Oleh SITI IRNI YUSLINDA MOSMAN

TIRAI 2019 dibuka dengan penganjuran program Penulisan Kreatif Novel, hasil kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Penerbitan Karyaseni Sdn. Bhd. pada 12 Januari 2019 di Dewan Bankuet, DBP. Seramai 39 orang peserta pelbagai latar belakang dan peringkat umur telah menyertai program ini. Antara penulis yang hadir ialah Lily Haslina Nasir, Hana Ilhami, Hessa Widad, Liz Haliza, Rissa Ahdiya, Rose Harissa, Ayu Ariani, Cik Q, Rosa Nur, Ummie Nadzimah dan Nojie.

Antara peserta yang mengikuti program tersebut.

Puan Salina Ibrahim, pengarang dan Munsyi Dewan (Sastera), telah dipertanggungjawabkan untuk menggalas tugas sebagai pembimbing program. Pengalaman dan ilmu beliau yang banyak dalam penyuntingan dan penilaian manuskrip telah digunakan untuk membimbing peserta, terutamanya penulis baharu bagi mendapatkan idea serta menguasai format penulisan karya kreatif yang baik.

Puan Salina Ibrahim, pengarang dan Munsyi Dewan (Sastera), ketika menyampaikan ceramah berkaitan penulisan.

Menurut Salina, selain jalan cerita yang menarik, penguasaan tatabahasa Melayu yang baik dan betul perlu dititikberatkan oleh penulis. Pembimbing turut menekankan aspek keaslian cerita dan pemilihan kata serta pembinaan ayat, nada dan tempo yang sesuai dalam karya. Peserta juga perlu menitikberatkan kesahihan fakta cerita dan menyelitkan unsur nilai murni agar dapat memberikan teladan yang baik kepada pembaca. Katanya lagi, pemilihan bahan bacaan yang baik dan bermutu tinggi membantu seseorang menghasilkan karya yang bernilai tinggi.

Encik Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran DBP, ketika menyampaikan ucapan penutup.

Dalam majlis penutupan program, Encik Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran DBP, menyatakan bahawa DBP sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada penulis novel lama dan baharu untuk menghantar manuskrip untuk diterbitkan. Katanya, penganjuran program ini merupakan inisiatif DBP untuk mendekati penulis novel generasi baharu bagi menyemarakkan penghasilan karya kreatif yang baik dan bermutu sebagai bahan bacaan kepada semua lapisan masyarakat.

Secara keseluruhannya, program ini mencapai objektif penganjurannya untuk memberikan pendedahan, pengetahuan dan kemahiran kepada peserta bagi mencipta karya kreatif yang berkualiti dan berimpak tinggi terhadap kesusasteraan tanah air.

Para peserta bergambar kenangan bersama-sama pembimbing dan Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran DBP.

Puan Salina Ibrahim, pengarang dan Munsyi Dewan (Sastera), ketika menyampaikan ceramah berkaitan penulisan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049207
    Visit Today : 52
    This Month : 31806
    Total Visit : 1049207
    Hits Today : 87
    Total Hits : 4304848
    Who's Online : 16
  • Kategori