Oleh KHAIROL ANUAR HARITH FADZILLAH

Perbincangan menyeluruh tentang pengantarabangsaan bahasa Melayu dan terjemahan antara USM dan Hainan School Foreign Language di Hainan School Foreign Language, Wenchang, China.

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Bahagian Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi (BATI), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), USM, Pulau Pinang, terus memperluas agenda pengantarabangsaan bahasa Melayu dan penterjemahan dengan Hainan College of Foreign Studies (HCFS), Wenchang, China. Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM, Prof. Dato’ Dr. Adnan Hussein, telah mengetuai rombongan delegasi USM berkunjung ke HCFS. Dalam lawatan tersebut, Adnan, yang mewakili Naib Canselor USM, telah menandatangani memorandum persefahaman bagi USM dengan HCFS demi memperluas agenda pengantarabangsaan bahasa Melayu dan penterjemahan di HCFS.

Prof. Dato’ Dr. Adnan Hussein menandatangani memorandum persefahaman dengan Hainan School Foreign Language.

Menurut Adnan, memorandum persefahaman dalam bidang bahasa Melayu dan penterjemahan itu akan membuka lembaran baharu kepada kedua-dua buah institusi pengajian tinggi tersebut untuk bekerjasama dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu melalui Program Pemindahan Kredit Pengajian Melayu dan Pengajian Bahasa Melayu, HCFS dengan BATI. Pusat penyelidikan bahasa dan budaya Melayu akan ditubuhkan di HCFS.  HCFS turut menyertai Asia-Pacific University Community Engagement Network (APUCEN) dan menyertai pelbagai program mobiliti seperti pertukaran pelajar dan staf yang dijalankan secara efektif dan sistematik menerusi jaringan institusi yang menjadi ahli APUCEN, iaitu sebanyak 93 buah institusi dari 19 buah negara.

Dalam ucapan alu-aluan oleh Prof. Dr. Li Yufeng, Presiden HCFS, beliau yakin bahawa USM sebagai universiti pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan sebagai universiti APEX pada tahun 2008 kekal sebagai universiti penyelidikan terbaik di Malaysia. USM merupakan universiti terbaik untuk menjadi rakan kerjasama strategik HCFS dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan dalam bidang bahasa Melayu dan penterjemahan. Penubuhan Bahagian Bahasa Melayu di HCFS pada tahun 2017 memerlukan kerjasama USM untuk mengantarabangsakan ilmu bagi kursus bahasa Melayu dan penterjemahan. Program pengajian bahasa di HCFS menawarkan 17 program pengajian bahasa asing, selain tujuh program pengajian bahasa rasmi ASEAN, termasuklah bahasa Melayu.

Delegasi dari USM merakamkan foto kenangan bersama para pelajar dalam kelas praktikal.

Rombongan delegasi USM ke HCFS terdiri daripada Adnan, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM, Prof. Dr. Narimah Samat, dan Penyelaras Bahagian Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi, PPIK, USM, Prof. Madya Dr. Goh Sang Seong. Kunjungan delegasi USM disambut mesra dengan penuh hormat oleh Timbalan Presiden HCFS, Prof. Dr. Yang Xueqian, Dekan Jabatan Bahasa-bahasa Timur HCFS, Prof. Dr. Guo Yanping, para pegawai dan guru bahasa Melayu HCFS.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047673
    Visit Today : 1289
    This Month : 30272
    Total Visit : 1047673
    Hits Today : 4195
    Total Hits : 4298997
    Who's Online : 9
  • Kategori