memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada pensyarah muda adalah sesuatu yang bermanfaat kepada kedua-dua pihak. Hal ini terbukti berdasarkan penubuhan program Flexible Scheme for Retired Scholars di USM. Program ini memanfatkan kepakaran mantan pensyarah pelbagai bidang yang diambil berkhidmat semula bagi membantu untuk meningkatkan mutu pengajian dan penyelidikan USM,” demikian penerangan oleh Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman ketika menjawab pertanyaan pihak media di majlis berkenaan.

Dr. Maszlee melancarkan buku terbitan UPM di Majlis-Amanat Menteri Pendidikan.

Dr. Maszlee melancarkan buku terbitan UPM di Majlis Amanat Menteri Pendidikan.

“Inisiatif untuk memperkasakan universiti awam melalui kuasa autonomi sememangnya wajar dilaksanakan bagi meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan di pelbagai peringkat pengajian tinggi. Inisiatif ini juga dapat memupuk peningkatan mutu kerja yang tinggi, selain mempercepat proses pengurusan universiti awam yang selama ini menuntut pelaksanaan autonomi, khususnya di USM,” kata Pendaftar USM, Dr. Musa Ali pula ketika ditanya oleh pihak media di majlis yang sama.

Antara tetamu kehormat yang menghadiri Majlis Amanat Menteri Pendidikan Malaysia Tahun 2019 ialah delegasi akademik USM, iaitu Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Pengarah USM Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Abdul Halim dan Ketua Pustakawan USM Pulau Pinang, Puan Rugayah Ali.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049051
    Visit Today : 1369
    This Month : 31650
    Total Visit : 1049051
    Hits Today : 4900
    Total Hits : 4303946
    Who's Online : 8
  • Kategori