Oleh AZURA HALID

GERAKAN Dekad Bahasa Kebangsaan (GDBK) Zon Selatan merupakan penjenamaan semula program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang saban tahun dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada bulan Oktober. Oktober umpama pesta bahasa untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar budaya dan pendidikan serta tahap ekonomi dan sosiomasyarakat.

Antara tetamu yang hadir dalam aktiviti yang diadakan.

Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) telah menggerakkan GDBK peringkat Zon Selatan dari 19 hingga 22 Oktober 2018. GDBK bertujuan untuk menyemarakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum; memartabatkan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan perdagangan; dan mendaulatkan bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Akta 152 Perlembagaan Malaysia.

DBPWS telah menggerakkan program bersempena dengan GDBK ini mulai 16 Oktober dengan penglibatan mahasiswa institut pengajian tinggi awam (IPTA) dalam pertandingan Debat Daksina Piala Datuk Bandar. Enam belas pasukan telah mengambil bahagian dengan juara disandang oleh Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat apabila menewaskan Universiti Teknologi Tun Hussein Onn, Batu Pahat.

Majlis perasmian GDBK disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi bin Rohani.

Majlis perasmian GDBK Zon Selatan ini telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi bin Rohani sebagai wakil Menteri Besar Johor. Perasmian gilang-gemilang itu telah berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall pada 20 Oktober. Kehadiran orang ramai di pusat beli-belah telah membuka banyak mata untuk mengetahui pelaksanaan GDBK yang telah dipromosikan oleh DBPWS sejak September 2018, melalui rakan media cetak dan elektronik, selain rangkaian Facebook rasmi DBPWS.

Hadirin yang hadir Majlis Perasmian Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan (GDBK) Zon Selatan.

Sepanjang GDBK Zon Selatan ini, DBPWS telah menggerakkan beberapa program seperti Pertandingan Koir Permata Selatan Johor FM, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak melalui penglibatan rakan sinergi dan tajaan McDonald’s, Cool Blog dan Hello Kitty, Apresiasi Tenun Samping, Malam Bahasa Jiwa Bangsa, Cabaran Jejak Bahasa, Bicara Tokoh Gemilang Bersama-sama Datuk Lat, dan Pertandingan Cerita Leluhur Johor.

Selain itu, majlis perasmian peringkat negeri Melaka dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Tuan Adly Zahari. aktiviti yang diadakan ialah Karnival Bahasa, Bicara Bahasa Bersama-sama Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong dan perasmian GDBK peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Melaka oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, YB Noor Effendi bin Ahmad.

Bicara Tokoh Gemilang Bersama-sama Datuk Lat.

Bagi mempromosikan GDBK, pelbagai usaha telah dilakukan agar program ini mendapat liputan luas di seluruh wilayah selatan (Johor dan Melaka). DBPWS telah mengadakan kerjasama dengan rakan media terutamanya Kelab Media Johor untuk mengiklankan acara yang dirancang di dada akhbar arus perdana dan pelaporan berita bagi setiap program berimpak tinggi. Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui rangkaian radio Permata Selatan pula telah menguar-uarkannya sepanjang program berlangsung.

Secara keseluruhannya, DBPWS telah berjaya membawa GDBK Zon Selatan ke semua peringkat termasuk penjawat awam mahupun pihak swasta. Penglibatan kaum lain dalam pertandingan debat dan koir juga mencerminkan penerimaan kaum itu terhadap usaha DBPWS mengangkat bahasa kebangsaan pada tempat yang sewajarnya di bumi sendiri.

Pemenang Cabaran Jejak Bahasa bergambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat..

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    979686
    Visit Today : 920
    This Month : 27157
    Total Visit : 979686
    Hits Today : 3969
    Total Hits : 3983112
    Who's Online : 6
  • Kategori