Judul: Penghayatan Sebuah Ideal: Suatu Tafsiran Tentang Islam Semasa (Edisi Kedua)

Penulis: Muhammad Abu Bakar

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit: 2018

Pengulas: ABDUL HAKAM JAMALUDDIN

 

ISLAM telah diturunkan kepada umat manusia sejak lebih dari 1400 tahun yang lalu. Bermula dengan wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW oleh Allah SWT, masyarakat awal Islam mula terbentuk di tanah Arab dan terus berkembang ke seluruh dunia. Islam telah menjadi agama wahyu terakhir sekali gus menjadi pencetus kepada peradaban baharu dunia.

Di Malaysia, wacana perbincangan Islam telah dijalankan secara meluas apabila berlaku kebangkitan gelombang ini pada tahun 1970-an. Untuk mengikuti susur galur perkembangan ini, buku ini sangat sesuai dibaca oleh pelbagai pihak, terutamanya mahasiswa, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan, ahli gerakan Islam dan dakwah, pertubuhan politik dan masyarakat umum. Buku bertajuk Penghayatan Sebuah Ideal: Suatu Tafsiran Tentang Islam Semasa edisi kedua ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Edisi pertama buku ini diterbitkan pada tahun 1987. Jumlah keseluruhan halaman buku ini ialah 668 muka surat. Dari sudut kandungan bab, buku ini mengandungi 20 bab yang dipecahkan mengikut enam bahagian. Oleh sebab buku ini edisi kedua, penulis telah memuatkan lapan bab tambahan dan satu epilog. Tujuannya untuk memastikan bahawa wacana tentang perbincangan Islam di Malaysia selari dengan perkembangan semasa yang berlaku hari ini. Hal yang perlu dimaklumkan bahawa sebahagian besar bab dalam buku ini merupakan kertas kerja yang dibentangkan oleh penulis dalam pelbagai seminar, sama ada melibatkan institusi pengajian tinggi, institusi kerajaan ataupun pertubuhan bukan kerajaan.

Menurut penulis, kemaraan Islam suatu ketika dahulu telah menjadi kejutan sehingga menarik perhatian pelbagai pihak, termasuk penganalisis politik dan para sarjana. Perkembangan ini boleh dikatakan sebagai kelahiran atau kemunculan baharu pelbagai pandangan dan teori yang bertujuan untuk memahami fenomena kebangkitan semula Islam. Wacana kebangkitan ini telah dibincangkan dalam pelbagai saluran media, penulisan artikel jurnal, kertas kerja, dan akhbar. Kebangkitan semula Islam begitu hangat diperdebatkan di dunia Barat, bahkan antara perkara dan persoalan yang menjadi perhatian termasuklah kebangkitan semula Islam yang dikatakan menjadi ancaman kepada hegemoni penguasaan dunia oleh Barat.

Di Malaysia, perkembangan Islam semasa sangat mendapat perhatian pelbagai pihak, sama ada kerajaan, parti politik, pertubuhan gerakan Islam ataupun masyarakat umum. Dalam buku ini, penulis menyentuh persaingan yang berlaku dalam parti politik berideologikan Islam yang diwakili oleh PAS dan ideologi berasaskan kebangsaan diwakili oleh UMNO. PAS tidak begitu selesa dengan UMNO kerana dilihat begitu menekankan konsep nasionalisme yang mementingkan aspek bangsa Melayu jika dibandingkan dengan aspek keagaaman. Pada masa yang sama, PAS menekankan pelaksanaan syariah Islam dalam pemerintahan negara, terutama dalam konteks pelaksanaan hukum hudud dalam perundangan Islam. Pertentangan ideologi bagi kedua-dua parti menyebabkan sukar dilihat kedua-duanya mempunyai titik persamaan, bahkan masing-masing akan saling ‘menyerang’.

Tidak hanya perbincangan Islam semasa lebih tertumpu pada isu politik sahaja, kesan kebangkitan Islam pada tahun 1970-an dan 1980-an turut membangkitkan wacana yang berkaitan dengan ekonomi Islam. Apabila Islam cuba diterapkan dalam seluruh aspek kehidupan, termasuk dalam hal yang berkaitan dengan muamalah, keadaan ini menjadi semakin bermakna apabila persoalan ekonomi Islam dibentangkan serentak dalam perubahan hidup berasaskan syariah. Antara isu yang menjadi tumpuan dalam wacana ekonomi Islam ialah isu riba yang diamalkan dalam sistem perbankan. Oleh itu, penting Islam dijadikan teras sebagai satu daripada cara jalan keluar daripada pengamalan sistem riba ini. sebagai kesannya, banyak institusi yang berkaitan dengan Islam ditubuhkan, seperti Bank Islam, untuk memberikan peluang kepada umat Islam di Malaysia bermuamalah tanpa melibatkan riba.

Buku ini juga tidak hanya tertumpu pada konteks Islam di Malaysia. Penulis turut membincangkan pengaruh Islam di luar negara dan kesannya terhadap negara ini. Antara negara yang diselitkan oleh penulis ialah cara gerakan Islam bergerak di Mesir. Pertubuhan Persaudaraan Islam atau Ikhwanul Muslimin sering menjadi rujukan pengkaji gerakan Islam di seluruh dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Hassan al-Banna menjadi pencetus kebangkitan Islam dalam masyarakat Mesir bagi berhadapan dengan rejim sekular yang meminggirkan syariah dalam negara.

Perkembangan Islam semasa juga memberikan kesan dalam hubungan antarabangsa. Di beberapa buah negara Barat, boleh dikatakan pengaruh Islam semakin meluas disebabkan faktor penyebaran Islam dalam kalangan rakyat mereka di sana. Daripada menjadi komuniti kecil, penganut Islam semakin berkembang luas di kebanyakan negara Barat sehingga banyak masjid telah dibangunkan. Terdapat masjid di sana pada asalnya gereja yang tidak digunakan lagi. Pada masa yang sama, faktor penghijrahan besar-besaran berlaku oleh umat Islam dari negara asal ke negara Barat turut menyumbang kepada peningkatan komuniti Islam di Eropah dan Amerika Syarikat.

Sebagai kesimpulannya, melalui buku ini penulis dilihat sangat mengikuti perkembangan Islam sejak bermulanya kebangkitan Islam. Walaupun kebanyakan bab dalam buku ini merupakan himpunan kertas kerja, penulis telah mewacanakan perkembangan Islam sesuai dengan realiti semasa yang berlaku dalam sesuatu peristiwa. Aspek Islam tidak hanya khusus dibincangkan dalam aspek politik semata-mata bahkan turut dibincangkan dalam soal ekonomi yang menjadi cabaran terbesar bagi umat Islam pada hari ini. Pengaruh Islam juga tidak terhad dalam konteks sesebuah negara sahaja, bahkan perkembangan gerakan Islam yang berlaku di sesebuah negara turut mempengaruhi negara umat Islam yang lain. Oleh itu, wacana tentang Islam tidak akan mati malah akan terus berkembang mengikut perjalanan zaman bagi membincangkan penyelesaian terhadap permasalahan semasa yang berlaku dalam kalangan umat Islam.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1050027
    Visit Today : 872
    This Month : 32626
    Total Visit : 1050027
    Hits Today : 4784
    Total Hits : 4309545
    Who's Online : 11
  • Kategori